Isnin, Julai 30

11. Syariat zahir dan batin

Syariat zahir dan batin


Ketika di dalam daerah kewalian sufi, mengalami fana dan jazbah, orang sufi melupakan dan membuang segala-galanya kecuali Allah s.w.t. Mereka tidak inginkan syurga dan tidak takutkan neraka. Dosa dan pahala sama sahaja bagi mereka. Mereka menafikan perbuatan diri mereka dan mengisbatkannya kepada perbuatan Tuhan. Mereka tidak beristighfar di atas kesalahan yang terjadi pada mereka. Bagi mereka istighfar menunjukkan mereka mendakwa diri mereka memiliki kekuasaan untuk melakukan sesuatu, sekalipun perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Mengaku diri berkuasa lebih berat daripada dosa itu sendiri. Bagi mereka segala daya dan upaya adalah milik Allah s.w.t. Segala sesuatu adalah ciptaan dan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan mereka, daya dan upaya mereka, kehendak mereka, perbuatan mereka dan segala-galanya. Oleh itu mereka menerima apa sahaja yang datang kepada mereka dengan reda. Mereka membuang ikhtiar memilih. Bagi mereka cukuplah Allah s.w.t sahaja yang mengadakan pilihan dan mereka menerima pilihan Tuhan itu. Mereka menukarkan kehendak diri mereka kepada kehendak Tuhan. Apa sahaja yang mendatangi mereka adalah kehendak Tuhan. Oleh itu mereka tidak menghindarkan kemudaratan yang sampai kepada mereka. Mereka tidak bergembira dengan nikmat dan tidak berdukacita dengan bala. Nikmat dan bala berjalan menurut kehendak Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Jika sesuatu itu ada pada Iradat-Nya, maka Kudrat-Nya melaksanakannya. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.

Sesungguhnya maha hebat Cinta Allah s.w.t yang menguasai hati orang sufi. Sufi sanggup membelakangi syurga demi Wajah Kekasihnya. Sufi sanggup meredah neraka jika itulah jalan untuk sampai kepada Kekasihnya. Sufi sanggup mencabar maut jika maut menghalanginya menemui Kekasihnya. Sekiranya benar ada orang yang sanggup mengharungi lautan api kerana kekasih, maka sufilah orangnya. Layaklah sufi itu mendapat perlindungan dan kasih sayang dari Tuhan. Suasana perlindungan dan penjagaan secara langsung dari Tuhan itulah yang dimaksudkan sebagai kewalian. Al-Waliyyu, Yang Maha Melindungi, memayungkan wali-wali-Nya dengan penjagaan dan perlindungan. Jazbah, fana dan baqa bukanlah kewalian yang sebenarnya. Itu semua hanyalah fenomena yang sering muncul pada orang yang dipayungi oleh al-Waliyyu, atau orang yang berada dalam daerah kewalian, terutamanya kewalian sufi. Tanpa fenomena demikian kewalian tetap wujud.

Sebahagian sufi kekal dengan Cinta Allah s.w.t dan menjadi majzub terus menerus sehingga ke akhir hayatnya. Golongan ini merupakan golongan wali yang tidak mempunyai tugas kekhalifahan. Kewalian mereka hanya untuk diri mereka sendiri, berguna bagi perhubungan mereka dengan Allah s.w.t, tetapi tidak berguna bagi perhubungan sesama manusia. Lagi pun kehadiran wali yang majzub itu berguna kepada masyarakat bagi mengingati orang ramai agar mencintai Allah s.w.t. Cinta Allah s.w.t yang terpancar dari mereka boleh menyedarkan orang-orang yang mempunyai hati tetapi terhijab oleh kelalaian. Cinta Allah s.w.t yang terzahir pada kewalian sufi menjadi besi berani menarik hati orang lain untuk melihat kepada Tuhan dan meninggalkan perkara yang melalaikan.

Sufi yang dipilih untuk menanggung sesuatu tugas di dalam masyarakat akan ditarik kepada jalan mahabbah. Ketika di dalam daerah kewalian sufi, jazbah menghancurkan secara mudah sifat-sifat yang tercela pada diri mereka dan dimasukkan keupayaan sifat-sifat yang terpuji supaya sifat demikian menjadi keperibadian mereka. Mereka menjadi orang yang bersifat baik, bukan orang yang berusaha menjadi baik. Mereka menjadi ikhlas secara spontan bukan yang berperang dengan ria untuk mempertahankan ikhlas. Apabila mereka keluar dari daerah kewalian sufi dan dimasukkan ke dalam daerah kewalian cara kenabian, mereka masuk dengan ada persediaan segala keupayaan yang baik untuk menanggung bebas tugas yang akan diberikan kepada mereka kelak. Pada jalan mahabbah segala bakat dan keupayaan mereka digilapkan bagi melengkapkan kewalian kepada darjat khalifah yang layak memikul beban tugas khusus. Jalan mahabbah bermula selepas kefanaan, iaitu daripada baqa menuju kepada kesedaran sepenuhnya kerana sebelum memperolehi semula kesedaran keinsanan mereka tidak layak menjadi Khalifah Allah yang menguruskan hal-ehwal orang ramai. Apabila meninggalkan kefanaan dan masuk kepada kebaqaan dan kesedaran keinsanan sudah mula kembali, wali yang lebih matang itu dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk, baik dengan jahat dan benar dengan salah. Pada peringkat permulaan menyaksikan perbezaan wali itu masih mempunyai sikap bertolak-ansur dengan sesuatu yang salah dan tidak benar. Walaupun kesalahan diakui wujud namun, mereka tidak bertindak memperbetulkan kesalahan tersebut. Pada peringkat ini mereka lebih banyak menyendiri dan enggan mencampuri urusan orang lain. Walaupun mereka sudah boleh melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk namun, mereka masih merasakan makhluk itu satu wajah atau aspek ketuhanan atau hak Tuhan, bukan ciptaan yang terpisah sepenuhnya daripada Tuhan.

Jalan mahabbah adalah sempadan di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian. Fana dan baqa ada dalam daerah kewalian sufi. Peralihan daripada baqa kepada kesedaran keinsanan ada pada jalan mahabbah. Bila kesedaran keinsanan kembali sepenuhnya sufi tadi masuk kepada jalan kenabian. Perjalanannya menjadi lengkap. Dia sudah kembali kepada tempat bermulanya dan bulatan perjalanan kerohaniannya bercantum dan dia sudah boleh menanggung tugas kekhalifahan. Orang yang sampai kepada daerah khalifah ini menjadi sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Mereka menjadi salinan kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Pada peringkat akhir ini mereka sudah berupaya membuat perbezaan sepenuhnya. Pegangan mereka juga berubah. Tuhan adalah Tuhan dan hamba adalah hamba. Baik adalah baik dan jahat adalah jahat. Benar adalah benar dan salah adalah salah. Tidak ada tolak-ansur lagi. Sempadannya sangat jelas. Sufi itu pun bertaubat daripada pegangannya yang dahulu. Kini mereka rindukan akhirat, kasihkan syurga dan takutkan neraka.

Wali yang menyempurnakan perjalanannya dan sampai kepada daerah kekhalifahannya bertanggungjawab membersihkan jalan menuju Allah s.w.t daripada pencemaran dan kesamaran. Yang benar adalah jelas dan jalan kepada kebenaran juga jelas. Yang salah adalah jelas dan jelas kepada kesalahan juga jelas. Wali yang bertaraf khalifah mampu menghuraikan ucapan-ucapan ganjil yang muncul dalam daerah kewalian sufi. Nabi adalah umpama titik awal yang tanpanya tidak mungkin dilukiskan huruf. Wali-wali sufi adalah titik-titik yang membentuk garis lengkung. Titik Nabi dan titik-titik wali sufi membentuk huruf nun. Walaupun garis lengkung itu panjang tetapi ia tidak bercantum dengan titik awal. Oleh itu terdapat perbezaan di antara garis lengkung dengan titik awal. Wali pada jalan kenabian iaitu khalifah kerohanian adalah pencantum garis lengkung kewalian sufi dengan titik awal kenabian. Khalifah memahami suasana kewalian sufi dan mampu membawa mereka kepada jalan kenabian. Khalifah menjadi penterjemah perkataan wali dan penegak perkataan Nabi. Kekusutan pada Jalan Kewalian Sufi dihuraikan oleh khalifah. Kebenaran pada jalan kenabian diperjuangkan oleh khalifah. Dari masa ke masa Tuhan menzahirkan khalifah-Nya untuk memperjuangkan jalan kenabian dan melindungi wali-wali yang tenggelam dalam jazbah, fana dan baqa.

Kebenaran sejati seperti yang ditemui oleh para khalifah berada dalam syariat yang lengkap yang menggabungkan syariat zahir dengan syariat batin. Orang yang memasuki Jalan Sufi sangat mementingkan syariat batin hinggakan biasa terjadi ada di kalangan mereka yang tidak mengamalkan sebahagian besar syariat zahir terutamanya yang melibatkan hubungan sesama manusia. Mereka yang tidak memasuki Jalan Sufi pula mementingkan syariat zahir hinggakan kebanyakan penilaian dibuat berdasarkan perbuatan zahir dan mengabaikan amalan hati. Khalifah Allah mengetahui bahawa kebenaran terletak pada cantuman kedua-dua syariat tersebut. syariat zahir adalah peraturan agama seperti yang dibicarakan oleh ilmu fikah. Syariat batin adalah amalan hati seperti yang dibicarakan oleh ilmu tasauf. Keislaman seseorang dikenali melalui syariat zahir. Syariat zahir yang membezakan orang Islam dengan orang kafir. Rasulullah s.a.w menolak permintaan kaum Taqif yang mahu dikecualikan daripada sembahyang lima waktu. Khalifah Abu Bakar as- Siddik memerangi puak yang enggan mengeluarkan zakat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w bertindak tegas terhadap orang yang menolak syariat zahir dan mereka sangat berwaspada terhadap orang diketahui meninggalkan syariat batin. Orang yang menolak syariat zahir kerana engkar adalah kufur. Orang yang membuang syariat batin adalah munafik. Syariat zahir berhubung dengan amalan Islam. syariat batin berhubung dengan amalan hati iaitu iman. Al-Quran menggabungkan iman dengan Islam (amal salih).

Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih.. ( Ayat 25 : Surah al-Baqarah )

Al-Quran juga menggesa supaya berlaku keras menghadapi kekufuran dan kemunafikan.

Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )

Ketaatan kepada syariat zahir dan syariat batin diperlukan bagi mengelakkan daripada terjatuh ke dalam kekufuran dan kemunafikan. Tidak seharusnya dipisahkan kedua-dua aspek syariat itu. Latihan kesufian haruslah ditujukan ke arah memudahkan seseorang melakukan seperti yang diajarkan oleh syariat. Tujuan utama latihan kesufian adalah untuk melahirkan keikhlasan secara spontan. Tiga bahagian penting di dalam syariat adalah iman, amal dan niat yang ikhlas. Tarekat kesufian sangat berkesan di dalam memupuk keikhlasan. Ketika melalui peringkat fana, sifat-sifat buruk tertanggal dan sifat ikhlas menjadi sebati. Setelah keluar dari kefanaan sifat ikhlas itu menjadi keperibadian. Orang sufi tidak perlu lagi membentuk keikhlasan dalam beramal kerana ikhlas sudah menjadi spontan pada setiap amalannya. Apabila ikhlas sudah menjadi keperibadian seseorang baharulah dia mencapai reda. Ikhlas dan reda tidak berpisah. Orang yang ikhlas dalam amalnya dan reda dengan hukum serta peraturan Tuhan itulah yang memperolehi keredaan Allah s.w.t yang merupakan kurniaan Allah s.w.t yang paling baik di dunia dan di akhirat.

Orang yang tidak menjalani tarekat sufi mendapati sukar untuk mempertahankan keikhlasan. Rangsangan yang mahu merosakkan keikhlasan itu selalu sahaja mendatanginya. Rasa ujub dan riak selalu masuk ke dalam hatinya untuk menghalau ikhlas keluar. Dia mesti memelihara hatinya agar musuh-musuh ikhlas itu tidak dapat masuk. Perjuangan dalam jiwa itu sering menimbulkan kegelisahan dan suasana jiwa yang tenang sukar diperolehi. Ikhlas yang muncul dari paksaan tidak kekal.

Jika iman dan amal boleh diperolehi melalui ketaatan kepada peraturan syariat, ikhlas yang menjadi intisari iman dan amal itu pula mudah diperolehi melalui suluk para sufi. Tanpa melalui perjalanan kepada Allah s.w.t dan perjalanan dalam Allah s.w.t, adalah sukar untuk mencapai keikhlasan yang sebenarnya, ikhlas dalam perkataan dan perbuatan, dalam gerak dan diam, yang lahir secara spontan bukan secara paksaan. Ikhlas yang demikian lahir setelah dibuat penafian terhadap semua jenis tuhan-tuhan yang di dalam dan di luar diri, kemudian masuk kepada fana dan baqa. Dengan cara yang demikian seseorang itu masuk kepada makam kewalian yang khusus. Wali peringkat khusus melakukan apa sahaja kerana Allah s.w.t bukan kerana muslihat diri sendiri, sebab dirinya sudah dikorbankan untuk Allah s.w.t. Wali tersebut tidak perlu menyucikan niat bagi memperolehi ikhlas kerana niatnya telah dipersucikan tatkala dia mengorbankan segala kepentingan dirinya untuk Allah s.w.t semata-mata dan dia masuk kepada kefanaan dan kebaqaan. Orang yang ada kesedaran terhadap dirinya, secara umumnya melakukan sesuatu dengan mengambil kira kepentingan diri, secara disedari atau tidak. Bila kasihkan diri sendiri lenyap diganti dengan kasihkan Allah s.w.t, apa sahaja yang dibuat adalah kerana Allah s.w.t, sama ada dia sengaja memperhatikan niatnya atau pun tidak. Orang yang sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi bahawa segala-galanya adalah untuk Allah s.w.t semata-mata, tidak perlu lagi memperjelaskan niatnya, tetapi orang yang masih ada pilihan untuk Allah s.w.t atau untuk diri sendiri, atau untuk sebab yang lain, perlulah memperjelaskan niatnya.

