Isnin, Julai 30

09. Tujuan latihan kerohanian

Tujuan latihan kerohanian



Manusia fitrah yang memasuki jalan kesufian dan melakukan berbagai-bagai latihan kerohanian didorong oleh tujuan yang suci iaitu untuk menjadi hamba Allah s.w.t sebaik mungkin.. Mereka telah terlebih dahulu mengikuti jalan yang dilalui oleh orang ramai. Mereka telah bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan beramal menurut peraturan syariat. Kehidupan harian dijadikan tarekat buat bermujahadah pada jalan Allah s.w.t, demi memperolehi keredaan-Nya. Dia kuat melakukan ibadat dalam aspek hubungan dengan Tuhan dan juga amalan dalam aspek hubungan sesama manusia. Walaupun mereka sudah menjaga peraturan syariat sekadar kemampuan mereka, namun hati mereka masih merasakan kekosongan. Mereka sudah berjumpa dengan berbagai-bagai guru namun, banyak persoalan yang timbul dalam fikiran mereka tidak dapat dijelaskan secara memuaskan hati mereka. Mereka sampai kepada peringkat mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu apa yang dicari. Mereka diganggu oleh persoalan-persoalan yang mereka tidak tahu di mana mahu mendapatkan jawapan. Mereka merasakan kekosongan jauh di dalam lubuk hati, seolah-olah menantikan sesuatu untuk memenuhinya. Kekuatan akal mereka sudah sampai ke perbatasan yang tidak mungkin ditembusi lagi. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan fikiran mereka keliru. Mereka mencuba mencari kedamaian melalui amalan tetapi tidak berjaya. Mereka mencuba mendapatkan kedamaian melalui orang-orang alim yang mereka kenali, juga tidak berjaya. Orang alim merupakan modal terakhir mereka. Bila modal tersebut gagal memberikan hasil yang mereka harapkan, mereka sampai kepada titik peralihan. Jiwa mereka mudah terangsang apabila melihat kesyirikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka melihat kerosakan berlaku tetapi mereka tidak terdaya menahannya. Apabila mereka memandang kepada masyarakat mereka melihat kepada kemunkaran dan kerosakan dan apabila mereka memandang kepada diri sendiri mereka melihat ketidak-upayaan mereka mencegah kerosakan yang berlaku. Mereka melihat kerosakan yang berlaku kepada masyarakat seperti melihat ombak besar yang menggulung diri mereka. Dalam keadaan yang demikian mereka melihat jalan keselamatan buat mereka adalah mengasingkan diri, lalu mereka masuk ke dalam lembah suluk.

Kumpulan tersebut memasuki suluk dengan niat: "Ilahi! Engkau jualah tujuan dan keredaan Engkau jua yang dicari". Mereka tidak pernah mengetahui, apa lagi terlibat dengan fahaman wahdatul wujud, tidak ada motif mahu bersatu dengan Tuhan, tidak mengimpikan fana, zauk dan jazbah dan tidak bercadang meninggalkan syariat. Keyakinan mereka terhadap syariat tidak pernah bergoyang, cuma sesuatu tentang syariat itu yang mereka tidak jelas. Jawapan kepada yang tidak jelas itu mereka tidak perolehi melalui jalan yang telah mereka lalui. Kesungguhan melakukan ibadat dan menuntut ilmu tidak menghilangkan gangguan rangsangan syaitan. Setiap kebaikan yang dilakukan diiringi oleh bisikan yang mahu merosakkan kebaikan tersebut. Dalam suasana demikian ikhlas adalah sesuatu yang dipaksakan dan mereka mesti bekerja keras mempertahankan keikhlasan itu. Bukan setakat mempertahankan keikhlasan malah kesungguhan melakukan ibadat juga mesti dibaja kerana ada sahaja sesuatu yang cuba menghalang mereka berbuat ibadat. Pergaulan dengan orang ramai menjadi jalan bagi musuh-musuh ibadat dan ikhlas menyerang mereka. Benteng yang paling baik bagi mereka mempertahankan diri adalah suluk. Latihan-latihan yang dilakukannya semasa bersuluk membawa mereka melepasi gangguan rangsangan syaitan. Amal ibadat dapat dilakukan dengan mudah dan ringan. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas menjadi keperibadian mereka, berlaku secara spontan, bukan lagi sifat yang dipaksakan.

