SIRI SATU (DINAMAKAN)
Dinamakan syari’at itu engkau sembah akan Allah Taala dengan perbuatan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Rasulnya (Al quran dan Sunnah)
Dinamakan Tareqat itu engkau sembah akan Allah Taala sahaja dengan ilmu dan amal yang engkau tahu
Dinamakan hakikat itu engkau pandang Allah Taala dengan cahaya yang dicampakkan oleh Allah Taala di tengah-tengah hati engkau yang dinamakan Sirullah
Dinamakan makrifat itu meliputi seluruh tubuh iaitu hakikat Allah : Kun, Hu, Zat.
SIRI DUA (PANDUAN)
Adapun syaria’at itu tetap menjadi tauladan dan tubuh bagi kita
Adapun tareqat itu menjalankan kerja syari’at
Adapun hakikat itu menjadi kunci kita menghadap Allah
Adapun makrifat itu melihat sesuatu yang ditegah dan disuruh yang dinamakan Amar Nizam.
SIRI TIGA (TANAH, AIR, API, ANGIN)
Syari’at itu adalah air di dalam tubuh kita, sebab itu kita boleh berkata-kata
Tareqat itu adalah angin di dalam diri kita, sebab itu kita boleh menghidu
Hakikat itu adalah tanah di dalam tubuh kita, sebab itulah kita boleh tetap
Makrifat itu adalah api di dalam badan kita, sebab itulah kita boleh mengetahu lebih.
SIRI EMPAT (ILMU DAN IBADAT)
Adapun ilmu syari’at itu dinamakan sirullah , ibadatnya adalah Nurul Hadi
Adapun ilmu tareqat itu dinamakan Ayan Sabitah, ibadatnya adalah Sirul Asral
Adapun ilmu hakikat itu dinamakan Sirr Hayan, ibadatnya adalah Sirrul Iman
Adpun ilmu makrifat itu dinamakan Ghaibul Ghuyub, ibadatnya adalah Sirrul Islam
SIRI LIMA (SYAIUN)
Syari’at itu Syuhud
Tarekat itu Nur
Hakikat itu Ilmu
Makrifat itu Ujud
SIRI ENAM (ILMU)
Ilmu Syari’at itu daripada Usuluddin
Ilmu tareqat itu daripada Tasawwuf
Ilmu Hakikat itu daripada Tauhid
Ilmu makrifat itu daripada Usul Muftahul Ghuyub
SIRI TUJUH (YANG BERNAMA)
Yang dinamakan syaria’at itu daging, darah, tulang, urat, yang dinamakan manusia
Yang dinamakan tareqat itu tanah, air , api dan angin yang dinamakam insan
Yang dinamakan hakikat itu Ujud, ilmu, Nur, Syuhud yang dinamakan Syaiun (Muhammad)
Yang dinamakan makrifat itu Zat, Sifat, Afaal, Asma yang dinamakan Allah
SIRI LAPAN (IBADAT)
Ibadat orang syari’at itu mengerjakan segala rukun Islam yang lima
Ibadat orang-orang tareqat itu selain dari mengerjakan rukun Islam yang lima ialah mengerjakan :Taubat, Syukur, Tawakkal, Tahmid, Tawadha’, Harap, Ridha, Sabar, Ikhlas
Ibadat orang-orang hakikat itu mengerjakan ibadat orang syari’at, orang tareqat dan megesakan afaal Allah, mengesakan Asma Allah, Mengesakan sifat Allah dan Mengesakana Zat Allah.
Ibadat orang-orang makrifat itu ialah mengerjakan amalan orang-orang syari’at, amalan orang-orang tareqat, amalan orang-orang hakikat serta Zikir Mukid iaitu Mujahadah, Muraqabah, Muqaballah, Musyahadah, Tawajuh dan Tafakur
SIRI SEMBILAN (IKHLAS)
Ikhlas orang-orang syari’at itu dinamakan ikhlas Mubtadaq
Ikhlas orang-orang tareqat itu dinamakan ikhlas Mutawwasit
Ikhlas orang-orang hakikat itu dinamakan ikhlas Muntaha
Ikhlas orang-orang makrifat juga dinamakan ikhlas Muntaha
SIRI SEPULUH (JALAN)
Jalan syaria’at itu ialah jalan orang-orang awam
Jalan tareqat itu ialah jalan orang-orang khas
Jalan hakikat itu ialah jalan orang-orang Khas ul khas
Jalan makrifat itu ialah jalan orang-orang khawas
SIRI SEBELAS (MENGESAKAN)
Syariat itu Afaal Allah
Tareqat itu Asma AlLah
Hakikat itu Sifat Allah
Makrifat itu Zat Allah
SIRI DUABELAS (YAKIN)
Syariat itu ilmu Yakin
Tareqat itu Ainul Yakin
Hakikat itu Haqqul Yakin
Makrifat itu Akmal Yakin
SIRI TIGA BELAS (WAZAHIRU, WABATINU)
Syariat itu Zahir
Tareqat itu Batin
Hakikat itu Akhir
Makrifat itu Awal
SIRI EMPAT BELAS (DARIPADA NABI)
Syariat itu Zahir
Tareqat itu Batin
Hakikat itu Akhir
Makrifat itu Awal
SIRI LIMA BELAS (ZIKIR)
Cara zikir Syariat itu dengan lidah
Cara zikir Tareqat itu dengan hati
Cara zikir hakikat itu dengan nyawa
Cara zikir Makrifat itu dengan rahsia
SIRI ENAMBELAS (PEKERJAAN)
Pekerjaan Syariat itu yang dikatakan oleh lidah dan dikerjakan oleh hati
Pekerjaa Tareqat itu hati yang mengerjakan baik atau jahat
Pekerjaan hakikat itu nyawa yang mengerjakn baik atau jahat
Pekerjaan makrifat tu rahsia yang mengerjakan baik atau jahat
SIRI TUJUH BELAS (RUMAH)
Rumah syariat itu lidah
Rumah tareqat itu hati
Rumah hakikatt itu budi
Rumah makrifat itu Roh
SIRI LAPAN BELAS (ADAB)
Adab orang-orang syariat itu ialah orang-orang yang berdiri dengan tanda-tanda (kenyataan)
Adab orang-orang tareqat itu ialah orang-orang yang berzikir tanpa tanda , hanya kurnia Allah
Adab orang-orang hakikat itu ialah orang-orang yang haknya dan hak Allah
Adab orang-orang makrifat itu ialah orang-orang yang mengetahui perkataan dan maqam
SIRI SEMBILAN BELAS (SEMBAHYANG)
Sembahyang orang-orang syariat itu tubuhnya yang menyembah Allah
Sembahyang orang-orang tareqat itu hatinya yang menyembah Allah
Sembahyang orang-orang hakikat itu nyawanya yang menyembah Allah
Sembahyang orang-orang makrifat itu wahadatul ujud yang menerima sembahnya, inilah sembahyang para nabi-nabi, wali-wali Allah, Ahli-ahli sufin dan orang kamil dan mukamil
SIRI DUA PULUH (PINTU)
Pintu syariat itu mata
Pintu tareqat itu dua lubang hidungnya
Pintu hakikat itu dua biji mata
Pintu makrifat itu di antara mata putih dan mata hitam
SIRI DUA PULUH SATU (MARTABAT)
Martabat syariat itu Alam Roh
Martabat tareqat itu Alam Malakut
Martabat hakikat itu Alam Jabarut
Martabat makrifat itu lam Lahut
SIRI DUA PULUH DUA (TUJUAN)
Tujuan syariat itu supaya hatinya ada Nur
Tujuan tareqat itu supaya dirinya dan nyawanya jadi mulia
Tujuan hakikat itu supaya memisahkan di antara hak dan batil
Tujuan makrifat itu supaya dapat derejat Saddikin
SIRI DUA PULUH TIGA (IBARAT)
Syariat itu ibarat buih
Tareqat itu ibarat ombak
Tareqat itu ibarat laut
Makrifat itu ibarat air
SIRI DUA PULUH EMPAT (BERHIMPUN)
Berhimpun syariat, Tareqat, Hakikat dan Makrifat dinamakan diri yang empat
Berhimpun Iman, Islam, Tauhid, Makrifat dinamakan Nurani
Berhimpun Ujud, Ilmu, Nur , Syuhud dinamakan Syawa’an
Berhimpun Hayat, Kudrat, Iradat, Ilmu dinamakan Sirr
Berhimpun Napas, Anpas, Tanapas, Nupus dinamakan Insan
Berhimpun Tanah, Air, Api, Angin dinamakan Jisim
Berhimpun Badan, Hati, Nyawa, Rasa dinamakan Rohani
Berhimpun Wadi, Wazi, Mani, Maknikam dinamakan Basyariah
Berhimpun Kulit, Daging, Tulang dan Urat dinamakan Jasad
Berhimpun Loh, Kalam, Nur , Akal dinamakan Manusia
Berhimpun Warna, rupa, Rasa, Penciuman dinamakan Jasad
Berhimpun Roh, Nur, Kalam, Akal dinamakan Ruh Izapi
Berhimpun Zat, Sifat, Asma, Afaal dinamakan Allah
Berhimpun Jamal, Jalal, Kamal, Kahar dinamakan Ya Za Jalal Li wal Ikram.
Sabtu, Oktober 15
ZIKIR IS NO 1 : 80 FADHILAT ZIKIR
AMALAN Zikir memiliki berbagai kelebihan sepertimana yang masyhur dinyatakan dalam kitab-kitab Hadits. Hadhrat Hafiz Ibnul Qayyim Rahmatullah ‘alaih yang merupakan seorang ‘Ulama Hadits telah menyatakan berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan Zikir. Beliau menyatakan terdapat lebih dari seratus faedah yang dapat diperolehi menerusi amalan Zikir dan telah beliau nukilkan sebanyak tujuh puluh sembilan faedah di dalam sebuah risalah yang bertajukAl-Wabil. Hadhrat Maulana Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi Rahmatullah ‘alaih telah meyalin faedah-faedah itu satu persatu secara ringkas dalam kitabnya Fadhail Zikir dan hamba pun menyalinnya sebagai berikut:
1. Zikir adalah menjauhkan Syaitan dan menghancurkan kekuatannya.
2. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala redha.
3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.
4. Zikir adalah menggembirakan hati.
5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan sanubari.
6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.
7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan mencurah-curah yakni memurahkan rezeki.
8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar.
9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana cinta itulah merupakan Ruh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barang siapa ingin mendapatkan cinta Ilahi itu maka hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya. Sebagaimana mutala’ah dan muzakarah itu merupakan pintu kejayaan ilmu, demikianlah Zikrullah itu merupakan pintu Cinta Ilahi.
10. Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat Ihsan. Denganadanya martabat Ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah dia melihatNya dan keadaan seperti inilah yang merupakan tujuan asasi daripada perjuangan Para Sufi.
11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat- bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi pelindung dan pembantu baginya.
12. Zikir adalah membawa seseorang kepada Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya dia bertambah dekat kepada Allah dan sebaliknya jika dia bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya dia bertambah jauh daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
13. Zikir adalah membukakan pintu Ma’rifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan keagungan dan kehebatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan melahirkan semangat buat merapatkan diri denganNya.
15. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ingat kepada seseorang yang ingat kepadaNya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran:“F a zk u ru n I Azkurkum.” Ertinya: Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu. Dan diterangkan pula di dalam Hadits: “Man Zakarani Fi Nafsihi, Zakrtuhu Fi Nafsi.” Ertinya: Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu.”
16. Zikir adalah menghidupkan hati. Hafiz Ibnu Taimiyah Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa perbandingan Zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu jika ia tidak berada di dalam air?
17. Zikir adalah santapan bagi Ruh dan Hati. Andaikata jika kedua-duanya tidak dapat menikmati santapannya maka adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.
18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karat kekotorannya sepertimana diterangkan di dalam Hadits bahawa tiap-tiap sesuatu ada daki dan kekotoran baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.
19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat.
20. Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh rasa ragu atau gelisah terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ianya dapat dihapuskan hanya oleh Zikrullah.
21. Orang yang berzikir dengan mensucikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, memujiNya, mengagungkanNya dan mengesakanNya, maka kalimah-kalimah zikirnya itu akan berpusing-pusing mengelilingi ‘Arash Allah Subhanahu Wa Ta’ala sambil menyebut nama penzikir itu dengan suara yang perlahan.
22. Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah Subhanahu Wa Ta’ala ingat pula kepadanya dalam kesusahan.
23. Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada azab Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
24. Zikir adalah menyebabkan turunnya Sakinah ketenangan dan Para Malaikat melingkungi orang-orang yang berzikir itu.
25. Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang yang berzikir itu daripada menumpat, mencela, berdusta, maki hamun dan bercakap yang sia- sia. Telah dibuktikan oleh kenyataan bahawa barangsipa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka terselamatlah daripada sifat-sifat yang keji. Sebaliknya orang yang tidak biasa dengan zikir maka dengan sendirinya dia terlibat di dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.
26. Majlis-majlis zikir adalah seperti majlis Para Malaikat sebaliknya majlis kelalaian yakni majlis yang peserta-pesertanya lalai daripada berzikir adalah seperti majlis Syaitan. Kini terserah kepada manusia, sertailah majlis mana yang suka. Menururt kebiasaan manusia sukakan akan sesuatu yang sesuai dengan sikap dan perangainya.
27. Zikir adalah memasukkan orang-orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang sia-sia adalah tercampak ke dalam kancah kecelakaan. Demikian juga orang-orang yang menyertai mereka itu.
28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada menyesal pada Hari Qiyamat. Di dalam Hadits ada disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada Zikrullah menyebabkan mendapat kerugian dan menyesal pad Hari Qiyamat.
29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri maka pada Hari Qiyamat dia akan ditempatkan di bawah naungan ‘Arash Ilahi di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang amat dahsyat itu.
30. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan Zikrullah.
31. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam Syurga.
32. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana Zikrullah.
33. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Barangsiapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang Aku berikan kepada orang-orang yang berdoa.”
34. Sungguhpun zikir merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afdhal dan utama daripada seluruh ibadat kerana menggerakkan lidah itu lebih mudah daripada menggerakkan seluruh badan.
35. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain yang mana diterangkan di dalam mafhum sebuah Hadits: “Barangsiapa yang membaca kalimah:La Ilaha Illa Allahu Wahdahu La Syarikalahu, Lahul Mulk Wa Lahul Hamd, Wa Huwa ‘Ala Kulli Syai in Qadir, sebanyak seratus kali pada suatu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripadanya seratus dosa, dipelihara daripada godaan Syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afdhal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi.”
36. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara Istiqamah, dia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan Dunia dan Akhirat, kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian. Diperingatkan oleh Allah di dalam Kitab Suci Al- Quran pada Surah Al-Hasyar ayat 19 yang ertinya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju ke arah kejayaan yang hakiki kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya dia terlalai daripada muslihat-muslihatnya dan akhirnya dia akan menjadi mengsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak enghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa dan akhirnya keadaan berubah menjadi belukar.
37. Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala dia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga dia cinta kepada zikir. Sepertimana seorang yang cinta kepada air ketika dia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika dia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa dia merasai panas atau dingin yang amat sangat, bahkan Zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-gala yang disebutkan itu tidak tersedia, maka tubuh ksar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, Ruh dan Hati juga akan mengalami kebinasaan.
38. Zikir adalah merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah Ma’rifat. Menururt istilah ‘Ulama Tasawwuf, pohon itu mendatangkan buah Ahwal dan Maqamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh dan semakin akarnya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.
39. Zikir adalah sumber syukur. Barangsiapa yang tidak mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dia tidak dapat bersyukur kepadaNya.
40. Dengan zikir, seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika dia beristirehat ataupun berada di pasar, ketika dia sihat ataupun sakit, ketika dia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada dalam serba kekurangan. Pada setiap masa dan dalam setiap keadaan dia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan dia mencapai kemajuan dengan secra terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir, maka dalam setiap keadaan dia meningkat ke martabat yang setinggi-tingginya.
41. Zikir adalah intisari Ilmu Tasawwuf yang diamalkan oleh setiap Ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Barangsiapa yang telah menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala nescaya dia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
42. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah dia mengalami kerugian demi kerugian.
43. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan saja ia menyubur ke bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun dia tidak berharta benda, memuliakannya walaupun dia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun dia tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti dia akan dihinakan walaupun dia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.
44. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menseraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat, yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan yang keji itu dibersihkan dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera Syaitan itu diceraikan daripadanya dan Akhirat yang jauh itu didekatkan dan Dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.
45. Zikir adalah mendekatkan kepada Zat yang zikirnya dikerjakan sehingga mendapat penyertaan denganNya sebagaimana diterangkan di dalam Al- Quran, “Inna Allaha Ma’allazi Nattaqau,” yang bererti: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala berserta orang-orang yang bertaqwa. Diterangkan di dalam satu Hadits Qudsi, “Ana Ma’a ‘Abdi Ma Zakarani,” ertinya: Adalah Aku menyertai hambaKu selama dia mengingati Aku. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku. Aku tidak menjauhkannya daripada RahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka, maka Aku menjadi Kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi Jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka ke alam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa.”
46. Penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. Ya Allah, berikanlah kepadaku barang sedikit daripada kenikmatanNya.
47. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta dan seimbang pula dengan berjuang pada Jalan Allah.
48.Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam pernah berkata kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur kepadaMu.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman kepadanya: “Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur.”
49.Di dalam Hadits yang lain diterangkan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah! Bagaimanakah cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:“Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir.”
50. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah Taqwa ialah Syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
51. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.
52. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.
53. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada Zikrullah.
54.Allah Subhanahu Wa Ta’ala menurunkan RahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan Para Malaikat berdoa untuk mereka.
55. Barangsiapa yang ingin menikmati Syurga sedangkan dia masih berada di dalam Dunia ini maka hendaklah dia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah seumpama taman-taman Syurga.
56. Barangsiapa senantiasa berzikir, dia akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum.
57. Amalan yang paling afdhal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afdhal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afdhal ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya dan demikianlah Jihad serta amalan-amalan yang lainnya.
58. Zikir adalah pengganti kepada ibadat-ibadat Nafilah. Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadits bahawa segolongan orang-orang miskin datang lalu merayu hal mereka kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan berkata, “Ya Rasulullah, saudara kami yang berharta benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan Haji, Umrah, Jihad dan lain-lainya.” Sebagai menjawab Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mahukah kamu sekelian ku ajarkan sesuatu untuk mencapai yang mendahului dan untuk mendahului sesudah kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afdhal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat.” Selanjutnya Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bacalah kamu sekelian: Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar selepas tiap-tiap Solat.” Ini menunjukkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganggap zikir ini sebagai pengganti haji, umrah, jihad dan lain-lain bagi yang tidak berada.
59. Majlis Zikir adalah majlis Para Malaikat.
60. Allah Subhanahu Wa Ta’ala membanggakan orang-orang yang berzikir di hadapan Para Malaikat.
61. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.
62. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat yang lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya maka ibadat-ibadat yang lain itu menjadi mudah dan senang serta kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar, oleh itu semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.
63. Dengan berzikir semua keberatan akan berubah menjadi ringan, setiap kesukaran akan berubah menjadi senang, setiap bebanan menjadi ringan dan semua bala bencana akan terlenyap.
64. Lantaran zikirlah maka segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar.
65. Zikrullah adalah mempunyai kuasa yang terkhas untuk melahirkan ketenteraman dan untuk melenyapkan ketakutan. Ianya mempunyai kesan yang teristimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.
66.Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas kepada manusia. Maka dengan kekuatan itu dia dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.
67.Pemberes urusan-urusan keakhiratan adalah dahulu-mendahului di antara satu dengan yang lain dan di dalam mendahului ini yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir. Di dalam sebuah Hadits, Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda,
“Telah mendahului mereka yang Munfarrid.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang Munfarrid itu Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka.”
68. Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang membenarkan dan menguji orang- orang yang berzikir. Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dusta. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa apabila seorang hamba mengucapkan: “La Ilaha Illa Allah Wallahu Akbar,”maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Benarlah ucapan hambaKu bahawa tiada Tuhan melainkan Aku dan Akulah Maha Besar.”
69. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam Syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka Para malaikat berhenti daripada membina rumah itu. Manakala mereka ditanyakan, mengapakah kamu berhenti daripada membina rumah itu? Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum lagi tiba.
70. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa barangsiapa mengucapkan:“Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Azim” sebanyak tujuh kali nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam Syurga.
71. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam Neraka kerana amal perbuatannya yang tidak baik maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan Neraka Jahannam. Semakin banyak zikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.
72. Jika seseorang yang berzikir di atas sebuah gunung atau di tanah datar maka tempat tersebut akan merasa amat bangga. Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa gunung-ganang bertanya-tanyakan di antara satu dengan yang lain bahawa hari ini adalah seseorang yang berzikir melalui di atas engkau. Jika diberitahukan bahawa ada yang melaluinya sambil berzikir, maka ia berasa gembira lagi bangga.
73. Nur Zikir adalah sentiasa bersama orang yang berzikir itu sama ada di Dunia mahupun di dalam Kubur dan ia memimpin di Titian Sirat. Ia tidak berpisah di mana-mana pun. Diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Kitab Suci al-Quran pada Surah Al-An’am ayat 122 yang bermaksud,“Apa k a h orang yang sudah mati kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?”Or ang pertama itu beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta makrifat dan zikirnya sementara orang yang kedua itu ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Penghasilan Nur adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang.
74.Para Malaikat beristighfar memohon keampunan bagi orang yang berzikir. Hadits ada menyebut bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan Subhanallahi Wabihamdihiatau Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, maka Para Malaikat berkata,“Ya Allah, ampunilah dia.” Adalah termaklum bahawa doa Para Malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkanNya.
75. Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi kelepasan dari kemunafikan kerana orang-orang yang Munafik tiada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala melainkan sedikit. Hadhrat Ka’ab Ahbar Radhiyallahu ‘anhu berkata, “Barangsiapa berzikir sebanyak-banyaknya maka terpelihara dia daripada kemunafikan.”
76. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai suatu kelazatan yang tidak di dapati pada amalan-amalan yang lain. Hadhrat Malik bin Dinar Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan zikir.
77. Pada wajah orang yang berzikir itu di dapati kegembiraan di Dunia dan akan kelihatan Nur padanya di Hari Qiyamat.
78. Barangsiapa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, dirumah, di dalam safar perjalanan dan ketika berada di kampung, maka dia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di Hari Hisab kelak.
79. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah dia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya. Lidah itu sememangnya tidak mahu diam, ia akan sibuk dengan berzikir, kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan. Demikian juga halnya dengan hati, jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khaliq iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala maka sudah tentu dia akan sibuk dengan mencintai makhluk.
80. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga mengerumuni mereka dari setiap penjuru. Orang yang halnya sedemikian rupa senantiasa berada di tengah-tengah lingkungan para musuh yang mana tiap-tiap seorang darinya ingin menimpakan ke atasnya penderitaan demi penderitaan. Maka tiadalah apa-apa untuk mematahkan serangan-serangan musuh itu melainkan Zikrullah.
ZIKIR IS NO 1 : DALIL-DALIL AL QURAN DAN HADITS
SESUNGGUHNYA Zikrullah adalah mengingati Zat Allah dan ia adalah suatu amalan ibadah yang sangat besar darjatnya dan amat tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikrullah merupakan intipati bagi segala amalan ibadah. Ia adalah suatu bentuk amalan ibadah yang boleh dikerjakan tanpa batas dan had. Solah yang tidak disertai dengan Zikrullah adalah Solah yang lalai. Begitulah juga dalam setiap amalan ibadah fardhu yang lain seperti Puasa, Zakat dan Haji, sekiranya tidak disertai Zikrullah ianya akan menjadi amalan ibadah yang lalai dan kurang nilai pahalanya.
DALIL DALAM AL-QURAN
DI DALAM Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyatakan dengan jelas dalil bagi amalan zikir. Amalan zikir mempunyai kelebihan yang banyak seperti yang telah dinyatakan oleh Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam Hadis. Jika hamba hendak menyatakan kesemua ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabawiyah, adalah terlalu banyak dan diluar batas kemampuan hamba untuk melakukannya. Namun sebahagian darinya dapatlah hamba nyatakan sebagai dalil dan hujah untuk menguatkan keyakinan kita dengan amalan Zikrullah.
Andaikata jika tiada dalil sekalipun, ketahuilah bahawa sesungguhnya mengingati Zat Tuhan yang menguasai seluruh alam dan diri kita adalah suatu amalan mulia yang tidak dapat sesiapa pun menafikannya. Adapun antara kandungan ayat- ayat Al-Quran berkenaan Zikrullah:
1. Fazkuruni Azkurkum Washkuruli Wala Takfurun.
Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu mengingkariKu. [Al-Baqarah : 152]
2. Wazkur Rabbaka Katsiranw Wasabbih Bil ‘Ashiyyi Wal Ibkar.
Dan berzikirlah mengingati Tuhanmu sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi hari." [Ali Imran : 41]
3. Allazina Yazkurunallaha Qiyamanw Waqu’udanw Wa ‘Ala Junubihim Wayatafakkaruna Fi Khalqis Samawati Wal Ardh, Robbana Ma Khalaqta Haza Batila, Subhanaka Faqina ‘Azabannar.
(Ulul Albab) iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata Wahai Tuhan kami, tidak Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. [Ali Imran : 191]
4. Fa Iza Qadhoitumus Solata Fazkurullaha Qiyamanw Wa Qu’udanw Wa ‘Ala Junubikum.
Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan solat maka hendaklah kamu berzikir mengingati Allah di waktu berdiri dan duduk dan di waktu kamu berbaring, kemudian apabila kamu telah merasa aman, Maka dirikanlah shalat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang- orang yang beriman. [An-Nisaa : 103]
5. Wazkur Rabbaka Fi Nafsika Tadharru’anw Wa Khifatanw Wa Dunal Jahri Minal Qauli Bil Ghuduwwi Wal Asoli Wala Takum Minal Ghafilin.
Dan berzikirlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut serta dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. [Al-A’raf : 205]
6. Innamal Mukminunal Lazina Iza Zukirallahu Wajilat Qulubuhum, Wa Iza Tuliyat ‘Alaihim Ayatuhu Zadathum Imananw Wa ‘Ala Robbihim Yatawakkalun.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. [Al-Anfal : 2]
7. Wa Yahdi Ilaihi Man Anab. Allazina Amanu Wa Tatma Innu Qulubuhum Bizikrillah, Ala Bizikrillahi Tatma Innul Qulub.
Orang-orang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya?" Katakanlah: "Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepadaNya", (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram. [Ar-Ra’d : 27 – 28]
8. Rijalun La Tulhihim Tijaratunw Wala Bai’un ‘An Zikrillah.
Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. [An-Nur : 37]
9. Walazikrullahi Akbar
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingat Allah (Solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [Al-‘Ankabut : 45]
10. Laqod Kana Lakum Fi Rasulillahi Uswatun Hasanatun Liman Kana Yarjullaha Walyaumil Akhiri Wazakarallaha Katsira.
Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tauladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan Rahmat Allah dan keselamatan di hari Akhirat dan berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya. [Al-Ahzab : 21]
11. Wazzakirinallaha Wazzakirati A’addallahu Lahum Maghfiratanw Wa Ajran Azima.
Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, Dan laki- laki yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya dan perempuan yang berzikir, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. [Al-Ahzab : 35]
12. Ya Ayyuhallazina Amanu Uzkurullaha Zikran Katsira. Wa Sabbihu Hu Bukratanw Wa Asila.
Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah, zikir yang sebanyak- banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang. [Al-Ahzab : 41 – 42]
13. Allahu Nazzala Ahsanal Haditsi Kitabam Mutasyabiham Matsaniya Taqsya’irru Minhu Juludullazina Yakhsyauna Rabbahum, Tsumma Talinu Juluduhum Wa Qulubuhum Ila Zikrillah, Zalika Hudallahi Yahdi Bihi Man Yasyaa.
Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (Al-Quran) yang serupa mutu ayatNya lagi berulang-ulang, gementar kerananya badan orang-orang yang takut kepad Tuhannya, kemudian menjadi tenang badan dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, Dia memimpin siapa yang dikehendakiNya, dan Barangsiapa yang disesatkan Allah, niscaya tak ada baginya seorang pemimpinpun. [Az-Zumar : 23]
14. Waman Ya’syu ‘An Zikrir Rahmani Nuqayyidhz Lahu Syaitanan Fahuwa Lahu Qarin. Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya Syaitan, maka dialah teman yang selalu menyertainya. [Az-Zukhruf : 36]
15. Alam Yakni Lillazina Amanu An Takhsya’a Qulubuhum Lizikrillah.
Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. [Al- Hadid : 16]
16. Fa Iza Qudhiyatis Solatu Fantasyiru Fil Ardh Wabtaghu Min Fadhlillahi Wazkurullaha Katsiran La’allakum Tuflihun. Apabila telah ditunaikan Solat (Juma’at) maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan berzikirlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung. [Jumu’ah : 10]
17. Ya Ayyuhallazina Amanu La Tulhikum Amwalukum Wala Awladukum ‘An Zikrillah, Waman Yaf’al Zalika Fa Ula Ika Humul Khasirun Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah, barangsiapa yang berbuat demikian sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang rugi. [Al-Munafiqun : 9]
18. Wazkurisma Rabbika Wa Tabattal Ilaihi Tabtila.
Dan sebutlah nama Tuhanmu dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan. [Al-Muzammil : 8]
19. Wazkurisma Rabbika Bukratanw Wa Asila.
Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. [Al-Insan : 25]
20. Qod Aflaha Man Tazakka. Wa Zakarasma Rabbihi Fasolla.
sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dari perangai yang keji). Dan dia berzikir nama Tuhannya, lalu mendirikan Solat. [Al-A’la : 14 – 15]
21. Wazkurullaha Katsiran La’allakum Tuflihun
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan musuh, maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. [Al-Anfal : 45]
Maksud menyebut nama Allah sebanyak-banyaknyanya ialah dengan memperbanyak zikir dan doa.
DALIL DARI AL-HADITS
ADAPUN hadits-hadits Nabawiyah berkenaan Zikrullah itu teramat banyak, namun hamba hanya dapat menukilkan sebahagiannya sepertimana yang telah termaktub di dalam kitab-kitab hadis. Walaubagaimanapun, daku menyatakan maksud terjemahan dari sabdaan Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
1.Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) memberitahu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaKu terhadapKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa). Apabila hambaku mendekatiKu sejengkal maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku dekati dia sedepa, dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan maka Aku dekati dia dengan berlari.”
[ Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, An-Nasai, Ibnu Majah dan Al- Baihaqi ]
2. Hadhrat Abu Darda (R. ‘anhu) telah meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada para Sahabatnya (R. ‘anhum), “Mahukah daku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah- tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?” Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Zikrullah.”
[ Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Abi Dunya, Al-Hakim dan Al-Baihaqi ]
3. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala di kasur yang empuk yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat yang tertinggi di dalam Syurga.” Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga pernah bersabda, “Jika sekiranya kamu senantiasa berzikir nescaya para Malaikat akan berjabat tangan denganmu di jalan-jalan dan tempat tidur kamu.” Dalam sebuah hadits lagi Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Telah berjayalah mereka yang unggul sendiri.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang unggul sendiri, Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?” Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Ialah mereka yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya.
[ Riwayat Ibnu Hibban dan Muslim ]
4.Hadhrat Abu Musa (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati.”
[ Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Al-Baihaqi ]
5. Hadhrat Abu Musa (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Jika sekiranya orang yang mempunyai wang yang banyak lalu membahagi-bahagikan (bersedekah di Jalan Allah) dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir kepada Allah maka yang berzikir kepada Allah itu adalah lebih utama.”
[ Riwayat At-Tabarani ]
6. Hadhrat Mu’az bin Jabal (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bahawa para penghuni syurga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berduka cita mengenai suatu apa pun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah.”
[ Riwayat At-Tabarani, Ibnu Abi Dunya, Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan Al- Baihaqi ]
7. Hadhrat Abu Hurairah dan Abu Sa’id (R. ‘anhuma) memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikirullah melainkan dikerumunilah mereka oleh Para Malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di hadapan mereka yang berada di sisiNya.”
[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi ]
8. Hadhrat Abu Zar (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Aku nasihatkanmu, kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan. Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan menyebabkan nur di permukaan bumi. Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu. Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap. Utamakanlah jihad kerana itulah kebanggaan umatku. Hendaklah mengasihani orang-orang miskin dan menggauli mereka dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu. Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang telah Dia anugerahkan kepada kamu.
Hendaklah mengukuhkan tali persaudaraan dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu. Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit. Janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah. Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghibuhkan keaiban orang lain. Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri. Wahai Abu Zar, tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya. Sebaik-baik taqwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna.”
[ Riwayat At-Tabarani dan Abdu Ibni Hamid ]
9. Hadhrat Muawiyah (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sekali Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menemui satu halqah majlis para Sahabat (R. ‘anhum) lalu Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada mereka, “Mengapa anda sekelian duduk di sini?” Sahut mereka, “Kami menyebut Allah dan memujiNya atas nikmat agama Islam yang telah dilimpahkanNya kepada kami.” Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Kerana itukah anda sekelian duduk di sini? Aku tak akan meminta kamu bersumpah atau aku hendak menuduh kamu, namun Malaikat Jibrail telah mendatangiku dan mengatakan bahawa Allah Ta’ala membanggakan kamu atas para malaikatNya.”
[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi dan An-Nasai ]
10. Hadhrat Anas (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Orang-orang yang berkumpul untuk berzikirullah hanya dengan tujuan mendapatkan keredhaanNya maka seorang malaikat berseru dari langit bahawa dosa-dosamu telah diampunkan dan kejahatan- kejahatanmu telah digantikan dengan kebaikan.” Menurut hadis yang lain, “Sebaliknya jika orang-orang berkumpul di sesuatu majlis kemudian berpisah dari majlis itu tanpa zikirullah maka majlis itu menyebabkan mereka akan menyesal pada hari Kiamat.”
[ Riwayat Ahmad, Al-Bazar, Abu Ya’la, At-Tabarani, Al-Baihaqi, Al-Munziri, Ibnu
Hibban, Al-Hakim dan As-Sayuti ]
11. Hadhrat Muaz Ibnu Jabal (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Tiada seseorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang lebih selamat baginya dari siksa kubur daripada zikrullah.”
[ Riwayat Ahmad, At-Tabarani, Malik, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Az-Zahabi,
Al-Baihaqi, Ibnu Abi Sayibah dan Ibnu Abi Dunya)
12. Hadhrat Abu Darda Hadhrat (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan membangkitkan pada hari Kiamat setengah-setengah kaum yang muka-mukanya cemerlang menyilaukan mata. Mereka berada di mimbar-mimbar mutiara. Orang ramai akan mencemburui dan beriri hati dengan mereka sedangkan mereka itu bukannya Nabi dan bukan pula Syahid.” Maka seorang berkata, “Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, terangkanlah kepada kami tanda-tanda mereka supaya dapat kami mengenali mereka-mereka itu.” Sebagai menjawab Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mereka itu adalah orang-orang yang berasal dari keluarga dan kampung yang berlainan yang datang berkumpul di suatu tempat lalu mencintai Allah dengan menyebutNya.”
[ Riwayat At-Tabarani, Al-Munziri, Ahmad dan Al-Baihaqi ]
13. Hadhrat Anas (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Jika kamu melawat pada kebun-kebun syurga maka rasailah kemewahannya sebaik-baiknya.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah kebun itu Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?” Jawab Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Majlis zikrullah.”
[ Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Al-Baihaqi, Ibnu Abi Dunya, Al-Bazar, Abu Ya’la dan Al-Hakim ]
14. Hadhrat Abdullah Ibnu ‘Abbas (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Jika seseorang daripada kamu yang tidak berani untuk beramal di malam hari, tidak dapat membelanjakan hartanya pada jalan Allah kerana bakhil dan tidak dapat berjuang pada Jalan Allah kerana takut maka hendaklah mengerjakan zikrullah sebanyak- banyaknya.”
[ Riwayat At-Tabarani, Al-Baihaqi, Al-Bazar, Al-Bukhari, At-Tarmizi, Abu Daud danIbnu Majah ]
15. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sesungguhnya Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Hendaklah kamu berzikir sebanyak-banyaknya sehingga orang mengatakan kamu gila.”
[ Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]
16. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Ada tujuh golongan yang akan dilindungi Allah di bawah RahmatNya pada hari yang tiada perlindungan selain dari lindungan Allah iaitu: [1] Imam pemerintah yang adil [2] Pemuda yang menggunakan masa mudanya untuk beribadah kepada Tuhan [3] Lelaki yang hatinya saban waktu berada di masjid. [4] Dua lelaki yang mencintai satu dengan yang lain kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah [5] Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan lagi jelita lalu dia berkata, “Aku ini takut akan Allah” [6] Lelaki yang memberi sedekah dengan disembunyikannya sehingga tidak tahu tangan kirinya apa yang diberikan oleh tangan kanannya [7] Lelaki yang berzikir mengingati Allah s.w.t. bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.”
[ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim ]
17. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sekali beliau bertanya kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Siapakah yang akan mencapai kebahagiaan pada hari Kiamat melalui Syafa’at Baginda?” Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya setelah aku melihat minat kau terhadap Hadis maka aku menyangka bahawa tentang perkara ini tidak ada seorang pun bertanya sebelummu.” Lantas Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi, “Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui Syafa’atku ialah orang yang mengucapkan kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH dengan ikhlas dari Qalbnya atau Nafsnya.”
[ Riwayat Al-Bukhari dan Al-Hakim ]
18. Hadhrat ‘Ubadah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sebaik-baik zikir ialah zikir khafi dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi.”
[ Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la ]
19. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Dunia dan apa-apa yang ada padanya dikutuk Allah kecuali zikrullah, apa-apa yang menghampiri kepadanya, alim ulamak dan para penuntut.”
[ Riwayat At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi, At-Tabarani, As-Sayuti dan Al-Bazar ]
20. Hadhrat Jabir (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Zikir yang termulia ialah LA ILAHA ILLA ALLAH dan doa yang terbaik ialahALH AM DU LILLAH.”
[ Riwayat At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Munziri, An-Nasai, Ibnu Hibban, Al-Hakim, Az-Zahabi dan As-Sayuti ]
21. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sekali Hadhrat Musa Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, “Wahai Tuhan ajarkanlah aku akan sesuatu yang dapat aku mengingatiMu dengannya.” Allah berfirman, “Ucapkanlah olehmu LA ILAHA ILLAALLAH.” Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata, “Ya Tuhan, semua hambaMu mengucapkan kalimah ini.” Tuhan berfirman, “Ucapkanlah olehmu LA ILAHA ILLA ALLAH.” Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata lagi, “Ya Tuhan, sesungguhnya aku menghendaki sesuatu yang terkhas bagiku.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Jika tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di atas sebelah dacing dan LA ILAHA ILLA ALLAH di sebelah yang lain maka nescaya dacing di sebelah LA ILAHA ILLA ALLAH itu lebih berat.”
[ Riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban, Al-Hakim, Az-Zahabi, Abu Na’im, Al-Baihaqi dan Abu Ya’la ]
22. Hadhrat Abu Hurairah (R.’anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Seorang penyeru akan menyeru pada Hari Kiamat, di manakah orang-orang yang berakal? Orang ramai akan bertanya, siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang berakal itu? Pertanyaan itu akan dijelaskan seperti berikut: Mereka itu ialah orang- orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan bumi dan langit seraya berkata, Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari siksaan api neraka. Mereka akan berjalan mengikuti bendera itu dan dikatakan kepada mereka bahawa masuklah kamu sekelian ke dalam syurga buat selama-lamanya.”
[ Riwayat Al-Asbahani ]
23. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Tiada seorang hamba yang mengucapkan LA ILAHA ILLA ALLAH melainkan dibukakan baginya pintu-pintu di langit sehingga kalimah itu terus menuju ke ‘Arasy kecuali orang itu terlibat di dalam dosa-dosa yang besar.”
[ Riwayat At-Tarmizi, Al-Qari, An-Nasai, Ibnu Hibban, As-Sayuti dan At-Tabarani ]
24. Hadhrat Zaid Bin Arqam (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Barangsiapa yang mengucapkan LA ILAHA ILLA ALLAH dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga.”
[ Riwayat At-Tabarani ]
25. Hadhrat Ya’la bin Syaddad (R. ‘anhu) menceritakan suatu peristiwa yang dibenarkan oleh Hadhrat ‘Ubadah (R.’anhu), katanya bahawa sekali kami berada di dalam masjid Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan tak semena-mena Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya, “Di antara kamu ini adakah seseorang yang bukan orang Islam?” Kami menyahut, “Tidak, Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.” Lalu Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh kami menutup pintu kemudian Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Angkatlah tangan-tanganmu dan ucapkan LA ILAHA ILLA ALLAH.” Maka kami pun mengangkat tangan-tangan kami dan mengucapkan LA ILAHA ILLA ALLAH.” Lantas Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Wahai Tuhan sesungguhnya Engkau mengutuskanku dengan kalimah ini. Engkau telah janjikan Syurga dengan kalimah ini dan Engkau tidaklah memungkiri janji.” Seterusnya Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada kami, “Gembiralah kamu kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengampuni kamu sekelian.”
[ Riwayat Ahmad, At-Tabarani, Al-Hakim, Az-Zahabi dan Al-Bazar ]
Langgan:
Catatan (Atom)