Orang yang tidak mengikuti jalan kesufian biasanya memperolehi kebenaran secara ilmiah semata-mata dan mereka juga memerlukan mujahadah dalam mengerjakan peraturan syariat. Kebenaran yang diketahui secara ilmiah itu dapat disaksikan oleh orang yang mengikuti tarekat sufi. Apa yang diketahui secara ilmiah dialami sendiri oleh orang sufi secara kerohanian. Pekerjaan syariat yang sukar dilakukan oleh orang biasa menjadi mudah bagi orang yang dilatih secara kesufian. Oleh sebab itu apabila orang sufi sampai kepada makam penetapan, keyakinannya sudah sangat teguh. Tanda orang sufi sampai kepada haqqul yaqin adalah apabila kebenaran yang dibukakan kepadanya keseluruhannya sesuai dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Jika ada perbezaan walaupun sedikit itu tandanya sufi itu belum sampai kepada Kebenaran Hakiki. Sufi tersebut belum terlepas sepenuhnya daripada kesan mabuk. Setelah dia melepasi kesan mabuk sepenuhnya dia akan menjadi khalifah kepada dirinya sendiri. Dia mampu menguruskan hal-ehwal dirinya dan menguasai penuh stesennya. Bercanggah dengan syariat adalah tanda nyata yang seseorang sufi masih dalam pencarian dan belum menemui Kebenaran Hakiki.

Ada segolongan sufi beranggapan bahawa syariat hanyalah kulit dan isinya adalah hakikat. Anggapan yang demikian menunjukkan bahawa sufi berkenaan tidak memperolehi pengalaman kerohanian yang benar. Sufi yang masuk kepada pengalaman kerohanian yang benar tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang demikian. Sufi yang benar tidak membezakan syariat dengan hakikat. Sebenarnya syariat terdiri daripada kulit dan isi. Kulitnya syariat zahir dan isinya syariat batin. Penggunaan istilah ‘hakikat' adalah untuk merujukkan kepada satu bahagian syariat batin yang mendalam. Walaupun digunakan istilah hakikat ia tetap juga bahagian syariat. Kebenaran yang dinyatakan dengan jelas dan juga secara simbolik juga termasuk dalam bidang syariat. Ulama zahir memberikan tumpuan kepada syariat zahir. Ulama yang lebih matang memberikan tumpuan kepada syariat zahir dan syariat batin sekaligus, tidak dipisahkan.

Peraturan syariat hukumnya sama bagi semua orang Islam. Orang awam dan ahli makrifat yang sempurna tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama, tidak ada kelonggaran bagi satu pihak dan penekanan pada pihak yang lain. Sufi yang masih baharu atau yang keliru dan orang jahil yang bertaklid melulu cuba membuang dasar syariat dengan mengatakan peraturan syariat terpakai kepada orang yang belum sampai ke makam makrifat. Mereka beranggapan sufi hanya perlu mendapatkan makrifat. Mereka beranggapan tujuan mematuhi syariat adalah untuk memperolehi makrifat. Bila makrifat sudah diperolehi peraturan syariat dengan sendirinya gugur. Golongan ini berpendapat ahli makrifat yang melakukan ibadat hanyalah untuk memberi contoh kepada orang ramai dan galakan kepada mereka untuk menuju kepada makrifat. Mereka mengatakan syariat hanya perlu dilakukan oleh orang yang masih baharu dalam perjalanan kerohanian sedangkan bagi mereka sendiri yang sudah mencapai makrifat tidak memerlukan syariat lagi. Inilah fahaman yang kufur dan sesat.

Ada pula golongan sufi yang hanya mementingkan hakikat, tetapi hakikat yang mereka maksudkan bukanlah syariat batin atau hakikat kepada syariat. Mereka mempunyai definasi sendiri mengenai hakikat dan syariat. Bagi mereka syariat hanyalah kulit semata-mata tanpa isi, tubuh tanpa nyawa. Isi atau nyawa tidak bergantung kepada kulit atau tubuh. Mereka maksudkan hakikat tidak bergantung kepada syariat. Sufi jenis ini membina fahaman berdasarkan pengalaman mereka semata-mata. Walaupun berfahaman demikian mereka menghormati syariat kerana ia datangnya dari Allah s.w.t dan patut dimuliakan. Mereka tidak bersetuju dengan perbuatan mencampakkan syariat kerana tindakan yang demikian menunjukkan tidak bersetuju dengan apa yang Tuhan lakukan. Sufi jenis ini adalah orang yang telah mengorbankan segala-galanya kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. Keasyikan dan mabuk yang menguasai mereka menyebabkan mereka memasuki suasana pengalaman kerohanian yang diistilahkan sebagai peringkat bayang, sehingga timbul fahaman yang berbeza daripada syariat. Namun sebagai orang yang mencintai Allah s.w.t mereka muliakan syariat yang diturunkan oleh-Nya. Golongan inilah yang berhak dimaafkan bukan dikutuk tetapi fahaman mereka tidak boleh diikuti dan dipegang. Perkataan mereka yang menyalahi syariat hendaklah dianggap sebagai ucapan latah orang yang di dalam mabuk.

Sufi golongan ke tiga memahamkan syariat sebagai gabungan kulit dan isi, tubuh dan nyawa. Mereka berpendapat memegang syariat zahir tanpa mencapai syariat batin adalah kurang bermakna, sementara mengambil syariat batin dengan membuang zahirnya adalah tidak sempurna. Mereka berfahaman bahawa seseorang boleh mengambil syariat zahir walaupun batinnya tidak menyerlah. Bagi mereka orang yang memberi tumpuan kepada syariat zahir dan beramal dengannya sudah boleh menyelamatkannya di akhirat kelak. Golongan yang mengambil syariat zahir sahaja adalah mereka yang berkedudukan sebagai ulama zahir dan orang Islam awam. Mengambil syariat zahir sahaja tanpa batinnya dibolehkan tetapi mengambil syariat batin tanpa zahirnya adalah tanda mungkin. Kesimpulan golongan ini adalah kecemerlangan zahir dan batin ditentukan oleh hubungan mereka dengan syarak dan semua kebenaran yang terdapat dalam fahaman agama yang dikenali sebagai Ahli Sunah wal Jamaah. Seribu pembukaan dan penyaksian dalam alam kebatinan tidak dapat menandingi fahaman agama iaitu Tuhan tidak menyamai sesuatu apa pun. Golongan tersebut tidak cenderung dengan pengalaman kerohanian yang bercanggah dengan kebenaran syariat walaupun sedikit. Bagi mereka pembukaan demikian hanyalah ujian yang mengheret mereka ke tempat azab secara perlahan-lahan. Mereka adalah golongan yang mendapat petunjuk dari Tuhan dan paling layak diikuti. Mereka sebenarnya adalah ulama yang berjaya, diberi bimbingan dan petunjuk yang benar oleh Tuhan. Tuhan membantu mereka menyatakan kebenaran syariat dan Tuhan memberi mereka ganjaran kerana mendukung peraturan syariat.

Sufi golongan ke tiga berbeza dengan golongan yang hanya mementingkan batin dan tidak sedikit pun mematuhi peraturan syariat. Golongan yang memisahkan diri dengan syariat menyangka kebenaran yang dicari tidak ada dalam syariat. Mereka menyangka syariat hanyalah tubuh yang tanpa nyawa. Mereka berpegang kepada kebenaran yang muncul dari bayangan dan mereka terpesong daripada arah yang menuju kepada kebenaran yang sejati. Akibatnya kewalian mereka hanyalah dalam perbatasan kewalian bayangan dan kehampiran mereka dengan Tuhan tidak melebihi tahap Sifat. Kewalian golongan ke tiga yang menggabungkan zahir dan batin syariat menemui kebenaran sejati dan asli. Mereka mendapat petunjuk dan menemui jalan kepada Zat Yang Hakiki, yang tiada sesuatu menyerupai-Nya. Mereka berjaya melepasi kebenaran peringkat rendah. Mereka maju sehingga ke penghujung jalan dan kesudahannya mereka memperolehi kewalian cara kenabian. Tahap tersebut dicapai dengan cara tidak sedikit pun meragui syariat dan tidak meninggalkan tuntutan syariat.

Golongan sufi yang berfahaman syariat hanyalah kerangka kosong dan hakikat iaitu kebenaran sejati berada diluar syariat, mendapat fahaman demikian melalui beberapa sebab. Sebahagian daripada mereka menjalani tarekat sufi hanya sampai kepada tahap bersatu dengan Tuhan. Mereka tidak meneruskan perjalanan mereka melepasi tahap tersebut. Ada pula yang mempelajari doktrin wahdatul wujud terlebih dahulu dan memulakan perjalanan dengan membawa kepercayaan doktrin tersebut. Segala usaha ditujukan untuk menzahirkan fahaman dan kepercayaan wahdatul wujud. Apabila mereka memulakan perjalanan di atas landasan wahdatul wujud maka yang mereka temui dan alami adalah wahdatul wujud. Golongan ini juga berhenti pada tahap bersatu dengan Tuhan dan meyakini bahawa yang ada hanya satu wujud iaitu Wujud Tuhan. Mereka membentuk keyakinan bahawa wahdatul wujud adalah kebenaran yang paling tinggi sehingga timbul anggapan bahawa wahdatul wujud adalah pegangan wali-wali. Mengaitkan wahdatul wujud dengan kewalian menambahkan keteguhan kepercayaan kepada doktrin tersebut. Mereka memandang hakikat agama melalui suluhan yang berdasarkan kepercayaan kepada satu wujud. Mereka memperkenalkan tauhid secara doktrin wahdatul wujud dan dengan lantang mengatakan syariat tidak memperkenalkan tauhid yang sebenar. Dari kalangan mereka ada yang mengatakan segala perkara dalam syariat adalah syirik, hanya pegangan wahdatul wujud yang bebas daripada syirik. Begitulah hebatnya pengaruh pengalaman kerohanian dalam membentuk keyakinan tentang kebenaran agama dan tauhid.

Selain sebab-sebab di atas sikap dan pandangan peribadi seseorang sufi itu sendiri memisahkan syariat daripada hakikat. Sufi jenis ini berpendirian hidup dalam pengasingan lebih baik daripada bercampur dengan orang ramai. Mereka berpendapat hanya sedikit sahaja hakikat yang boleh ditemui dalam syariat. Mereka berpendapat bidang hakikat terbuka dalam fana, zauk dan mabuk ketuhanan. Oleh kerana itu mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan berkhalwat dan beribadat sendirian tanpa mengambil bahagian dalam bidang dakwah, berjihad dan berkhidmat kepada masyarakat.

Golongan yang dipimpin kepada penghabisan jalan menemui bahawa syariatlah yang menunjukkan apakah kehidupan agama yang sebenarnya. Syariat bukan sahaja mengajarkan peraturan zahir yang diistilahkan sebagai syariat zahir, malah syariat juga membawa perkara-perkara kerohanian yang meliputi iman, tauhid, mahabbah, syukur, sabar, ikhlas, takwa, ihsan dan lain-lain. Bidang kerohanian seperti pemikiran, perasaan, daya rasa, niat, keinginan dan lain-lain juga berada dalam syariat. Syariat yang mencakupi perkara zahir dan batin adalah Agama Islam yang lengkap dan sempurna. Ia mengajarkan kehidupan beriman, bertakwa dan ihsan yang sempurna. Apa juga aliran tarekat hendaklah menjurus kepada memperteguhkan keyakinan dan pegangan kepada apa yang diperkatakan oleh syariat bukan mencari kebenaran yang lain daripada kebenaran syariat.

10. Pengalaman kerohanian sufi

Pengalaman kerohanian sufi



Roh Insan adalah cahaya dan nafsunya adalah kegelapan yang membungkus cahaya itu. Kaum sufi mengadakan latihan untuk menghalau kegelapan nafsu dan memancarkan cahaya roh. Jika tumpuan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan penuh kekhusyukan disertai oleh penyerahan kepada-Nya dan penyerapan dalam-Nya dengan cara yang betul, akan muncullah daya dan upaya yang menghalau kegelapan untuk memberi laluan kepada cahaya yang terang benderang. Bila penyerapan (kefanaan) ini bertambah kuat sehingga sufi sampai kepada peringkat melupakan dirinya dan segala yang maujud, sufi itu akan lenyap di dalam penyaksian cahaya-cahaya, seterusnya dia sampai kepada matlamat dengan membawa hijab bersama-samanya. Pada tahap ini dia sepenuhnya berada dalam kefanaan zahir dan batin. Jika selepas pengalaman fana itu penyaksian berterusan dengannya dia akan maju ke hadapan untuk melepasi peringkat fana dan mencapai baqa. Pada makam ini sufi tersebut boleh dianggap sebagai seorang wali. Sebahagian sufi yang sampai kepada makam ini kekal dalam penyerapan terhadap apa yang disaksikannya, lupa terhadap dirinya dan berterusan dalam suasana demikian sehingga ke akhir hayatnya. Sebahagian sufi yang lain melepasi peringkat tersebut, kembali kepada kesedaran keinsanan dan kehidupan dunia, lalu mengambil tugas dalam bidang dakwah, membimbing orang lain kepada jalan Allah s.w.t. Pada tahap ini batinnya tidak berpisah dengan Tuhan sementara zahirnya sibuk melayani makhluk Tuhan. Dia keluar dari bayangan dan hijab kerana cahaya roh sudah menembusi kegelapan nafsu. Bila cahaya sudah menang kegelapan akan tunduk kepada cahaya untuk berbuat ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Nafsu menjadi suci bersih, tidak lagi mengheret kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Orang yang telah mencapai peringkat di mana cahaya rohnya keluar memancar dari kegelapan nafsu dan nafsu tunduk kepada kebenaran itu layak masuk ke dalam golongan ‘tangan kanan' Tuhan. Golongan yang kembali sedar dan mengambil bahagian dalam kegiatan kehidupan dunia ini akan dikurniakan kejayaan oleh Tuhan dalam tugasnya. Rahmat Tuhan mengalir melalui mereka kepada umat manusia.

Peringkat perjalanan sufi yang sering menimbulkan kekeliruan adalah peringkat yang ada suluk, jazbah, zauk, fana dan baqa. Di antara semua hal dalam peringkat tersebut, penyaksian kepada rupa, bentuk, warna dan cahaya merupakan perkara yang paling menimbulkan tanda-tanya.

Suluk adalah satu bentuk latihan kerohanian yang bertujuan mengosongkan hati daripada sifat-sifat yang keji dan memasukkan sifat-sifat yang terpuji ke dalamnya. Berbagai-bagai jenis ibadat dilakukan semasa bersuluk. Bentuk latihan dan ibadat yang terperinci bergantung kepada perguruan tarekat masing-masing. Semasa bersuluk itu seseorang mungkin mengalami atau merasai sesuatu yang dinisbahkan kepada ketuhanan, di mana hijab terangkat dan orang yang berkenaan menyaksikan atau merasakan suasana alam ghaib. Suasana yang menguasai hati itu dinamakan jazbah dan hati yang dikuasai oleh jazbah itu dikatakan berada dalam zauk. Perkara atau pengalaman yang dizaukkan itu dinamakan hal. Jazbah itu terjadi ketika seseorang itu hilang kesedaran terhadap dirinya dan alam maujud sekaliannya. Kelenyapan kesedaran itu dinamakan fana. Seseorang itu mengalami kefanaan tatkala terbuka hal-hal ketuhanan kepada hatinya. Selepas melalui kefanaan seseorang memperolehi semula kesedaran dirinya tetapi dalam keadaan merasakan dirinya berada bersama-sama Allah s.w.t. Suasana yang begini dinamakan baqa.

Jazbah, fana dan baqa merupakan pengalaman hati, berlaku dalam alam kebatinan orang yang sedang bersuluk. Dalam keadaan demikian hati menyaksikan atau mengalami perkara ghaib. Yang disaksikan itu boleh jadi rupa, bentuk, warna atau cahaya. Walaupun yang disaksikan itu bersifat ghaib, tidak boleh dipandang dengan mata zahir, tetapi ia bukanlah Tuhan. Penyaksian tersebut tertuju kepada bentuk misal yang digubah oleh Tuhan. Bentuk misal bukanlah Yang Hakiki. Yang Hakiki tidak dapat dimisal atau digambarkan. Bentuk misal yang muncul itu bergantung kepada diri orang yang berkenaan dan apa yang dia asyikkan. Orang Hindu yang asyikkan lembu akan menemui bentuk misal lembu dalam alam kebatinannya. Orang Keristian yang asyikkan Isa al-Masih akan temui bentuk misal Isa al-Masih. Orang Yahudi yang asyikkan Uzair akan temui bentuk misal Uzair. Orang yang asyikkan dirinya akan temui bentuk misal dirinya. Bentuk misal menjadi tumpuan orang yang sedang keasyikan dan kerinduan. Seorang kekasih yang sedang keasyikan dan sangat merindui kekasihnya merasakan gambar kekasihnya yang hanya sekeping kertas sebagai kekasihnya sendiri, hidup-hidup. Gambar itu dipeluk dan diciumnya, malah dia berkata-kata dengan kertas ditangannya itu. Bentuk misal pada alam ghaib berbeza daripada gambar pada kertas yang kaku. Misal alam ghaib boleh disaksikan oleh hati. Oleh yang demikian misal alam ghaib meninggalkan kesan yang lebih kuat dan lebih mendalam kepada hati yang menyaksikannya. Orang yang sedang asyikkan Allah s.w.t, tidak ada sesuatu dalam ingatannya selain Allah s.w.t, segala keasyikan dan kerinduannya akan menjurus kepada cahaya atau misal yang disaksikannya dalam alam ghaib. Pada perasaannya apa yang disaksikannya adalah Allah s.w.t, semata-mata Allah s.w.t, tidak yang lain. Orang yang dalam keadaan demikian bukan sahaja dikuasai oleh penyaksian terhadap Allah s.w.t pada alam ghaib, bahkan pada alam nyata juga. Apa yang menyata pada pandangan zahirnya dan pandangan hatinya, baginya adalah Allah s.w.t, tiada yang lain. Bentuk ghaib dan bentuk nyata semuanya menjadi misal untuknya melihat Allah s.w.t. Pengalaman yang demikian terjadi akibat mabuk. Mabuk ketuhanan dialami oleh hati. Ia terjadi kerana insan sebagai bekas yang baharu dan lemah digunakan untuk ‘memasukkan' Allah s.w.t ke dalamnya. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu menanggung Tuhan. Bukit Thursina yang dihadapkan dengan tajalli Allah s.w.t telah hancur berkecai. Bukit dan tubuh manusia sama-sama disusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Jika bukit hancur berhadapan dengan tajalli Allah s.w.t, tubuh manusia juga akan hancur dalam keadaan demikian. Oleh kerana yang berlaku pada hati bukanlah tajalli Allah s.w.t tetapi hanyalah misalan yang lahir dari keasyikan dan kerinduan kepada Allah s.w.t, maka tubuh mampu bertahan dan tidak menjadi hancur. Walaupun begitu Cinta Allah s.w.t tetap memberi kesan kepada hati dan tubuh badan. Kesan kepada hati dinamakan mabuk ketuhanan. Tubuh yang menjadi bekas kepada hati yang menerima mabuk ketuhanan itu akan mempamerkan kesan tersebut seperti menggeletar, berubah warna menjadi pucat, menari, menyanyi dan lain-lain mengikut hal mabuk orang berkenaan. Cinta Allah s.w.t dan mabuk ketuhanan itu juga yang melahirkan rasa bersatu dengan Allah s.w.t. Mabuk ketuhanan dan rasa bersatu dengan Allah s.w.t terjadi ketika seseorang itu melupakan dirinya. Apabila kesedaran terhadap kewujudan diri kembali sedikit demi sedikit, rasa bersatu berubah menjadi rasa kekal bersama-sama Allah s.w.t atau baqa.

Pengalaman bersatu dengan Tuhan, sebelum mencapai baqa, menimbulkan keasyikan, mabuk dan terbalik pandangan yang menyebabkan terhijab Yang Hakiki. Penyatuan yang mabuk itu biasanya menimbulkan latah, iaitu terucap kata-kata yang menyalahi syariat. Pengalaman wahdatul wujud atau merasai satu wujud boleh menyebabkan seseorang mengingkari Sunah Rasulullah s.a.w, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya mentaati Rasul-Nya. Hanya orang yang dipimpin dan dipelihara akan tetap berada dalam sempadan syariat sekalipun mereka mengalami wahdatul wujud. Mereka yang dipelihara mengekalkan sembahyang lima waktu dan menjauhkan perbuatan dosa. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan latah. Sekalipun sufi yang di dalam mabuk terlibat dengan ucapan latah tetapi mereka tidak boleh dikutuk dan juga orang yang mendengar ucapan demikian tidak menjadikannya pegangan. Sufi yang di dalam keadaan mabuk ketuhanan dikuasai oleh perasaan cinta kepada Allah s.w.t yang bersangatan sehingga hilang kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya. Mereka berhak dimaafkan dari kesalahan mereka mengeluarkan ucapan latah dalam keadaan tidak sedar. Orang ramai yang bukan dalam jazbah, jika mengatakan demikian, beramal menyalahi syariat atau melepaskan syariat, maka mereka adalah sesat dan kufur.

Ketika dalam suasana penyatuan orang sufi tidak dapat membezakan di antara yang betul dengan yang salah, yang benar dengan yang batal, kesenangan dengan kesusahan, emas dengan pasir dan yang baik dengan yang buruk. Jika dia maju ke hadapan lagi dia akan masuk kepada peringkat di mana dia boleh membuat perbezaan di antara benar dengan salah dan baik dengan buruk. Orang sufi yang sudah masuk kepada peringkat ini, walaupun masih dikenali sebagai sufi, tetapi jalan mereka sudah berubah kepada tarekat Islam (jalan kenabian), bukan lagi tarekat sufi. Dalam tarekat Islam orang boleh membezakan Tuhan dengan makhluk, dosa dengan pahala dan sebagainya.

Perpindahan daripada tarekat sufi yang ada wahdatul wujud kepada tarekat Islam yang membezakan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk, tidaklah membebaskan sufi daripada kesan wahdatul wujud dengan serta merta. Ketika di peringkat awal mengalami perbezaan, walaupun sufi sudah mula mengenali perbezaan tersebut, tetapi keupayaannya masih lagi lemah dan mereka masih belum mampu mengadakan pemisahan dengan jelas. Mereka masih mempercayai, walaupun sudah melihat perbezaan, bahawa perbezaan tersebut bersumberkan kepada kesatuan. Suasana yang demikian menimbulkan ungkapan: "Pandang yang banyak kepada Yang Satu" ; "Pandang Yang Satu kepada yang banyak" dan "Pandang Yang Satu kepada Yang Satu". Bila mereka maju lagi keupayaan mengadakan perbezaan menjadi semakin kuat dan jelas sehingga akhirnya mereka benar-benar mampu mengadakan perbezaan. Pada akhir perjalanan mereka akan melihat dengan jelas bahawa Tuhan dengan makhluk bukan satu. Tuhan bukan alam dan alam tidak sedikit pun menyamai Tuhan. Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada maklumat, ibarat dan misal yang mampu menceritakan tentang Tuhan. Bila sampai kepada peringkat ini sufi telah terlepas sepenuhnya daripada pengaruh pengalaman wahdatul wujud, bersatu dengan Tuhan dan mabuk. Sufi kembali sedar dan boleh mengawal tutur katanya. Tidak ada lagi ucapan latah. Perkataan dan perbuatannya tidak lagi menyalahi syariat. Mereka kembali kepada syariat dan menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai teladan. Peningkatan tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Orang yang tidak berhenti di tengah jalan akan menemui kebenaran yang sejati di penghujung jalannya. Tarekat kesufian berubah kepada tarekat Islam atau jalan kenabian. Tidak ada lagi fahaman yang mensyirikkan Tuhan dengan bayangan, gambaran, rupa, bentuk, warna, cahaya dan sebarang misal. Fahaman dan pegangan mereka sesuai dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah.

Pengalaman kerohanian seperti fana dan baqa, pengalaman rasa dan penyaksian kepada gambaran misal pada alam ghaib, semuanya berlaku dalam alam kebatinan atau alam perasaan sufi, bukan kewujudan yang nyata. Manusia tidak bertukar menjadi Tuhan, tidak bersatu dengan-Nya dan tidak juga kekal bersama-sama-Nya. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba. Baik cahaya mahu pun suara yang didengar semuanya adalah gubahan Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia. Apa juga yang disaksikan dan didengar hendaklah dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan:"Laailahaillallah" Kalimah Tauhid ini mestilah membawa maksud : "Tiada Tuhan melainkan Allah" bukan "Tiada yang maujud melainkan Allah". Makhluk tetap wujud pada kenyataan sekalipun hilang pada alam perasaan sufi. Tuhan tetap Berdiri Dengan Sendiri pada makam ketuhanan-Nya dan makhluk tetap wujud dalam sempadan wujud yang Tuhan tentukan untuk mereka. Tuhan menciptakan makhluk dengan peraturan dan ketetapan bahawa tidak mungkin wujud makhluk berlanggar atau bertembung dengan Wujud Tuhan, tidak mungkin berlaku penyatuan atau perpisahan dan tidak mungkin bersamaan. Wujud makhluk tidak boleh disamakan sedikit pun dengan Wujud Tuhan.

Rupa, bentuk, misal, cahaya dan warna yang disaksikan oleh sufi hanyalah gubahan Tuhan bukan Zat Tuhan dan bukan juga Sifat Tuhan. Tuhan menggubahkan yang demikian sebagai tarikan bagi sufi untuk mengenali-Nya. Sufi yang benar akan maju terus untuk melepasi gubahan Tuhan itu menuju kepada Yang Hakiki, yang melepasi segala bentuk gubahan, maklumat, sifat dan misal. Alam Misal yang dipertemukan dengan sufi itu berperanan sebagai batu loncatan untuk sufi bertawajjuh (melonjak) kepada Yang Haq. Peranan misal tersebut samalah seperti peranan al-Quran. Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sebahagian manusia dijadikan hujah oleh kumpulan manusia yang lain dalam mempertahankan pegangan mereka yang keliru. Manusia dari berlainan mazhab bertengkar sesama sendiri dengan masing-masing menggunakan al-Quran sebagai hujah. Bagi sebahagian manusia al-Quran mendatangkan petunjuk tetapi bagi yang lain pula digunakan untuk menyebarkan fitnah. Begitu juga keadaan misal yang dipersaksikan kepada sufi dalam alam ghaib. Sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripadanya dan mereka didorong oleh yang demikian untuk sampai kepada Yang Haq. Sebahagian yang lain pula tertawan lalu berhenti di situ. Orang yang berjalan terus menemui Yang Maha Esa, yang menggubah bentuk, rupa, cahaya dan warna, yang mengeluarkan semua stesen dan membimbing sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sebelum sampai kepada Yang Hakiki apa juga yang disaksikan hanyalah bayangan, walaupun pengalaman menyaksikan ‘yang banyak pada Yang Satu' atau sebaliknya. Nafikan segala yang datang. Ulangi kalimah: "Laailaaha ilallah" sebanyak mungkin sehingga habis segala penyaksian dan pengetahuan juga tidak ada lagi. Pada tahap ini sufi dikuasai oleh kehairan-hairanan, kerana apa juga yang dibina oleh pengetahuan, penyaksian, khayalan, fikiran, cita-cita dan angan-angan semuanya runtuh dan lemah longlai apabila berhadapan dengan Zat Allah s.w.t. Tidak ada apa yang boleh mengatakan atau menggambarkan tentang Yang Hakiki. Apa yang tinggal adalah kejahilan. Inilah tahap fana yang sebenarnya. Sebelum mencapai kehairan-hairanan dan kejahilan hakiki, seseorang itu sebenarnya belum lagi memperolehi fana hakiki. Jangan cepat menyangka diri sudah mencapai matlamat dan berhubung dengan Tuhan. Perjalanan masih lagi jauh.

Bukanlah pengetahuan (ilmu) dan pengenalan (makrifat) yang menandakan seseorang itu sudah sampai ke penghujung jalan. Selagi ada ilmu dan makrifat selagi itulah jalan belum tamat. Tanda seseorang itu sampai ke peringkat akhir adalah apabila tidak ada lagi pengetahuan dan tidak ada juga makrifat, kedua-duanya mengaku kalah di hadapan Allah s.w.t. Apa yang ada hanyalah kejahilan hakiki. Tidak ada lagi pendapat tentang Tuhan juga tidak ada walau satu bentuk pun pengenalan mengenai-Nya. Pada ketika itu hamba dengan segala kerendahan hatinya mengakui bahawa tidak ada sesiapa yang mampu memecahkan benteng keperkasaan-Nya yang melindungi keesaan-Nya. Pengetahuan sebenar tentang Tuhan adalah tidak tahu. Pengenalan sebenar tentang Tuhan adalah tidak kenal. Setinggi-tinggi ilmu dan makrifat yang boleh dicapai adalah pengakuan bahawa hanya Dia yang kenal Diri-Nya. Abu Bakar as-Siddik yang sentiasa benar telah mengatakan: "Maha Suci Tuhan yang tidak mengadakan jalan untuk Dia dikenali melainkan memberi kita kesedaran dan pengetahuan yang Dia tidak mungkin dikenali".

Haruslah difahami tentang tujuan fana dan baqa. Ia bukanlah jalan untuk mendapatkan kekeramatan atau kebolehan yang luar biasa. Ia juga bukan bertujuan mendapatkan ilmu dan makrifat yang tidak ada dalam al-Quran dan tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia juga tidak bertujuan mengadakan peraturan baharu yang tidak ada dalam syariat. Fana yang sebenar adalah membuang apa sahaja yang tidak suci, bebas daripada mencintai dunia, dapat membendung fitnah nafsu. Semuanya adalah berdasarkan kehambaan kepada Allah s.w.t. Baqa sebenar adalah melakukan semua perintah Allah s.w.t, menjadikan kehendak-Nya sebagai kehendak diri sendiri tanpa perlu membuang kedirian sendiri. Fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah adalah jalan yang paling benar dan paling lurus.

Bagi mencapai fana secara sufi, seseorang itu hanya perlu mengalami penyaksian yang satu, diistilahkan sebagai tauhid syuhudi. Dia tidak perlu mempercayai dan berpegang dengan fahaman satu wujud, atau tauhid wujudi atau biasa dikenali sebagai wahdatul wujud. Bukanlah mustahil bagi seorang sufi maju dalam bidang kerohanian, meningkat dari satu makam kepada makam yang lebih tinggi, tanpa dia melibatkan diri dengan fahaman wahdatul wujud atau ikut mengalaminya. Ramai sufi sampai kepada matlamat tanpa melalui pengalaman wahdatul wujud, malah tanpa pengalaman yang demikian perjalanan akan menjadi lebih teratur dan mudah. Orang yang terlibat dengan wahdatul wujud berkemungkinan besar ditawan oleh bayangan yang menyebabkan sukar bagi mereka melepasi suasana tersebut. Orang yang tidak melalui wahdatul wujud mudah sampai kepada matlamat. Golongan wahdatul wujud mengejar bersatu dengan bayangan sementara yang menolak wahdatul wujud menemui Yang Hakiki. Walaupun jalan kesufian sering dikaitkan dengan fahaman dan pengalaman wahdatul wujud tetapi perlulah diketahui bahawa ramai dari kalangan mereka yang beramal menurut tarekat sufi tetapi tidak ditarik kepada hal yang demikian. Jadi, mengikat kesufian dengan wahdatul wujud sebenarnya tidak tepat. Ia hanyalah satu kemungkinan yang ada pada jalan kesufian tetapi bukanlah kemestian. Ramai daripada kalangan sufi yang terdorong kepada wahdatul wujud akhirnya meninggalkan fahaman tersebut dan kembali kepada jalan kenabian. Sufi yang ditarik kepada jalan kenabian memasuki jalan yang dipanggil jalan mahabbah. Kasihan belas Tuhan yang membimbing mereka untuk keluar daripada bayangan awan wahdatul wujud untuk menyaksikan Yang Haq. Sufi yang memasuki jalan mahabbah menafikan wahdatul wujud dan apa sahaja yang disaksikannya. Setelah habis yang disaksikan sufi itu masuk kepada suasana kejahilan dan kehairanan bukan ilmu dan makrifat. Tuhan tidak termasuk di dalam perbatasan ilmu dan makrifat. Setelah sampai kepada kejahilan sebenar, sekiranya seseorang itu dikurniakan pengetahuan maka itulah pengetahuan yang paling benar dan orang yang berkenaan adalah sangat bertuah. Dengan pengetahuan yang sebenar itu seseorang mengetahui bahawa Keesaan yang sebenar tidak muncul di dalam yang banyak. Pengetahuan yang sebenar mengajarkan bahawa hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Itulah pengetahuan yang paling benar selepas mencapai fana yang sebenar, yang diperolehi sesudah menemui kejahilan. Sebelum sampai kepada kejahilan dan kehairanan apa yang dikatakan fana hanyalah kekosongan, bukan kefanaan. Kejahilan ditemui dahulu baharulah kefanaan diperolehi.

Ada sufi yang mengatakan mereka berkata-kata dengan Tuhan dan melihat Tuhan di dalam dunia ini. Sufi tersebut adalah umpama orang yang mendengar bunyi alat muzik lalu menyangka bunyi tersebut adalah suara pemain alat muzik itu. Suara ghaib yang didengar bukanlah suara Tuhan. Itu hanyalah suara gubahan Tuhan, kerana tajalli sifat Tuhan tidak mampu ditanggung oleh manusia, termasuklah tajalli Kalam Tuhan. Kalam Tuhan tidak bersuara dan tidak berhuruf. Perkataan yang didengar bukanlah tutur-kata yang keluar secara langsung dari Tuhan sebagaimana orang bercakap. Ia adalah suara gubahan Tuhan menurut kadar kemampuan manusia menerimanya. Perkataan yang didengar itu sama dengan sesuatu yang dikelaskan sebagai hubungan yang dicipta dengan Pencipta, bukan suara Pencipta sendiri. Kalam Tuhan yang didengar oleh Nabi Musa a.s adalah dalam keadaan perkataan dengan Pencipta perkataan. Begitu juga perkataan yang diterima oleh Jibrail a.s. Perkataan Tuhan Yang Hakiki hanya didengar oleh-Nya sendiri. Apabila berhubung dengan makhluk-Nya Tuhan menggubahkan Kalam yang mampu didengar dan diterima oleh mereka. Oleh kerana perkataan demikian dinisbahkan kepada Tuhan semata-mata, bukan kepada malaikat atau lainnya, maka menafikannya adalah kufur. Kalam Tuhan merangkumi kedua-dua aspek iaitu Kalam Batin dan Kalam Yang Bersuara yang Tuhan ciptakan tanpa sesuatu perantaraan. Kalam yang begini adalah Kalam Tuhan yang sebenarnya, tetapi keadaannya haruslah difahami. Dalam perkara ketuhanan konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan. Mengenai suara ghaib yang didengar oleh orang sufi, walaupun ia dinisbahkan kepada Tuhan namun, ia tidak menyamai wahyu. Wahyu merupakan terjemahan secara langsung kepada Kalam Hakiki. Suara ghaib yang didengar oleh seseorang berhubung dengan hakikat yang menguasai seseorang itu. Perkataan demikian adalah terjemahan perutusan Tuhan yang diterima oleh Diri Batin seseorang. Suara ghaib mengeluarkan perkataan dan maklumat menurut kadar kekuatan batinnya menerima urusan Tuhan, bukan terjemahan Kalam Hakiki secara langsung. Oleh kerana kekuatan batin manusia berbeza-beza maka kedudukan maklumat yang disampaikan oleh suara ghaib juga berbeza. Ada yang menerima maklumat secara jelas dan terperinci dan ada pula yang menerimanya secara samar-samar atau dalam bentuk ibarat yang perlu ditafsirkan. Gaya bahasa yang digunakan dalam penyampaian suara ghaib juga berdasarkan kedudukan seseorang itu. Sebab itu orang yang mendengar suara ghaib menyampaikannya dalam gaya bahasa biasa. Wahyu pula mempunyai gaya bahasa yang tersendiri, tidak boleh ditiru-tiru oleh manusia dan tidak ada bahasa manusia yang mengatasi bahasa wahyu.

Sufi yang berfahaman boleh melihat Tuhan di dalam dunia ini menyamakan cahaya (nur) dengan Tuhan. Mereka percaya nur itu adalah Zat Tuhan sendiri. Anggapan demikian tidak benar. Nur Tuhan berkedudukan sebagai urusan Tuhan, sama seperti kedudukan Kalam Tuhan iaitu wahyu. Kalam Tuhan Yang Hakiki tidak boleh didengar oleh telinga zahir dan juga telinga batin. Hanya Tuhan sendiri yang mendengar Kalam Hakiki-Nya.

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu (utusan itu) mengkhabarkan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi Maha Bijaksana. ( Ayat 51 : Surah asy-Syura )

Manusia hanya boleh berhubungan dengan Allah s.w.t hanya kerana ada ‘pelapik' atau hijab. Manusia tidak mampu menanggung tajalli Allah s.w.t, baik tajalli Zat mahu pun tajalli Sifat. Walaupun sudah dihijabkan hanya manusia tertentu sahaja mampu menanggung apa yang datang dari Allah s.w.t. Wahyu tidak turun kepada semua orang. Wahyu hanya turun kepada golongan Nabi-nabi kerana hanya Nabi-nabi yang mampu menanggung kedatangannya. Manusia yang bukan Nabi akan hancur jika wahyu turun kepada mereka. Apa yang didatangkan kepada manusia lain sudah dihijabkan dengan hijab yang lebih tebal, menurut kedudukan seseorang itu. Baik mendengar perkataan Allah s.w.t atau melihat Allah s.w.t atau melihat Nur Allah s.w.t, semuanya adalah disebalik hijab. Kalam Allah s.w.t Yang Hakiki tidak boleh didengar oleh sesiapa pun dan Nur Allah s.w.t tidak boleh dilihat oleh sesiapa pun, baik secara zahir mahu pun secara batin. Apa yang didengar dan dilihat oleh orang sufi adalah ayat-ayat atau tanda-tanda tentang Allah s.w.t tetapi bukanlah Zat Diri-Nya. Benteng keperkasaan Allah s.w.t tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun, baik secara zahir mahu pun secara batin. Suasana kerohanian yang menyentuh hati insan atau berhubung dengan alam perasaan insan dinamakan Hadrat-Nya iaitu rasa kehadiran-Nya, bukanlah Tuhan sendiri. Tuhan menyampaikan Hadrat-Nya kepada hamba-Nya sebagai jalan bagi hamba berhubung dengan-Nya. Suasana Hadrat yang menguasai seseorang hamba berbeza dengan Hadrat yang menguasai hamba yang lain. Suasana tersebut boleh berubah dari masa ke masa tetapi Zat-Nya tidak berubah.

Dari berbagai-bagai pengalaman yang dilalui oleh orang sufi, tarekat sufi boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama adalah tarekat yang terlibat dengan pengalaman bersatu dengan Tuhan dan tarekat yang kedua adalah yang membezakan Tuhan dengan hamba. Jenis pertama dipanggil tarekat sufi. Jenis kedua pula walaupun ia juga tarekat orang sufi tetapi ia dikenali sebagai tarekat Islam. Dalam tarekat jenis pertama sufi dikuasai oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t yang bersangatan dan mengasyikkan sehingga apa sahaja yang selain-Nya dilupakan. Golongan yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri dan melupakan sekalian makhluk ini layak mendapat simpati, kasih sayang dan ganjaran. Walaupun berlaku perlakuan kufur menurut syariat zahir tetapi ia terjadi bukan dalam kesedaran dan bukan disengajakan. Kufur tarekat ini berbeza dengan kufur syariat yang disengajakan dan dalam kesedaran. Kufur syariat berlaku kerana kejahilan dan keingkaran dan orang yang berkenaan patut ditentang. Perbuatan sengaja menggunakan perkataan latah yang diucapkan oleh sufi yang mabuk, sedangkan orang berkenaan di dalam kesedaran biasa, merupakan kekufuran yang nyata dan perlu ditentang dengan keras. Golongan sufi tiruan tidak boleh dibiarkan merosakkan akidah orang ramai.

Latah biasa terjadi kepada sufi yang mengalami kufur tarekat, mengalami mabuk dan tidak berupaya membezakan yang benar dengan yang batal. Bagi mereka semua perkara berada di atas jalan yang benar. Mereka tidak membezakan Tuhan dengan makhluk. Mereka mempercayai satu wujud sahaja iaitu Wujud Tuhan. Apa sahaja yang zahir mereka anggapkan penzahiran Tuhan yang tidak lain daripada Tuhan. Bila mereka benar-benar mencapai tahap bersatu dengan Tuhan dan bermukim pada kufur tarekat mereka melepaskan apa sahaja kecuali Tuhan. Mereka membuang ikhtiar memilih dan melupakan sekalian makhluk. Ucapan latah mereka merupakan luahan perasaan yang gilakan Tuhan atau mabuk ketuhanan. Ucapan yang demikian tidak boleh dipakai oleh orang lain yang di dalam kesedaran, sementara sufi berkenaan perlu dimaafkan. Tetapi jika sufi itu tidak mencapai peringkat tersebut secara sempurna, sedangkan dia masih juga mengucapkan ucapan latah yang menyalahi syariat, percaya bahawa tidak ada perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk, baik dengan jahat, benar dengan salah, maka orang ini benar-benar kufur kerana mendustai apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w secara sedar dan sengaja. Latah boleh keluar dari mulut sufi yang benar lagi lurus, yang dikuasai oleh hal ketuhanan yang mereka tidak berupaya mengawalnya. ‘Latah' juga boleh keluar dari mulut orang jahat lagi pendusta yang menjadi racun, menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Ramai orang yang dalam kesedaran biasa terikut-ikut dengan doktrin yang digubah berdasarkan ucapan latah orang sufi. Akibatnya mereka merosakkan agama sendiri dan masuk kepada kesesatan. Sufi yang benar walaupun terlibat dengan ucapan latah yang menyalahi syariat namun, mereka teguh melaksanakan peraturan syariat seperti sembahyang lima waktu, sekalipun mereka dikuasai oleh mabuk. Seorang sufi besar yang terkenal dengan mabuk, Abu Mansur al-Hallaj, walaupun dikuasai oleh mabuk dan terlibat dengan ucapan latah, beliau kuat mengerjakan sembahyang. Beliau biasa mengerjakan sembahyang sunat 500 rakaat sehari semalam.

Sufi yang dikurniakan tarekat Islam selamat daripada suasana mabuk dan latah. Mereka menuruti jejak Rasulullah s.a.w dalam kehidupan batin dan mengamalkannya dalam kehidupan zahir. Dalam tarekat Islam ada pengalaman perpisahan dan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba, selepas peringkat penyatuan. Sufi kembali menyaksikan perbezaan di antara yang benar dengan yang salah, baik dengan jahat. Sebenarnya tarekat Islam itu sendiri merupakan sebahagian daripada syariat Islam yang sempurna. Tarekat adalah sebahagian daripada syariat bukan sesuatu yang berasingan. Berlainan istilah digunakan bagi membezakan syariat pada zahir dengan syariat pada batin atau antara Hakikat Syariat dengan keadaannya yang zahir. Lebih tidak mengelirukan jika digunakan sahaja istilah syariat zahir dengan syariat batin yang berkumpul sebagai syariat yang sempurna. Memanggil syariat zahir sebagai syariat dan syariat batin sebagai tarekat mudah menimbulkan kekeliruan dan membuka jalan kepada sufi tiruan menabur fitnah dan syak wasangka dalam hati orang yang jahil.

Sufi yang dalam keasyikan dan mabuk adalah umpama seorang bayi yang dijaga sepenuhnya oleh ibunya. Ibunya menyayangi dan melindunginya. Si bayi boleh membuang air besar dan kecil di merata tempat, ibunya tidak akan marah. Tidak ada beban yang diletakkan oleh si ibu kepada bayinya. Apa juga yang si bayi lakukan si ibu menerima dengan penuh kasih sayang. Si ibu memperakui bahawa si bayi tidak berupaya menjaga dirinya sendiri. Bila si anak itu sudah baligh, kasih sayang dan perlindungan ibu tidak boleh dijadikan alasan untuk dia terus berkelakuan sebagai bayi. Dia sudah bertanggung-jawab memikul beban dirinya dan tertakluk kepada peraturan dan adab sopan.

Orang majzub dijaga sepenuhnya oleh Tuhan. Tuhan murka kepada sesiapa yang menyakiti orang majzub. Biasanya orang yang menyakiti orang majzub menerima balasan dengan segera. Perkataan orang majzub biasanya menjadi kenyataan. Keadaan yang demikianlah menyebabkan orang ramai yang berminat dengan aliran tarekat tasauf menganggap orang majzub sebagai orang keramat. Sebenarnya kekeramatan bukanlah milik seseorang. Ia adalah hak Tuhan yang dizahirkan dalam melindungi para pencinta-Nya yang tidak berupaya melindungi diri sendiri. Setelah ahli majzub kembali sedar, maka bakat dan keupayaan dirinya kembali berfungsi dan fenomena kekeramatan jarang atau pun tidak lagi berlaku pada dirinya. Dia menyelesaikan sesuatu perkara dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa tanpa melalui kekeramatan.

09. Tujuan latihan kerohanian

Tujuan latihan kerohanian



Manusia fitrah yang memasuki jalan kesufian dan melakukan berbagai-bagai latihan kerohanian didorong oleh tujuan yang suci iaitu untuk menjadi hamba Allah s.w.t sebaik mungkin.. Mereka telah terlebih dahulu mengikuti jalan yang dilalui oleh orang ramai. Mereka telah bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan beramal menurut peraturan syariat. Kehidupan harian dijadikan tarekat buat bermujahadah pada jalan Allah s.w.t, demi memperolehi keredaan-Nya. Dia kuat melakukan ibadat dalam aspek hubungan dengan Tuhan dan juga amalan dalam aspek hubungan sesama manusia. Walaupun mereka sudah menjaga peraturan syariat sekadar kemampuan mereka, namun hati mereka masih merasakan kekosongan. Mereka sudah berjumpa dengan berbagai-bagai guru namun, banyak persoalan yang timbul dalam fikiran mereka tidak dapat dijelaskan secara memuaskan hati mereka. Mereka sampai kepada peringkat mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu apa yang dicari. Mereka diganggu oleh persoalan-persoalan yang mereka tidak tahu di mana mahu mendapatkan jawapan. Mereka merasakan kekosongan jauh di dalam lubuk hati, seolah-olah menantikan sesuatu untuk memenuhinya. Kekuatan akal mereka sudah sampai ke perbatasan yang tidak mungkin ditembusi lagi. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan fikiran mereka keliru. Mereka mencuba mencari kedamaian melalui amalan tetapi tidak berjaya. Mereka mencuba mendapatkan kedamaian melalui orang-orang alim yang mereka kenali, juga tidak berjaya. Orang alim merupakan modal terakhir mereka. Bila modal tersebut gagal memberikan hasil yang mereka harapkan, mereka sampai kepada titik peralihan. Jiwa mereka mudah terangsang apabila melihat kesyirikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka melihat kerosakan berlaku tetapi mereka tidak terdaya menahannya. Apabila mereka memandang kepada masyarakat mereka melihat kepada kemunkaran dan kerosakan dan apabila mereka memandang kepada diri sendiri mereka melihat ketidak-upayaan mereka mencegah kerosakan yang berlaku. Mereka melihat kerosakan yang berlaku kepada masyarakat seperti melihat ombak besar yang menggulung diri mereka. Dalam keadaan yang demikian mereka melihat jalan keselamatan buat mereka adalah mengasingkan diri, lalu mereka masuk ke dalam lembah suluk.

Kumpulan tersebut memasuki suluk dengan niat: "Ilahi! Engkau jualah tujuan dan keredaan Engkau jua yang dicari". Mereka tidak pernah mengetahui, apa lagi terlibat dengan fahaman wahdatul wujud, tidak ada motif mahu bersatu dengan Tuhan, tidak mengimpikan fana, zauk dan jazbah dan tidak bercadang meninggalkan syariat. Keyakinan mereka terhadap syariat tidak pernah bergoyang, cuma sesuatu tentang syariat itu yang mereka tidak jelas. Jawapan kepada yang tidak jelas itu mereka tidak perolehi melalui jalan yang telah mereka lalui. Kesungguhan melakukan ibadat dan menuntut ilmu tidak menghilangkan gangguan rangsangan syaitan. Setiap kebaikan yang dilakukan diiringi oleh bisikan yang mahu merosakkan kebaikan tersebut. Dalam suasana demikian ikhlas adalah sesuatu yang dipaksakan dan mereka mesti bekerja keras mempertahankan keikhlasan itu. Bukan setakat mempertahankan keikhlasan malah kesungguhan melakukan ibadat juga mesti dibaja kerana ada sahaja sesuatu yang cuba menghalang mereka berbuat ibadat. Pergaulan dengan orang ramai menjadi jalan bagi musuh-musuh ibadat dan ikhlas menyerang mereka. Benteng yang paling baik bagi mereka mempertahankan diri adalah suluk. Latihan-latihan yang dilakukannya semasa bersuluk membawa mereka melepasi gangguan rangsangan syaitan. Amal ibadat dapat dilakukan dengan mudah dan ringan. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas menjadi keperibadian mereka, berlaku secara spontan, bukan lagi sifat yang dipaksakan.

Semasa bersuluk itu mungkin mereka terbawa kepada pengalaman kerohanian dan terdorong kepada wahdatul wujud, tetapi akar kehambaan yang teguh akan membawa mereka melepasi yang demikian untuk kembali kepada jalan kenabian. Bila rohani mereka telah benar-benar matang, percampuran dengan orang ramai tidak lagi memudaratkan mereka. Pada masa itu mereka ‘diperintahkan' supaya kembali kepada masyarakat kerana ada tugas yang perlu mereka lakukan. Mereka masuk semula kepada kegiatan masyarakat, membimbing orang ramai agar selamat daripada kemusyrikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran, seterusnya kembali kepada Tuhan dengan akidah dan amalan yang bersih.

Kumpulan yang diceritakan di atas merupakan orang yang sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian walaupun mereka tidak mengetahui maksud sufi dan istilah-istilah tasauf. Mereka telah memperolehi faedah yang besar daripada latihan kerohanian secara bersuluk. Hati mereka umpama pelita yang mempunyai sumbu tetapi tidak mempunyai minyak. Latihan kesufian umpama memasukkan minyak ke dalam pelita. Gurunya umpama api yang menyalakan pelita tersebut. Setelah pelita hatinya menyala akalnya mampu mendapatkan jawapan kepada persoalan yang mengganggunya selama ini, yang tidak dapat di jelaskan oleh orang lain. Jiwanya menjadi tenang. Darjat kehambaannya meningkat sehingga sampai kepada kesempurnaan. Dia layak bergelar hamba Tuhan yang melaksanakan kehendak dan peraturan Tuhan sebagai yang Dia kehendaki. Tarekat kesufian telah membawanya kepada jalan kenabian yang sebenarnya. Kepercayaan dan keyakinannya kepada kebenaran syariat bertambah dan menjadi teguh serta memudahkannya melaksanakan dan mengamalkan tuntutannya. Mereka bergerak di dalam masyarakat sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w berkecimpung di dalam masyarakat. Mereka telah sampai kepada tujuan mereka diciptakan. Sampai kepada tujuan penciptaan insan itu adalah peringkat paling tinggi. Allah s.w.t menciptakan insan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehambaan adalah peringkat paling tinggi dan paling sempurna. Mereka berpegang kepada Kebenaran Hakiki sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah. Tidak ada kebenaran yang mengatasi kebenaran syariat. Setelah menemui kebenaran syariat dan mencapai peringkat kehambaan yang sejati, berakhirlah latihan kerohanian. Peringkat seterusnya adalah bekerja menurut peringkat yang dicapai dan kebenaran yang ditemui, sebagaimana Rasulullah s.a.w bekerja setelah menghabiskan peringkat khalwat di Gua Hiraa.

Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai kesempurnaan melalui empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju Allah s.w.t. Sufi bergerak daripada pengetahuan yang rendah kepada pengetahuan yang lebih tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai Wajibul Wujud. Dalam proses ini pengetahuan mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) berkurangan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan fana. Fana membawa sufi memasuki peringkat ke dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t. Ia merupakan proses perjalanan yang diistilahkan sebagai makrifat atau mengenal Allah s.w.t dalam suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau hakikat-hakikat seperti nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal ketuhanan. Seterusnya sufi sampai kepada suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada perhubungan boleh dihubungkan dan tiada sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan makrifat juga tidak ada dalam suasana yang demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada pengenalan yang mampu bercerita tentang zat Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau hidup bersama-sama Tuhan. Ini adalah penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan peringkat pertama dan ke dua melengkapkan kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh dua peringkat ini dipanggil sebagai wali sufi atau wali kecil.

Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke tiga yang dinamakan perjalanan dari Tuhan. Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari pengetahuan yang tinggi kepada yang lebih rendah iaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul wujud. Sufi yang sampai kepada peringkat ini dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan melalui Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan, yang kehilangan tetapi menjumpai, yang terpisah tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak boleh dikatakan tetapi tahu, yang tidak boleh disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini merupakan kebalikan kepada peringkat kedua. Ketika berada pada peringkat kedua sufi mengalami suasana yang diistilahkan sebagai fana dalam Tuhan. Pada peringkat ke tiga pula sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam keadaan tidak berpisah dengan Tuhan. Pengaruh mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurangan. Kesedaran kemanusiaan sudah mula kembali sedikit demi sedikit. Bila kesedaran kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi melengkapkan perjalanan pada peringkat ke empat iaitu perjalanan dalam alam kebendaan. Pada peringkat ini sufi kembali mengenali sesuatu yang dilupakannya pada peringkat pertama dahulu. Peringkat pertama membuat sufi lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi terang benderang kepadanya dan akhirnya dia kembali sepenuhnya kepada kesedaran dirinya dan alam maujud. Dia kembali kepada tempat dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.

Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara kenabian untuk memikul tugas yang mulia iaitu membimbing umat manusia kepada Tuhan, meneruskan perjuangan Nabi-nabi.

Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian kerana dipaksa bukan dengan disengajakan. Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-orang yang mempunyai tugas tetapi mereka leka dengan kehidupan harian sehingga tercampak jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan rahmat dan belas kasihan Tuhan mereka disentak dari kelalaian tersebut dan diheret menghadap Tuhan. Mereka dipisahkan daripada apa sahaja yang menghalang mereka daripada kembali kepada Tuhan. Dalam golongan inilah terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya, orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang menjadi hodoh dan yang seumpama mereka. Perubahan yang mendadak menimpa mereka memisahkan mereka daripada beban berat yang menghalang mereka berjalan kepada Tuhan dan pada masa yang sama juga mereka terpisah daripada orang ramai. Mereka tidak ada pilihan kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan itu mereka memperbanyakkan ibadat kepada Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati, merelakan apa jua takdir yang sampai kepada mereka. Kesan daripada ujian yang menimpa mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa pengasingan atau bersuluk. Dalam keasyikan beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi kumpulan pertama. Kumpulan pertama berjalan kepada Tuhan berbekalkan pengharapan. Kumpulan ke dua ini pula tidak membawa sebarang bekal kerana segala sesuatu telah diserahkan kepada Tuhan. Mereka telah rela dengan apa juga takdir yang sampai kepada mereka. Kumpulan pertama bekerja keras menghapuskan segala kehendak diri sendiri agar kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga. Pada kumpulan ke dua pula segala kehendak diri sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala bencana menghempap mereka. Penghapusan kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti oleh sifat penyerahan bulat kepada Tuhan, menghapuskan sifat-sifat keji dari hati mereka. Seterusnya kesedaran diri ikut lenyap bersama-sama dengan pengaruh akal fikiran dan perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang dipanggil majzub. Orang majzub mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat ujian bala ini berjalan lebih pantas daripada kumpulan pertama yang melakukan latihan bersuluk secara kesedaran dan kehendak sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada kumpulan pertama lebih teratur daripada kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif dan bekalan ilmu yang mencukupi membantu kumpulan pertama meningkat dalam bidang kerohanian secara bersistematik dan mereka memperolehi penerangan mengenai apa yang mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya menjadi majzub tanpa berguru dan mengalami hakikat tanpa mendapat penjelasan mengenainya. Kumpulan majzub ini akan berjalan terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa yang mereka alami. Setelah mereka melepasi peringkat majzub dan kembali kepada kesedaran keinsanan baharulah mereka mempelajari hakikat yang telah mereka alami. Kumpulan yang bergerak secara perguruan selamat daripada fitnah masyarakat. Kumpulan yang tiba-tiba menjadi majzub tanpa berguru sering menimbulkan fitnah kepada orang ramai kerana latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak alim dalam bidang agama, sedangkan mereka mula bercakap tentang ketuhanan, membuat orang ramai curiga kepada mereka. Lebih buruk lagi jika di dalam keadaan hilang kesedaran itu mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan adab kemanusiaan. Walau bagaimana pun setelah mereka kembali kepada kesedaran dan memperolehi pengetahuan tentang pengalaman kerohanian mereka, mereka akan bergerak sesuai dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan diri daripada menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Tidak semua orang yang menempuh jalan kerohanian akan kembali kepada kesedaran semula. Ada yang menjadi majzub terus menerus, fana dalam Tuhan secara berterusan dan tidak kembali lagi kepada kesedaran keinsanan. Orang yang seperti ini telah naik ke tempat yang tinggi tetapi tidak menjumpai jalan turun. Suasana kebatinan mereka berbeza daripada orang ramai. Lantaran itu adab dan sopan santun orang ramai tidak memberi apa-apa makna kepada mereka, malah syariat juga boleh tertanggal ketika mereka dikuasai oleh jazbah. Orang yang hilang kesedaran ini tidak boleh dijadikan pembimbing kerana mereka bercakap bahasa zauk sedangkan orang ramai yang dalam kesedaran menggunakan akal untuk mentafsirkan pengalaman zauk. Akal tidak mampu menerangkan pengalaman hakikat.

Orang yang dalam zauk banyak bercakap mengenai perkara ghaib dan hal ketuhanan. Daripada mulut mereka juga mudah keluar cerita mengenai penyaksian mata hati terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Orang yang dalam zauk juga melahirkan keasyikan yang mendalam kepada Tuhan. Daripada mereka juga selalu keluar perkara luar biasa yang diistilahkan sebagai keramat. Kekeramatan yang disaksikan menyebabkan orang lain menjadi yakin dengan apa yang mereka perkatakan. Ada orang yang di dalam kesedaran menggubah konsep ketuhanan hanya dengan mendengar ucapan orang majzub. Tuhan dimasukkan ke dalam sempadan rupa, bentuk, warna dan cahaya atau sesuatu menurut khayalan dan sangkaan mereka. Orang yang di dalam kesedaran biasa, tidak pernah mengalami zauk, menjual konsep ketuhanan yang diperolehi dari perkataan orang majzub, adalah orang yang sesat dan menyesatkan. Golongan ini dan pengikut mereka adalah kufur, tetapi orang majzub, walaupun pada zahirnya menyalahi syariat, mereka patut dimaafkan kerana mereka dikuasai oleh mabuk.

Ada juga orang yang memasuki aliran kesufian dengan tujuan mendapatkan kebolehan yang luar biasa kerana mereka terpesona melihat kekeramatan yang keluar daripada wali sufi. Bidang kekeramatan yang paling digemari adalah keramat zahir iaitu kebolehan luar biasa dalam bidang keduniaan. Sufi beramal kerana mahu menyucikan hati bagi mengabdikan diri kepada Tuhan. Kumpulan sufi celup itu pula menggunakan amalan sufi untuk mendapatkan kebolehan yang luar biasa dan ilmu yang mampu menguasai sesuatu perkara bagi kepentingan duniawi. Amalan yang dilakukan orang kerana Allah s.w.t diceduk untuk dijadikan amalan kerana kepentingan diri sendiri. Pekerjaan ibadat menurut peraturan syariat digubah menjadi khurafat. Pengalaman kebatinan pada alam khadam dikatakan alam ketuhanan. Apabila memperolehi keramat khadam mereka mendakwa diri mereka sudah menjadi wali yang agung. Bila sudah menguasai sesuatu kebolehan yang luar biasa mulalah mereka mendakwa ketuhanan diri lalu menanggalkan kehambaan dan mencampakkan syariat. Mereka adalah puak yang sesat dan kufur!

Tarekat sufi bukan bertujuan untuk memperolehi penyaksian terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya. Ia juga bukan untuk mendapatkan kekeramatan. Apa juga yang disaksikan dan apa juga yang diperolehi adalah gubahan Tuhan, bukan Tuhan. Tarekat sufi bukan untuk menukarkan manusia menjadi Tuhan. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba, tidak boleh diadakan bahasa yang kesamaran mengenai perbezaan dua perkara tersebut. Pada satu peringkat perjalanan sufi mungkin terjadi terbalik pandangan mereka sehingga mereka tidak menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan. Perkara demikian berlaku bukan disengajakan. Ia terjadi akibat pertembungan diri rohani dengan alam tinggi. Pertembungan tersebut menimbulkan mabuk. Orang yang sedang asyik dengan Tuhan, apabila dikuasai oleh mabuk, tidak melihat lagi kepada yang lain kecuali Tuhan. Bagi mereka semuanya adalah Tuhan. Apa yang ditemui pada peringkat ini bukanlah kebenaran yang muktamad. Ia baharu suasana menuju kebenaran. Suasana demikian hanyalah bayangan atau misal yang muncul dalam alam kebatinan sufi yang sedang dilambung gelombang kefanaan dan keasyikan dengan Tuhan. Keasyikan seorang jejaka kepada seorang gadis sering juga menimbulkan bentuk misal. Lagu-lagu percintaan sering menggambarkan rupa kekasih sebagai bulan purnama dan suara sebagai buluh perindu. Misal yang digubah dalam kesedaran hanyalah khayalan, tetapi misal dalam alam ghaib adalah nyata dalam keghaiban (boleh disaksikan oleh mata hati tetapi tidak boleh dilihat dengan mata zahir). Yang menyata pada hati orang yang sedang dilamun cinta hanyalah gambaran, bayangan atau misalan yang tidak sedikit pun menyerupai yang sebenar. Kecintaan kepada Tuhan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Orang yang asyik dengan keindahan Tuhan boleh berdiri di tepi pantai dari pagi hingga ke petang, tanpa jemu, tanpa menghiraukan panas matahari. Bila ditanya apa yang dia lihat, dia akan mengatakan dia melihat Tuhan. Keasyikan kepada Tuhan bercampur dengan rindu yang membara membuat seseorang mabuk ketuhanan sehingga tidak ada apa yang disaksikannya melainkan dinisbahkannya kepada Tuhan. Suasana hati yang demikian juga melahirkan rasa bersatu dengan Tuhan. Penyatuan hanya berlaku dalam alam perasaan, bukan penyatuan yang sebenarnya.

Menyaksikan perkara ghaib dan mendengar suara ghaib bukanlah kesudahan jalan sufi. Semua itu hanyalah bayangan. Allah s.w.t berbeza, tiada persamaan sedikit dengan yang demikian. Walau bagaimana tinggi pun anggapan diberikan kepada sesuatu pengalaman kerohanian itu ia tidak ada nilai sebelum diuji dengan al-Quran dan as-Sunah. Jika pengalaman tersebut bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah baharulah ia menjadi berharga dan boleh dipegang. Ketika seseorang itu masih diperingkat bayangan kerohaniannya masih belum matang dan dia belum mencapai kesempurnaan. Jika dia terus menerus di dalam bayangan, tinggalkan dia dengan alamnya sendiri. Tuhannya yang akan menjaganya. Ikutlah wali yang telah sampai kepada kesempurnaan jalan, beramal sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w.

Jangan sekali-kali melepaskan pandangan daripada Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

08. Kewalian Jalan Nabi dan Jalan sufi

Kewalian Jalan Nabi dan Jalan sufi


Terdapat banyak perbezaan dari segi pengalaman, penyaksian, fahaman dan pegangan di antara pengembara pada jalan kesufian dengan pengembara pada jalan kenabian. Kewalian sufi diliputi oleh bayangan yang menyata sebagai tajalli-tajalli, sedangkan ia adalah hijab kepada Yang Haq. Kewalian sufi memasuki suasana menyaksikan rupa bentuk, cahaya dan warna. Cinta yang menguasai kewalian sufi adalah cinta yang mengasyikkan dan memabukkan, menghilangkan rasional. Kewalian pada jalan kenabian atau kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w tidak melalui suasana tajalli dan penyaksian kepada rupa bentuk, cahaya dan warna. Pada jalan kenabian, cinta para sahabat kepada Allah s.w.t menyata sebagai ketaatan yang sejati berlandaskan kehambaan yang sebenar-benarnya. Kewalian sufi berpisah daripada dunia dan akhirat. Pada kewalian para sahabat pula, dunia dan akhirat menjadi daerah kekhalifahan mereka. Mereka bertanggung-jawab kepada kehidupan dunia dan mereka bekerja untuk keselamatan di akhirat.

Kehampiran dengan Tuhan pada kewalian sufi bercampur dengan unsur bayangan dan terdapat hijab padanya. Penyaksian sufi sering tertumpu kepada bentuk-bentuk misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Orang sufi biasa mengatakan mereka melihat Tuhan sebagai cuaca subuh atau sebagai satu bentuk atau satu warna. Gambaran misal itu menjadi hijab yang menutupi penyaksian terhadap Allah s.w.t yang tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak bercahaya dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya: "Laisakamislihisyaiun" .Pada kewalian terdapat husul iaitu sampai kepada Tuhan. Pada husul terdapat hijab atau bayangan iaitu gambaran misal, dan orang yang memasuki peringkat husul menyatu dengan bayangan atau misal yang dinisbahkan kepada Tuhan, sama ada misal itu cahaya, warna, dirinya sendiri atau apa sahaja. Penyatuan dengan hijab atau misal ketuhanan itu dirasakan sebagai bersatu dengan Zat Tuhan. Oleh itu melalui husul perbezaan di antara hamba dengan Tuhan dihapuskan. Hamba dengan Tuhan dipertemukan pada satu wujud dan dinamakan wahdatul wujud. Wahdatul wujud hanyalah bayangan, bukan Yang Haq. Kemabukan ketika dilambung gelombang kefanaan yang menghasilkannya. Yang Hakiki hanya ditemui selepas meninggalkan peringkat fana dan mabuk.

Kewalian pada jalan kenabian, kewalian para sahabat, tidak bercampur dengan suasana mabuk, tidak ada fana, bebas daripada bayangan yang menghijab Yang Hakiki. Kewalian para sahabat memperolehi wusul atau berjumpa Tuhan tanpa dihijabkan oleh gambaran misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Pertemuan di antara hamba dengan Tuhan berlaku secara jaga, sedar, bukan dalam suasana mabuk. Bila tidak diganggu oleh mabuk dan gambaran misal, hamba menyaksikan kehambaan dirinya dan hamba menyaksikan ketuhanan Tuhannya. Hamba menyaksikan Tuhan yang :  "Laisakamislihisyaiun" - tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya, bagaimana Dia dimisalkan oleh sesuatu. Wujud Tuhan dengan wujud hamba boleh dibezakan. Mata keyakinan wali pada jalan kenabian menyaksikan Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan, digambarkan dan dimisalkan. Penemuan wali pada jalan kenabian sama dengan kenyataan al-Quran dan pengajaran Rasulullah s.a.w. Kewalian pada jalan kenabian itulah yang benar-benar berjumpa dengan Yang Haq. Bila Yang Hakiki ditemui seseorang itu bebas daripada tarikan keasyikan kepada nyanyian dan tarian, bebas daripada mabuk dan pengaruh wahdatul wujud. Tidak terjadi tajalliyat, tidak ada gangguan bayangan dan misalan dan lain-lain yang biasa ditemui pada jalan kesufian. Sebab itu kelakuan ganjil yang biasa menyerang orang sufi tidak didapati berlaku kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian para sahabat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t secara ketaatan dengan penuh kerelaan di atas landasan kehambaan yang sebenar-benarnya.

Tajalliyat, sama ada berlaku dalam rupa bentuk, atau di bawah hijab cahaya dan warna, berlaku pada kewalian sufi terutamanya pada peringkat awal perjalanan. Penjelmaan dan tajalliyat adalah bayangan kepada Yang Haq. Tajalli dan penyaksian tertuju kepada bayangan. Orang yang menolak bayangan bebas daripada tajalliyat. Orang yang memasuki jalan kenabian bebas daripada tajalliyat tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian, pengalaman tajalliyat ditemuinya.

Orang yang memasuki jalan kesufian bekerja untuk menghapuskan semua kehendak. Pada jalan kenabian penghapusan kehendak tidak dituntut. jalan kenabian memperakui bahawa kehendak yang asli adalah baik. Kehendak menjadi jahat apabila diarahkan kepada bahan-bahan dan perkara-perkara jahat. Jadi, bahan dan perkara jahat yang perlu dihapuskan daripada kehendak, bukan kehendak itu sendiri secara keseluruhannya. Kehendak perlu diarahkan kepada sesuatu yang baik menurut petunjuk syariat. Syariat telah menggariskan sempadan yang baik dan yang jahat. Pengembara pada jalan kenabian dikehendaki menjaga dan mengawal kehendak agar tidak keluar daripada daerah yang baik.

Selain daripada penghapusan kehendak, orang yang memasuki jalan kesufian juga menghapuskan sifat-sifat kemanusiaannya. Pada jalan kenabian pula syariat memisahkan sifat kemanusiaan yang baik daripada yang jahat. Orang yang memasuki jalan kenabian hanya perlu menghapuskan sifat yang jahat dan keji, tidak perlu menghapuskan sifat kemanusiaan keseluruhannya. Pada kewalian sufi didapati penafian perbuatan diri sendiri, sifat-sifat diri sendiri dan kewujudan diri sendiri. Semua perkara dan segala sesuatu diisbatkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hal atau suasana penafian diri merupakan ciri kefanaan. Orang yang terus kepada jalan kenabian tidak terlibat dengan penafian diri, sifat dan perbuatan, tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian dia mengalami juga hal yang demikian.

Kewalian pada jalan kesufian dinamakan wali kecil dan ia dibaluti oleh bayang-bayang yang bercampur dengan perkara-perkara yang tidak jelas dan samar-samar. Wali pada jalan kenabian, termasuklah wali yang telah melepasi jalan kesufian dan memasuki jalan kenabian, adalah lebih sempurna. Jalannya, fahamannya, pegangannya dan tindak-tanduknya lebih jelas, pasti dan nyata. Wali pada jalan kesufian gemar menggunakan istilah yang ganjil-ganjil dan tidak jelas maksudnya. Mereka suka mengadakan huraian secara berteka-teki yang sukar dimengerti maksudnya. Hujah mereka banyak bersandar kepada pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf tanpa merujuk kepada sumber yang lebih kuat iaitu al-Quran, as-Sunah ijmak ulama. Wali pada jalan kenabian pula sentiasa bersikap rasional, bersandar kepada sumber yang muktabar dan boleh diterima oleh akal yang sihat. Apabila wali sufi meningkat dan sampai kepada kewalian cara kenabian dia akan meninggalkan daerah yang kesamaran dan meragukan. Dia akan bergabung dengan wali-wali cara kenabian yang lain di dalam mengembangkan syiar agama Islam menurut ajaran al-Quran, as-Sunah dan muafakat ulama.

Bagi orang yang dipimpin, walaupun pada peringkat permulaannya dia memasuki jalan kewalian sufi namun, akhirnya dia akan sampai kepada jalan kewalian cara kenabian. Pengalamannya dalam bidang kewalian sufi membantunya membentuk keyakinan setelah dia berpindah kepada kewalian cara kenabian. Walaupun kebanyakan sufi yang terkenal memulakan perjalanan cara kewalian sufi dan kemudiannya berpindah kepada kewalian cara kenabian, tetapi kewalian cara sufi bukanlah syarat yang mesti bagi memperolehi kesempurnaan kewalian cara kenabian. Ramai orang yang terus pergi kepada kewalian cara kenabian tanpa melalui cara kesufian, terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang terus memasuki cara kenabian dan menetap pada jalan tersebut tanpa memasuki cara sufi telah mencapai darjat kewalian yang paling tinggi dibandingkan dengan wali-wali pada semua zaman. Selepas Rasulullah s.a.w, para sahabat adalah contoh yang paling baik untuk diikuti. Rasulullah s.a.w telah mengasuh satu kumpulan manusia sempurna yang boleh diikuti oleh kaum Muslimin yang datang kemudian.

Umat Islam umumnya telah lama keliru di dalam memahami maksud kewalian. Kewalian dan kesufian telah diikat kemas di dalam pemikiran sehingga timbul anggapan hanya orang sufi yang boleh menjadi wali. Orang yang menetap pada Jalan syariat, beriman, beramal salih dan bertakwa, jika tidak memasuki jalan kesufian tidak akan sampai kepada makam kewalian. Orang-orang seperti Imam Syafi'e, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali tidak disebut sebagai wali Allah. Apakah orang-orang yang dibimbing oleh Allah s.w.t sehingga mereka mampu mengadakan mazhab yang diikuti oleh kebanyakan umat Islam, tidak termasuk ke dalam kelas wali Allah? Apakah orang yang dipimpin oleh Allah s.w.t membentuk kumpulan tarekat yang jauh lebih kecil daripada kumpulan mazhab lebih tinggi kewaliannya daripada orang yang mempelopori mazhab yang besar?

Perlu diketahui bahawa orang yang memasuki aliran kesufian melalui dua peringkat kewalian. Kewalian peringkat pertama dinamakan wali kecil, iaitu kewalian cara sufi yang padanya terdapat amalan suluk, zauk, jazbah, fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain bentuk pengalaman kerohanian. Setelah menyempurnakan kewalian cara sufi mereka diangkat kepada kewalian cara kenabian, darjat kewalian yang lebih sempurna. Di dalam daerah kewalian cara kenabian orang-orang sufi seperti Abdul Qadir Jilani, Hasan Basri, Ibrahim Adham dan ramai lagi bergabung dengan kumpulan wali yang menetap pada cara kenabian seperti Imam Syafi'e, Imam Malik dan lain-lain. Semua wali-wali pada peringkat tersebut menjadi sesuai dengan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat baginda s.a.w dan dengan syariat yang baginda s.a.w bawa. Malangnya peringkat kesesuaian orang sufi dengan syariat tidak menarik perhatian sebahagian daripada kaum Muslimin yang berminat dengan aliran tarekat kesufian. Latihan kesufian lebih dikaitkan dengan kewalian. Kewalian Imam Syafi'e dan Imam Malik yang menetap pada cara kenabian dan berlaku dengan lebih teratur tidak menarik minat mereka. Oleh yang demikian ada kaum Muslimin yang sanggup melepaskan pendapat Imam Syafi'e yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunah, demi memegang perkataan wali sufi yang di dalam mabuk. Mereka juga lebih berpegang kepada perkataan wali sufi yang sedang mabuk daripada perkataan wali sufi yang sudah melepasi peringkat mabuk. Konsep ketuhanan yang dinyatakan oleh al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, dipegang oleh para sahabat dan kaum Muslimin umumnya tetapi ditolak oleh sebahagian kaum Muslimin yang terpengaruh dengan ucapan sufi yang latah. Mereka lebih terpengaruh dengan ucapan kumpulan sufi yang terperangkap dengan bayangan dan misal.

Kesempurnaan sufi dicapai setelah melalui dua peringkat kewalian, iaitu kewalian cara sufi dan kewalian cara kenabian. Seorang sufi perlu melalui proses menaik dan menurun. Di dalam proses menaik sufi memasuki perjalanan menuju Allah s.w.t yang kemudiannya membawanya kepada perjalanan ‘di dalam' Allah s.w.t. Kemuncak perjalanan ini adalah ‘bersatu' dengan Allah s.w.t, yang menjadi intisari dan matlamat perjalanan kewalian sufi. Di dalam proses menaik sufi hanya berhubung dengan Allah s.w.t, tidak berhubung dengan sesama makhluk. Sufi terpisah daripada makhluk dan dirinya sendiri. Sufi mencapai fana dan bersatu dengan Tuhan. Pengalaman yang demikian membuat sufi mempunyai satu bentuk kefahaman tentang ketuhanan.

Setelah menyempurnakan proses pertama sufi masuk kepada proses kedua, iaitu proses menurun, menuju kepada kesempurnaan kewalian dengan melalui jalan kenabian. Ketika menurun mental sufi mula berpisah daripada Tuhan. Sufi mula menyaksikan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Kesedaran sufi terhadap dirinya dan makhluk kembali semula dan akhirnya dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya. Proses kedua membentuk kefahaman dan pegangan yang berbeza dengan proses pertama. Pada proses pertama sufi dikuasai oleh pengaruh wahdatul wujud. Proses kedua pula memisahkan sufi daripada kesan wahdatul wujud itu. Sufi yang telah berpisah dengan fahaman wahdatul wujud mengakui perbezaan di antara Tuhan dengan hamba dan menerima kenyataan al-Quran bahawa tidak ada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dua proses yang menghasilkan dua fahaman dan pegangan yang berlainan berlaku dalam perjalanan sufi.

Orang yang terus kepada cara kenabian tidak mengalami dua peringkat berbeza yang dilalui oleh pada cara kesufian. Pada jalan kenabian tidak berlaku pemutusan hubungan sesama manusia dan penyatuan dengan Tuhan. Tidak ada kefanaan dan kelenyapan diri. Tidak ada zauk, jazbah, mabuk dan tidak berlaku ucapan latah. Pada jalan kenabian akal fikiran sentiasa dalam keadaan sedar. Bila tidak ada peringkat berpisah dengan makhluk tidak ada juga peringkat kembali kepada diri dan makhluk. Bila tidak ada proses bersatu dengan Tuhan tidak ada pula proses berpisah dengan Tuhan. Pengembara pada jalan kenabian tidak dikuasai oleh keasyikan kepada Tuhan yang menyebabkan hilang pandangan terhadap diri sendiri dan makhluk. Mereka juga tidak dikuasai oleh keghairahan terhadap makhluk sehingga melupakan Tuhan. Wali cara kenabian sentiasa berhubung dengan Tuhan walaupun mereka sibuk melayani makhluk Tuhan. Hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan makhluk berjalan serentak tanpa gangguan. Tidak berlaku percanggahan di antara perhatian kepada Tuhan dengan perhatian kepada makhluk. Bagi wali yang berada pada jalan kenabian, berkhidmat kepada makhluk Tuhan sebenarnya adalah berkhidmat kepada Tuhan, berdasarkan ingatan dan perhatian kepada Tuhan kerana Tuhan yang memerintahkan berbuat demikian. Dalam menguruskan soal makhluk wali Allah sebenarnya melaksanakan kehendak Allah s.w.t, bertindak sebagai khalifah atau wakil-Nya. Walaupun sibuk melayani orang ramai perhatiannya tetap tertuju kepada Allah s.w.t dan mereka mengajak orang ramai kepada Allah s.w.t, taat kepada-Nya dan menghampiri-Nya. Wali pada jalan kenabian melakukan pekerjaan yang mulia ditengah-tengah masyarakat. Allah s.w.t reda dengan amalan mereka dan mereka senang berbuat demikian. Wali yang di dalam daerah kenabian inilah yang menyambung pekerjaan Nabi Muhammad s.a.w di dalam membimbing dan membawa umat manusia kepada Allah s.w.t.

Nabi Muhammad s.a.w bertugas menyampaikan syariat kepada umat manusia. Wali-wali pada jalan kenabian dan wali sufi yang kembali kepada jalan kenabian meneruskan pekerjaan tersebut. Wali yang tidak keluar dari daerah kesufiannya tidak memperdulikan urusan disekelilingnya, tidak memperdulikan sekalipun berlaku kiamat. Wali-wali yang menetap pada daerah kesufian adalah mereka yang tidak diberi tugas. Wali-wali sufi yang dipilih dan diberi tugas akan dibawa kepada daerah kewalian cara kenabian dan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan Allah s.w.t kepada mereka. Tugas utama adalah menyampaikan syariat. Orang ramai dituntut mentaati Nabi Muhammad s.a.w di dalam menjalankan peraturan syariat, bukan mengikuti cara atau amalan wali sufi. Di akhirat kelak yang dihisab adalah yang berkaitan dengan syariat. Latihan kerohanian dan tasauf juga dihisab berdasarkan peraturan syariat. Ketaatan kepada syariat membawa seseorang kepada syurga dan perlanggaran kepada syariat membawa ke neraka. Nabi Muhammad s.a.w dan wali-wali yang mengikuti baginda s.a.w menyampaikan dan mengamalkan syariat dan mereka bersedia untuk berkorban demi mengembang dan mempertahankan syariat.

Kumpulan manusia yang paling mulia adalah Nabi-nabi. Tujuan diutus Nabi-nabi adalah untuk menyebarkan syariat. Pekerjaan menyebarkan syariat adalah pekerjaan yang paling mulia boleh dilakukan oleh seseorang manusia di atas muka bumi. Tidak ada pekerjaan yang lebih mulia daripadanya. Wali-wali yang menjadi pewaris Nabi meneruskan pekerjaan tersebut. Hanya wali-wali yang telah kembali kepada jalan kenabian yang boleh melakukan pekerjaan tersebut dengan baik dan tepat. Memimpin umat manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t adalah lebih baik daripada melakukan ibadat sendirian tanpa bercampur gaul dengan orang ramai. Ketika masyarakat dilanda oleh kerosakan akidah dan kerosakan akhlak, tuntutan menghidupkan syariat lebih besar lagi. Usaha menghidupkan satu peraturan syariat lebih bermakna daripada latihan kerohanian yang hanya memberi faedah kepada diri sendiri sahaja. Oleh kerana tujuan Allah s.w.t memberi bimbingan kepada wali-wali untuk membimbing umat manusia, maka wali cara sufi yang menerima petunjuk akan kembali kepada cara kenabian serta melaksanakan tugas membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus. Ketaatan kepada syariat memelihara seseorang agar teguh di atas jalan yang lurus.

Kemuncak kesempurnaan iman, ilmu, amal, takwa, pengalaman dan pencapaian, terdapat pada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w menjadi contoh tauladan yang paling baik dan paling tinggi untuk diikuti dan baginda s.a.w juga mestilah dijadikan model di dalam menentukan kedudukan seseorang wali. s.a.w Ketinggian darjat seseorang wali ditentukan dengan setakat mana wali itu menghampiri kualiti-kualiti yang ada pada Nabi Muhammad. Ada wali yang melibatkan diri semata-mata dalam urusan hubungan dengan Tuhan. Wali yang fana dalam Tuhan ini melakukan tuntutan agama yang paling minima, seperti bersembahyang, tetapi sangat kurang penglibatannya dalam kebaktian kepada sesama manusia. Ada pula wali yang di samping bersungguh-sungguh di dalam urusan perhubungan dengan Allah s.w.t, mereka juga bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan kewajipan sesama manusia. Wali jenis kedua menjalani kehidupan yang lebih sesuai dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka merupakan wali yang lebih baik, lebih tinggi dan lebih sempurna. Wali yang bermukim di dalam daerah kewalian sufi, menjadi majzub atau fana dalam Allah s.w.t secara terus menerus, perjalanannya tidak lengkap. Wali yang demikian hanya berjalan separuh jalan sahaja. Mereka berhenti sebelum menemui Yang Hakiki. Wali tersebut melengkapkan perjalanan kepada Tuhan dan dalam Tuhan sehingga mencapai peringkat bersatu dengan Tuhan. Suasana bersatu dengan Tuhan menimbulkan mabuk yang melahirkan tingkah-laku dan tutur-kata yang ganjil-ganjil. Kemabukan menyebabkan wali tersebut terputus daripada peraturan dan sopan santun kemanusiaan. Dalam keadaan demikian juga peraturan syariat tidak dihormati. Wali jenis ini tidak dibolehkan menjadi pembimbing manusia lain kerana sifat-sifat kemanusiaannya sudah lenyap. Wali yang layak membimbing manusia lain adalah yang mara terus melepasi peringkat bersatu dengan Tuhan, bergerak jauh dari Tuhan dengan Tuhan, menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, menyaksikan wujud hamba yang berpisah dengan Wujud Tuhan, keluar dari suasana mabuk dan kembali kepada keinsanan untuk menceburkan diri dalam kegiatan masyarakat. Wali jenis ini merupakan wali yang melepasi kewalian sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian. Merekalah yang menjadi khalifah Allah di bumi, memikul satu-satu bidang tugas khusus untuk kemanfaatan manusia umum. Inilah kumpulan wali yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Kumpulan ini memikul tugas berdakwah membimbing orang ramai kepada jalan Tuhan. Orang-orang yang kembali kepada jalan Tuhan dipersucikan zahir dan batin agar menjadi hamba Tuhan yang sebenar-benarnya. Hamba yang dipersucikan, berjalan pada jalan Tuhan, bekerja menegakkan syariat Allah s.w.t di atas muka bumi. Pekerjaan wali-wali yang sampai kepada cara kenabian merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana mereka melakukan pekerjaan Nabi-nabi. Mereka mendapat kedudukan yang paling mulia, sebagai sahabat Allah s.w.t dan Rasul-Nya yang akrab.

Perilaku Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w hendaklah dijadikan neraca dalam menentukan sesuatu perkara agar penilaiannya benar dan tepat. Dalam menilaikan kedudukan seseorang wali, neraca yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w hendaklah digunakan Sikap menjadikan kekeramatan sebagai pengukur kewalian adalah sikap yang tidak benar. Kekeramatan bukanlah petanda ketinggian darjat seseorang wali, malah kekeramatan bukanlah syarat kewalian. Biasa terjadi wali yang lebih rendah kedudukannya mengeluarkan kekeramatan yang lebih banyak daripada wali yang lebih tinggi kedudukannya. Wali yang paling tinggi yang muncul pada zaman di belakang ini tidak dapat menyamai kedudukan kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w yang paling rendah. Para sahabat yang berkedudukan sebagai wali peringkat tertinggi pada semua zaman jarang atau tidak ada yang mengeluarkan kekeramatan, tetapi wali yang datang kemudian banyak mengeluarkan kekeramatan. Perlu diambil perhatian bahawa orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata juga biasa mengeluarkan perkara yang luar biasa seperti yang terjadi di kalangan wali-wali. Perkara luar biasa yang dikeluarkan oleh orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata, tidak ada kaitan dengan kedudukan iman.

Konsep kewalian telah lama mengelirukan umat Islam. Pengagungan kewalian cara sufi dan pengabaian kewalian cara kenabian telah lama menguasai pemikiran mereka. Fahaman wahdatul wujud, isu bersatu dengan Tuhan, pengguguran taraf kehambaan dan tidak mengambil berat kepada peraturan syariat telah dikaitkan kewalian. Kekeliruan ini sudah sangat jauh mengheret umat Islam. Ia mesti diperbetulkan dengan cara menyebarkan konsep kewalian yang sebenar, yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Perlu difahamkan bahawa wahdatul wujud adalah kesan sampingan yang bersifat sementara yang dialami oleh wali sufi yang masih di dalam perjalanan. Jika dia menetap pada kewalian sufi kesan tersebut akan berpanjangan. Jika dia masuk kepada kewalian yang lebih sempurna, iaitu kewalian cara kenabian, kesan itu akan hilang. Dia akan kembali kepada syariat dengan penuh keyakinan. Wali yang sampai kepada cara kenabian adalah lebih benar dan lebih tinggi kedudukannya. Wali cara kenabian bersungguh-sungguh dalam kehambaan, mematuhi peraturan syariat dengan sepenuh jiwa raga mereka. Mereka kuat melakukan ibadat, bertakwa dan beramal salih.

Oleh kerana Islam mencakupi segala bidang maka Allah s.w.t mendatangkan wali-Nya dalam segala bidang juga. Dalam Islam ada fardu ain dan fardu kifayah. Jika tidak ada seorang pun orang Islam yang menunaikan fardu kifayah dalam sesuatu perkara maka kesemua orang Islam menanggung kesalahannya. Begitu juga jika tidak ada seorang pun wali yang melibatkan diri dalam fardu kifayah maka kesemua wali menanggung kesalahannya. Tuhan tidak berkehendak yang demikian berlaku kepada wali-wali-Nya. Oleh itu Tuhan mendatangkan wali dalam segala bidang. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pentadbiran negara, sebagaimana Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pengurusan pertanian sebagaimana Nabi Yusuf a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain yang memberi manfaat kepada umat manusia dan makhluk Allah s.w.t. Nabi Isa a.s mengambil bahagian dalam bidang perubatan, Nabi Nuh a.s dalam bidang pertukangan, Nabi Musa a.s dalam bidang penternakan dan Nabi-nabi yang lain juga ada bidang kegiatan masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Nabi yang paling aktif di dalam kegiatan kehidupan harian. Baginda s.a.w pernah memasuki bidang penternakan dan perniagaan. Baginda s.a.w adalah juga pemerintah angkatan perang dan pemimpin agung negara. Baginda s.a.w adalah seorang mufti dan hakim. Ilmu baginda meliputi segala bidang ilmu yang diketahui oleh manusia. Baginda s.a.w mengajarkan ilmu alam, astronomi, kaji hayat, kedoktoran, sains, sejarah, siasah dan lain-lain. Tidak akan ada lagi seorang manusia yang mampu menguasai semua bidang dan semua ilmu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Manusia lain hanya dikhususkan dalam satu atau beberapa bidang sahaja. Golongan khusus itu adalah wali-wali yang dibekalkan dengan pengetahuan dalam bidang berkenaan. Baik Nabi mahu pun wali yang menceburi sesuatu bidang pengkhususan tersebut, mereka melaksanakan tugas mereka selaras dengan peraturan Allah s.w.t. Kegiatan harian tidak menyebabkan urusan ibadat mereka tertinggal. Inilah perbezaan besar di antara wali yang menceburi bidang kehidupan harian dengan orang lain yang berada dalam bidang yang sama. Seorang wali yang menceburi bidang ekonomi mampu menegakkan sistem perekonomian Islam di tengah-tengah berbagai-bagai sistem ekonomi dunia.

Para ilmuan Islam haruslah menyedarkan umat Islam mengenai kewalian. Tokoh-tokoh ilmu yang menghiasai lembaran sejarah Islam haruslah dikaji dengan mendalam apakah tidak mungkin mereka adalah wali-wali yang dikhususkan dalam bidang berkenaan. Orang-orang yang lebih jelas kewalian dan kekhalifahan mereka seperti Imam Syafi''e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan lain-lain, hendaklah ditonjolkan sebagai wali sebagaimana layaknya, supaya kewalian mereka boleh dicontohi dan tidaklah orang ramai beranggapan hanya orang sufi sahaja yang menjadi wali.