Semasa bersuluk itu mungkin mereka terbawa kepada pengalaman kerohanian dan terdorong kepada wahdatul wujud, tetapi akar kehambaan yang teguh akan membawa mereka melepasi yang demikian untuk kembali kepada jalan kenabian. Bila rohani mereka telah benar-benar matang, percampuran dengan orang ramai tidak lagi memudaratkan mereka. Pada masa itu mereka ‘diperintahkan' supaya kembali kepada masyarakat kerana ada tugas yang perlu mereka lakukan. Mereka masuk semula kepada kegiatan masyarakat, membimbing orang ramai agar selamat daripada kemusyrikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran, seterusnya kembali kepada Tuhan dengan akidah dan amalan yang bersih.

Kumpulan yang diceritakan di atas merupakan orang yang sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian walaupun mereka tidak mengetahui maksud sufi dan istilah-istilah tasauf. Mereka telah memperolehi faedah yang besar daripada latihan kerohanian secara bersuluk. Hati mereka umpama pelita yang mempunyai sumbu tetapi tidak mempunyai minyak. Latihan kesufian umpama memasukkan minyak ke dalam pelita. Gurunya umpama api yang menyalakan pelita tersebut. Setelah pelita hatinya menyala akalnya mampu mendapatkan jawapan kepada persoalan yang mengganggunya selama ini, yang tidak dapat di jelaskan oleh orang lain. Jiwanya menjadi tenang. Darjat kehambaannya meningkat sehingga sampai kepada kesempurnaan. Dia layak bergelar hamba Tuhan yang melaksanakan kehendak dan peraturan Tuhan sebagai yang Dia kehendaki. Tarekat kesufian telah membawanya kepada jalan kenabian yang sebenarnya. Kepercayaan dan keyakinannya kepada kebenaran syariat bertambah dan menjadi teguh serta memudahkannya melaksanakan dan mengamalkan tuntutannya. Mereka bergerak di dalam masyarakat sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w berkecimpung di dalam masyarakat. Mereka telah sampai kepada tujuan mereka diciptakan. Sampai kepada tujuan penciptaan insan itu adalah peringkat paling tinggi. Allah s.w.t menciptakan insan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehambaan adalah peringkat paling tinggi dan paling sempurna. Mereka berpegang kepada Kebenaran Hakiki sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah. Tidak ada kebenaran yang mengatasi kebenaran syariat. Setelah menemui kebenaran syariat dan mencapai peringkat kehambaan yang sejati, berakhirlah latihan kerohanian. Peringkat seterusnya adalah bekerja menurut peringkat yang dicapai dan kebenaran yang ditemui, sebagaimana Rasulullah s.a.w bekerja setelah menghabiskan peringkat khalwat di Gua Hiraa.

Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai kesempurnaan melalui empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju Allah s.w.t. Sufi bergerak daripada pengetahuan yang rendah kepada pengetahuan yang lebih tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai Wajibul Wujud. Dalam proses ini pengetahuan mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) berkurangan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan fana. Fana membawa sufi memasuki peringkat ke dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t. Ia merupakan proses perjalanan yang diistilahkan sebagai makrifat atau mengenal Allah s.w.t dalam suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau hakikat-hakikat seperti nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal ketuhanan. Seterusnya sufi sampai kepada suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada perhubungan boleh dihubungkan dan tiada sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan makrifat juga tidak ada dalam suasana yang demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada pengenalan yang mampu bercerita tentang zat Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau hidup bersama-sama Tuhan. Ini adalah penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan peringkat pertama dan ke dua melengkapkan kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh dua peringkat ini dipanggil sebagai wali sufi atau wali kecil.

Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke tiga yang dinamakan perjalanan dari Tuhan. Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari pengetahuan yang tinggi kepada yang lebih rendah iaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul wujud. Sufi yang sampai kepada peringkat ini dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan melalui Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan, yang kehilangan tetapi menjumpai, yang terpisah tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak boleh dikatakan tetapi tahu, yang tidak boleh disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini merupakan kebalikan kepada peringkat kedua. Ketika berada pada peringkat kedua sufi mengalami suasana yang diistilahkan sebagai fana dalam Tuhan. Pada peringkat ke tiga pula sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam keadaan tidak berpisah dengan Tuhan. Pengaruh mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurangan. Kesedaran kemanusiaan sudah mula kembali sedikit demi sedikit. Bila kesedaran kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi melengkapkan perjalanan pada peringkat ke empat iaitu perjalanan dalam alam kebendaan. Pada peringkat ini sufi kembali mengenali sesuatu yang dilupakannya pada peringkat pertama dahulu. Peringkat pertama membuat sufi lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi terang benderang kepadanya dan akhirnya dia kembali sepenuhnya kepada kesedaran dirinya dan alam maujud. Dia kembali kepada tempat dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.

Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara kenabian untuk memikul tugas yang mulia iaitu membimbing umat manusia kepada Tuhan, meneruskan perjuangan Nabi-nabi.

Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian kerana dipaksa bukan dengan disengajakan. Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-orang yang mempunyai tugas tetapi mereka leka dengan kehidupan harian sehingga tercampak jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan rahmat dan belas kasihan Tuhan mereka disentak dari kelalaian tersebut dan diheret menghadap Tuhan. Mereka dipisahkan daripada apa sahaja yang menghalang mereka daripada kembali kepada Tuhan. Dalam golongan inilah terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya, orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang menjadi hodoh dan yang seumpama mereka. Perubahan yang mendadak menimpa mereka memisahkan mereka daripada beban berat yang menghalang mereka berjalan kepada Tuhan dan pada masa yang sama juga mereka terpisah daripada orang ramai. Mereka tidak ada pilihan kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan itu mereka memperbanyakkan ibadat kepada Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati, merelakan apa jua takdir yang sampai kepada mereka. Kesan daripada ujian yang menimpa mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa pengasingan atau bersuluk. Dalam keasyikan beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi kumpulan pertama. Kumpulan pertama berjalan kepada Tuhan berbekalkan pengharapan. Kumpulan ke dua ini pula tidak membawa sebarang bekal kerana segala sesuatu telah diserahkan kepada Tuhan. Mereka telah rela dengan apa juga takdir yang sampai kepada mereka. Kumpulan pertama bekerja keras menghapuskan segala kehendak diri sendiri agar kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga. Pada kumpulan ke dua pula segala kehendak diri sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala bencana menghempap mereka. Penghapusan kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti oleh sifat penyerahan bulat kepada Tuhan, menghapuskan sifat-sifat keji dari hati mereka. Seterusnya kesedaran diri ikut lenyap bersama-sama dengan pengaruh akal fikiran dan perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang dipanggil majzub. Orang majzub mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat ujian bala ini berjalan lebih pantas daripada kumpulan pertama yang melakukan latihan bersuluk secara kesedaran dan kehendak sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada kumpulan pertama lebih teratur daripada kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif dan bekalan ilmu yang mencukupi membantu kumpulan pertama meningkat dalam bidang kerohanian secara bersistematik dan mereka memperolehi penerangan mengenai apa yang mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya menjadi majzub tanpa berguru dan mengalami hakikat tanpa mendapat penjelasan mengenainya. Kumpulan majzub ini akan berjalan terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa yang mereka alami. Setelah mereka melepasi peringkat majzub dan kembali kepada kesedaran keinsanan baharulah mereka mempelajari hakikat yang telah mereka alami. Kumpulan yang bergerak secara perguruan selamat daripada fitnah masyarakat. Kumpulan yang tiba-tiba menjadi majzub tanpa berguru sering menimbulkan fitnah kepada orang ramai kerana latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak alim dalam bidang agama, sedangkan mereka mula bercakap tentang ketuhanan, membuat orang ramai curiga kepada mereka. Lebih buruk lagi jika di dalam keadaan hilang kesedaran itu mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan adab kemanusiaan. Walau bagaimana pun setelah mereka kembali kepada kesedaran dan memperolehi pengetahuan tentang pengalaman kerohanian mereka, mereka akan bergerak sesuai dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan diri daripada menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Tidak semua orang yang menempuh jalan kerohanian akan kembali kepada kesedaran semula. Ada yang menjadi majzub terus menerus, fana dalam Tuhan secara berterusan dan tidak kembali lagi kepada kesedaran keinsanan. Orang yang seperti ini telah naik ke tempat yang tinggi tetapi tidak menjumpai jalan turun. Suasana kebatinan mereka berbeza daripada orang ramai. Lantaran itu adab dan sopan santun orang ramai tidak memberi apa-apa makna kepada mereka, malah syariat juga boleh tertanggal ketika mereka dikuasai oleh jazbah. Orang yang hilang kesedaran ini tidak boleh dijadikan pembimbing kerana mereka bercakap bahasa zauk sedangkan orang ramai yang dalam kesedaran menggunakan akal untuk mentafsirkan pengalaman zauk. Akal tidak mampu menerangkan pengalaman hakikat.

Orang yang dalam zauk banyak bercakap mengenai perkara ghaib dan hal ketuhanan. Daripada mulut mereka juga mudah keluar cerita mengenai penyaksian mata hati terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Orang yang dalam zauk juga melahirkan keasyikan yang mendalam kepada Tuhan. Daripada mereka juga selalu keluar perkara luar biasa yang diistilahkan sebagai keramat. Kekeramatan yang disaksikan menyebabkan orang lain menjadi yakin dengan apa yang mereka perkatakan. Ada orang yang di dalam kesedaran menggubah konsep ketuhanan hanya dengan mendengar ucapan orang majzub. Tuhan dimasukkan ke dalam sempadan rupa, bentuk, warna dan cahaya atau sesuatu menurut khayalan dan sangkaan mereka. Orang yang di dalam kesedaran biasa, tidak pernah mengalami zauk, menjual konsep ketuhanan yang diperolehi dari perkataan orang majzub, adalah orang yang sesat dan menyesatkan. Golongan ini dan pengikut mereka adalah kufur, tetapi orang majzub, walaupun pada zahirnya menyalahi syariat, mereka patut dimaafkan kerana mereka dikuasai oleh mabuk.

Ada juga orang yang memasuki aliran kesufian dengan tujuan mendapatkan kebolehan yang luar biasa kerana mereka terpesona melihat kekeramatan yang keluar daripada wali sufi. Bidang kekeramatan yang paling digemari adalah keramat zahir iaitu kebolehan luar biasa dalam bidang keduniaan. Sufi beramal kerana mahu menyucikan hati bagi mengabdikan diri kepada Tuhan. Kumpulan sufi celup itu pula menggunakan amalan sufi untuk mendapatkan kebolehan yang luar biasa dan ilmu yang mampu menguasai sesuatu perkara bagi kepentingan duniawi. Amalan yang dilakukan orang kerana Allah s.w.t diceduk untuk dijadikan amalan kerana kepentingan diri sendiri. Pekerjaan ibadat menurut peraturan syariat digubah menjadi khurafat. Pengalaman kebatinan pada alam khadam dikatakan alam ketuhanan. Apabila memperolehi keramat khadam mereka mendakwa diri mereka sudah menjadi wali yang agung. Bila sudah menguasai sesuatu kebolehan yang luar biasa mulalah mereka mendakwa ketuhanan diri lalu menanggalkan kehambaan dan mencampakkan syariat. Mereka adalah puak yang sesat dan kufur!

Tarekat sufi bukan bertujuan untuk memperolehi penyaksian terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya. Ia juga bukan untuk mendapatkan kekeramatan. Apa juga yang disaksikan dan apa juga yang diperolehi adalah gubahan Tuhan, bukan Tuhan. Tarekat sufi bukan untuk menukarkan manusia menjadi Tuhan. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba, tidak boleh diadakan bahasa yang kesamaran mengenai perbezaan dua perkara tersebut. Pada satu peringkat perjalanan sufi mungkin terjadi terbalik pandangan mereka sehingga mereka tidak menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan. Perkara demikian berlaku bukan disengajakan. Ia terjadi akibat pertembungan diri rohani dengan alam tinggi. Pertembungan tersebut menimbulkan mabuk. Orang yang sedang asyik dengan Tuhan, apabila dikuasai oleh mabuk, tidak melihat lagi kepada yang lain kecuali Tuhan. Bagi mereka semuanya adalah Tuhan. Apa yang ditemui pada peringkat ini bukanlah kebenaran yang muktamad. Ia baharu suasana menuju kebenaran. Suasana demikian hanyalah bayangan atau misal yang muncul dalam alam kebatinan sufi yang sedang dilambung gelombang kefanaan dan keasyikan dengan Tuhan. Keasyikan seorang jejaka kepada seorang gadis sering juga menimbulkan bentuk misal. Lagu-lagu percintaan sering menggambarkan rupa kekasih sebagai bulan purnama dan suara sebagai buluh perindu. Misal yang digubah dalam kesedaran hanyalah khayalan, tetapi misal dalam alam ghaib adalah nyata dalam keghaiban (boleh disaksikan oleh mata hati tetapi tidak boleh dilihat dengan mata zahir). Yang menyata pada hati orang yang sedang dilamun cinta hanyalah gambaran, bayangan atau misalan yang tidak sedikit pun menyerupai yang sebenar. Kecintaan kepada Tuhan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Orang yang asyik dengan keindahan Tuhan boleh berdiri di tepi pantai dari pagi hingga ke petang, tanpa jemu, tanpa menghiraukan panas matahari. Bila ditanya apa yang dia lihat, dia akan mengatakan dia melihat Tuhan. Keasyikan kepada Tuhan bercampur dengan rindu yang membara membuat seseorang mabuk ketuhanan sehingga tidak ada apa yang disaksikannya melainkan dinisbahkannya kepada Tuhan. Suasana hati yang demikian juga melahirkan rasa bersatu dengan Tuhan. Penyatuan hanya berlaku dalam alam perasaan, bukan penyatuan yang sebenarnya.

Menyaksikan perkara ghaib dan mendengar suara ghaib bukanlah kesudahan jalan sufi. Semua itu hanyalah bayangan. Allah s.w.t berbeza, tiada persamaan sedikit dengan yang demikian. Walau bagaimana tinggi pun anggapan diberikan kepada sesuatu pengalaman kerohanian itu ia tidak ada nilai sebelum diuji dengan al-Quran dan as-Sunah. Jika pengalaman tersebut bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah baharulah ia menjadi berharga dan boleh dipegang. Ketika seseorang itu masih diperingkat bayangan kerohaniannya masih belum matang dan dia belum mencapai kesempurnaan. Jika dia terus menerus di dalam bayangan, tinggalkan dia dengan alamnya sendiri. Tuhannya yang akan menjaganya. Ikutlah wali yang telah sampai kepada kesempurnaan jalan, beramal sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w.

Jangan sekali-kali melepaskan pandangan daripada Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan