Isnin, Disember 16

Bab 7 .:: Pesanan Buat Mujahid ::.

Saudaraku, Semoga ALLAH SWT memberi kamu kefahaman akan jalan yang dibawa dan menjadi orang yang benar-benar beramal dengannya. Semoga ALLAH sentiasa merahmati kita dan mengampuni dosa kita jika di sana adanya hawa nafsu yang tersembunyi. Tekunlah beramal dengan amalan yang dibai'ahkan. Tumpukan bersungguh-sungguh ke arah qalbumu dengan kalimah ALLAH. Hidupkan ia sentiasa, walau bagaimana sekalipun keadaan kamu dan di mana kamu berada. Jika terasa lalai, beristighfarlah dengan segera, jadikan kecintaan menyebut nama-Nya sebagai keutamaan sehingga hati kamu menjadi istiqamah dengan asma'-Nya.

Setiap asma' yang akan terlimpah pada hatimu penuh dengan keasyikan, kamu akan rasa dzauq yang berbeza. Setiap asma' juga mengandungi muraqabah yang tersendiri. Jadikan diri kamu benar-benar memperoleh maqam dalam kerohanian. Setiap maqam rohanimu mengandungi hal yang berbeza. Bersungguh-sungguhlah kamu mencapainya dengan sentiasa bertaubat, menjaga syariat dengan baik, menjaga makan minum dengan teliti, juga tutur-katamu, juga penglihatanmu, kuatkan amalan sunat, biasakan berlapar, banyakkan tadabur Al-Quran dan qiam di malam hari. Di mana sahaja kamu berada, rendahkan hatimu, cintailah majlis ilmu, muliakanlah ulama-ulama, para hafiz, para syeikh dan khalifah sufi yang benar, para mujahid, para pendakwah yang ikhlas, pemimpin yang baik dan orang-orang yang soleh.

Segalanya bergantung pada diri kamu. Dalam amalan kerohanian, tiada istilah 'orang lama' atau 'orang baru'. Walaupun seseorang itu baru, jika dia bersungguh-sungguh beramal dan bermujahadah, dia mampu memperolehi natijah yang hebat berbanding orang lama yang malas bermujahadah. Begitu juga, murid boleh mengatasi guru dalam kerohanian, semuanya dalam kudrat Ilahi untuk melimpahkan kurniaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Pengalaman yang bersungguh-sungguh akan melahirkan natijah pada kamu dari segi kerohanian. Jika berlaku hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian sama ada dalam bentuk mimpi, ilham, kasyaf, pertukaran zikir atau perasaan dzauq atau datang pengajaran dari alam ghaib, ia perlu dirujuk kepada guru.

Di antara ciri-ciri seorang mujahid itu ialah :

a) Mengingati ALLAH Setiap Masa :

Seorang mujahid hendaklah sentiasa hatinya itu dalam mengingati ALLAH.

Firman ALLAH SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ

"Ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu."

[Al-Baqarah ; 152]

Di mana kamu berada atau apa jua pekerjaan yang kamu lakukan, ingatlah ALLAH, ikhlaskan amal kamu, jaga batas-batas syariat. Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada ALLAH, segala pengamalannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta ALLAH. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu, gerak diam dalam alam ini adalah dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan ridha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada ALLAH, mereka bertawakkal kepada ALLAH. Ingatlah, apabila kamu bertawakkal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera ALLAH di langit dan bumi menjadi penolongmu.


b) Mengamalkan Sunnah Nabi SAW

Seorang mujahid ialah orang yang memelihara dan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.


Firman ALLAH SWT :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ

"Katakanlah wahai Muhammad, sekiranya kamu cinta kepada ALLAH, maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya kamu dicintai oleh ALLAH.."

[Al-Imran : 31]

Hati yang mencintai ALLAH akan mencintai apa yang dicintai oleh ALLAH, dan tiadalah makhluk yang paling dicintai olh ALLAH melainkan Nabi SAW. Mencintai Tuhan tanpa mencintai Baginda adalah dusta sehingga disebut oleh Nabi SAW kepada Sayyidina Umar radhiyallahu 'anhu bahawa tidak sempurna iman seseorang itu jika ia tidak mencintai ALLAH dan Rasul-Nya melebihi dirinya sendiri.

Dalam kitab Darul an-Nafis disebut bahawa tangga untuk meningkatkan kerohanian seseorang itu ialah dengan mempebanyakkan selawat kepada Nabi dan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda SAW. Apabila akhlak atau sunnah Nabi hidup dalam diri seorang mukmin, dihidupkannya sunnah dalam rumahtangganya, berlakunya keberkatan dalam kehidupan mereka dan anak-anak. Anak-anak ini yang akan berada dalam masyarakat dan mencorakkan masyarakat.

Lahirnya ummah yang kuat dan indah kerana masyarakat yang lahir adalah dari keluarga dan pemimpin yang benar-benar menghayati sunnah Rasulullah SAW. Pertolongan ALLAH tidak akan sampai kepada ummah yang memandang rendah dan meninggalkan sunnah malah boleh menyebabkan ummah diberi bala oleh ALLAH SWT.


c) Kasih Sayang

Seorang mujahid juga perlu memiliki perasaan kasih sayang yang tinggi sebagaimana firman ALLAH SWT :


رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ

"Berkasih sayang sesama mereka."
[Al-Fath : 29]

Cahayakan hatimu dengan kasih sayang di mana kamu berada. Kasih sayangmu melangkaui sempadan darah, warna kulit, bangsa, agama, geografi dan sebagainya. Bertindaklah dalam apa jua dengan mendahulukan kasih sayang. Jadikan dirimu penyebar kasih sayang, nescaya diri kamu dikasihi Tuhan dan makhluk yang melata. Eratkan tanganmu sesama muslim walau apa pun namanya, kumpulannya, platformnya atau kaedahnya. Selagi mereka benar dalam kalimah Tauhid ia adalah saudaramu.

Perbezaaan pendapat, cara, tarbiah bukan penghalang untuk kamu berkasih sayang dan bantu membantu. Ringankanlah tulangmu membantu saudara muslimmu jika ia mengharapkan pertolonganmu. Jangan biarkan mereka tidak mendapat apa-apa darimu. Itulah akhlak Rasulullah SAW yang amat lemah lembut dan suka membantu mereka yang mengharap bantuan.

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

" Pada Hari Kiamat ALLAH akan berfirman, 'Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan melindungi mereka sebab hari ini tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Ku.' "

[HR Muslim]

Lapangkan dadamu dengan sentiasa memaafkan mereka yang memusuhimu, atau menyakitimu dan sambungkan silraturahim dengan mereka yang memutuskannya.

Firman ALLAH SWT :

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya di tangan ALLAH. ALLAH tidak menyukai orang-orang yang zalim." [Asy-Syura : 40]

Jika bertemu saudara yang tersasar dalam masalah akidah, hulurkan tanganmu kepada mereka, betulkanlah mereka dengan nasihat yang baik. Begitu juga kepada golongan bukan Islam sama ada di hadapanmu atau di belakangmu, kasihanilah mereka, pimpinlah mereka kepada hidayah, sesungguhnya mereka tidak mengetahui bahawa mereka akan menanggung azab ALLAH di akhirat nanti disebabkan kekufuran mereka. Pancarkanlah kasih sayangmu di mana sahaja kamu berada, jadikan dirimu sebagai pohon kayu yang besar, rendang dan mengeluarkan buah yang ranum, maka ramai manusia mendapat manfaat darimu.

d) Mencintai Akhirat

Seorang mujahid adalah orang yang amat mencintai kehidupan Akhirat. Dunia hanyalah jambatannya untuk mengumpul bekalan yang sebanyak-banyaknya untuk kesejahteraan di akhirat nanti.


Firman ALLAH SWT :

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni'matan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana ALLAH telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan,"
[Al-Qasas : 77]

Mengutamakan kehidupan akhirat adalah melambangkan kecerdikan dan ketajaman mata hati. Orang yang buta mata tidak nampak keindahan dunia, mereka yang buta mata hati tidak dapat melihat keindahan akhirat. Cintamu pada akhirat membawa dirimu dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dirimu akan tenang dan redha dengan apa jua ujian di dunia kerana bagimu dunia terlalu kecil untuk kamu tangisi kesusahannya dan terlalu kecil untuk kamu gembira dengan kenikmatannya. Berapa ramai mereka yang mengetahui akhirat lebih mulia dan afdhal tetapi kehidupan mereka tidak memfokuskan kepada akhirat, ini disebabkan pengtahuannya belum meresap dalam hatinya, hatinya masih diselaputi cinta dunia. Cinta dunia menyebabkan dirimu menjadi kerdil dan resah gelisah, dunia tidak akan memberi kamu kebahagiaan kerana dunia bersifat ujian.

Cintailah akhirat dan jadikan segala perjalananmu, nafasmu, perkataanmu untuk mencari kehidupan akhirat. Mereka yang mencintai akhirat akan menjadi manusia yang hebat, mereka akan manfaatkan segala usia mereka untuk membuat kebajikan semaksima mungkin agar setiap nafasnya menjadi modal yang menguntungkan apabila ia pulang ke negeri akhirat nanti. Ia tidak akan rugi satu saatpun jika amalnya ikhlas walaupun ia tidak dihargai oleh manusia. ALLAH yang Maha Adil tidak pernah melihat pada rupa, pangkat dan keturunan, ALLAH hanya melihat sekeping hati yang suci yang benar-benar mencintai-Nya dan percaya pada janji ALLAH bahawa apa yang ada di sisi ALLAH lebih baik daripada apa yang ada di sisi manusia.

Firman-Nya :

وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

"Sesungguhnya apa yang ada di sisi ALLAH lebih baik dan lebih kekal."
[Al-Qasas : 60]


e) Mengutamakan Keharmonian

Mujahid agama amat mengutamakan keharmonian dalam seluruh gerak kerja dakwahnya. Ia sentiasa mencari titik pertemuan yang dapat dijadikan asas dalam kerjasama dengan pihak lain. Ia sentiasa berlapang dada dalam perkara yang tidak disepakati dalam apa jua yang dilakukannya, sama ada berhubung dengan organisasi, fikrah, amalan, prinsip, kaedah, tarbiah dan sebagainya. Menjauhi besifat menentang dan mujadalah.

"Salaman", begitulah ucapannya kepada si jahil yang menentangnya. Sentiasalah ia mencari ruang perdamaian walaupun dengan musuh sekalipun. Dijauhnya lisan yang boleh melahirkan perpecahan dan permusuhan, malahan dirinya itu bersifat seperti yang disabda Nabi SAW :

"Orang mukmin itu mudah berurusan dan orang mudah dengannya."

Apabila bertemu dengan perkara yang boleh merosakkan keharmonian, cepat-cepatlah membuat tindakan yang bijaksana supaya keharmonian itu berkekalan. Islam lebih mengutamakan maslahah ummah dari maslahah individu. Keharmonian juga bukannya hanya melibatkan perkara kemasyarakatan tetapi ia juga berkait dengan permasalahan agama yang melibatkan perkara khilafiah sama ada dari segi mazhab, ideologi politik dan sebagainya. Tetapi perkara yang berkaitan dengan akidah perlu bertegas, tiada berkompromi.

Keharmonian bagaikan air yang sentiasa bergerak. Ia akan menembusi apa jua penghalangnya sama ada melalui atas, bawah, tepi, atau di celah-celah ruang yang kecil dan sebagainya, asalkan objektif dapat dicapai dan tiada apa yang boleh menghalangnya untuk bergerak. Hati yang lapang dan bijaksana dalam menangani masalah adalah asas penting dalam mewujudkan keharmonian. Prinsip Harmoni ini menekankan kepentingan meletakkan keutamaan dalam apa jua perkara. Jika bertemu dua perkara yang haq, utamakan yang lebih penting kebaikannya kepada ummah.



Bab 6 .:: Sufi - Mujahid Agama ::.

Di zaman ini umat islam perlu kepada kekuatan ilmu yang hebat sepeti menguasai sains dan teknologi, ekonomi, IT dan sebagainya. Janganlah terus menjadi ummah yang hanya ada semangat tetapi tidak memiliki apa-apa kekuatan yang mampu menggerunkan musuh. Sekurang-kurangnya musuh berfikir sepuluh kali untuk menyerang atau memperbudakkan negara Islam kerana mereka memiliki senjata nuklear atau pelbagai ilmu yang hebat yang boleh mencabar mereka.

Pergantungan ekonomi yang melampau kepada mereka adalah amat bahaya. Umat Islam perlu berusaha membebaskan dirinya dari ancaman ini. Carilah altenatif yang baik untuk Islam. Jadilah ahli fikir untuk Islam. Apalah hebatnya sebuah negara, jika dengan mudah diserang ekonominya. Serangan ekonomi boleh meruntuhkan sistem politik. Runtuhnya sistem politik menyebabkan sistem sosial kacau-bilau dan hancur.

Hancurnya sistem sosial boleh meruntuhkan negara. Runtuhnya negara boleh menghancukan agama. Justeru itu, jihad adalah penting dalam Islam. Ia ibarat atap yang melindungi perabut dalam rumah daripada panas dan hujan. Perabut-perabut tadi ibarat pengamalan, ibadah dan sebagainya. Ia akan hancur jika tiada keamanan, tiada kebebasan untuk beramal malah nyawa menjadi taruhan untuk mendirikan solat sebagaimana umat Islam yang dijajah.

Jadilah mujahid yang kuat kerohanian dan seorang yang kuat berfikir serta berusaha membangunkan kekuatan Islam di mana saja kita berada. Mujahid agama ialah mujahid yang kuat kerohaniannya, bijaksana, menguasai kemahiran ilmu dunia, memahami musuh, penuh strategi, sentiasa merancang dan bergerak pantas apabila berlaku krisis. Fokuslah kepada musuh yang besar iaitu Yahudi dan kuncu-kuncunya. Tiada masa untuk kita bermain-main atau bergaduh sesama sendiri pada abad ini. Berlapang dadalah dengan perkara yang bercanggah sesama Islam, kumpulkan tenaga untuk merancang dan mengatur strategi berhadapan dengan musuh yang besar dan menggunakan seribu satu helahnya untuk menghancurkan Islam dan umatnya.

Justeru itu, bangkitlah menjadi mujahid dan menguasai kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu. Jadilah mujahid yang menguatkan dan mempertahankan agama di mana sahaja kita berada. Jauhi jalan kekerasan dan carilah jalan aman dan damai. Kita tidak mencari musuh tetapi kita adalah golongan yang tidak akan lari dari musuh jika ditakdirkan bertemu. Kita mestilah berpegang kepada fiqh keutamaan di mana keutamaan umat Islam kini ialah bersatu, jauhilah perkara yang boleh berpecah. Terlalu banyak ruang dan sebab untuk umat Islam bersatu dan begitu juga terlalu banyak perkara yang membolehkan umat Islam berpecah.

Berbeza pendapat dalam perkara yang sama haq sehingga menimbulkan perpecahan adalah kelemahan dan besar dosanya. Perkataan yang benar tetapi menimbulkan perpecahan juga adalah perkara yang batil sebagaimana kata Saiyyidina Ali radhiyallahu 'anhu, "Kalimah yang Haq tetapi Batil", kerana ianya boleh membawa umat Islam kepada polemik perpecahan yang tiada kesudahan.

Tiadalah perkara yang paling utama masa kini melainkan penyatuan umat Islam. Dengannya kita dapat menyusun kekuatan menghadapi musuh yang satu. Kita sudah tiada masa lagi untuk berpecah atau sengaja mencari sebab untuk berpecah. Itulah hawa nafsu yang berselindung di sebalik agama, itulah jalan syaitan yang kadang-kadang berupa kata-kata dari lisan orang alim. Perpecahan adalah jalan syaitan, kasih sayang adalah jalan keimanan. Janganlah kita mempertahankan perkara yang khilafiah sehingga kita terjerumus ke dalam perkara yang haram.

Janganlah menjadi seorang sufi yang hanya memegang tasbih, menangis dan terus menangis, istighfar dan terus istighfar, fana' dan terus fana', uzlah dan terus uzlah tanpa membangunkan diri menjadi mujahid agama ALLAH. Tiadalah keutamaan yang hakiki pada seorang mukmin melainkan berada pada amal jihad. Letakkan keutamaan dalam apa jua. Dengan kekuatan kerohanian dan ibadah, tajamkan fikiranmu, tegakkan dirimu di pintu-pintu Islam mengikut kemahiranmu dan potensimu untuk mempertahankannya dari serangan musuh.

Renungilah rangkap syair yang dikirimkan oleh Abdullah bin al-Mubarak yang berada di medan perang kepada sahabatnya, Al-Fudayl bin 'Iyadh yang beruzlah di Haramain (Makkah) dan tidak keluar berperang menentang musuh yang memerangi Islam pada zaman itu.

Rangkap syairnya itu berbunyi:

"Wahai si abid (yang beribadah) di Haramain
Andainya anda melihat kami (di medan perang)
Pasti anda mengetahui (hakikat kebenaran)
Bahawa anda (sebenarnya) sedang bermain-main
dalam ibadah (kepada Tuhan)
(Sebenarnya anda) seorang yang menyimbah leher dengan air mata
(Sedangkan) batang-batang leher kami
disimbahi darah (mati syahid)
Atau (anda merupakan pemilik kuda) yang kudanya
berpenat lelah dalam kepalsuan kebatilan
(Sedangkan) kuda-kuda kami berpenat lelah di hari peperangan (sebagai pahlawan handalan)
Untuk kalian bauan wangian harum semerbak
Wangian kami debu di hujung kaki kuda,
debu yang paling semerbak (baunya)
Telah datang kepada kami sabda Nabi kita
Sabda yang sahih, benar, tidak dusta
Tidak sama debu kuda ALLAH di hadapan
kemuliaan seseorang
(Berbanding) dengan (debu) asap api yang menyala
(di sisi abid yang enggan berperang)
Ini kitab ALLAH yang berada di kalangan kita, Ia berfirman:
(Memberitahu kepada orang-orang yang beriman)
Korban syahid tidak mati
(Bahkan dia hidup di sisi Tuhan Rabbul 'Izzati)
(Firmannya benar) tidak dusta (sama sekali)."

Setiap amal yang begitu tinggi pahalanya, di situlah adanya limpahan kerohanian yang tinggi. Satu saat berada di medan jihad adalah lebih baik dari kamu beribadah sepanjang malam. Justeru itu, jadikan amal jihad sebagai pintu untuk kamu mencapai makrifat di samping kamu tidak meninggalkan asas-asas amalan dalam sufi seperti yang telah dihuraikan di atas.

Bab 5 (ii) Cerita Luar Biasa & Perbahasan Khilafiah Melemahkan Umat ::.

Cerita kehebatan Syeikh sufi berperang mengalahkan musuh secara ghaib dan pelbagai lagi boleh membunuh kehebatan manusia muslim. Mereka menjadi manusia yang akan merasa tenang dan bergantung kepada syeikh apabila berlakunya permasalahan ummah. Apakah kepentingan cerita sebegini kepada umat Islam yang menghadapi cabaran yang begitu hebat terutama di masa mutakhir ini. Kita tidak menolak tentang karamah tetapi cerita-cerita seperti ini boleh membunuh jatidiri setiap muslim. Mereka berperang mengharapkan syahid dan amat malang bagi lelaki Muslim jika setiap peperangan tidak perlu dilalui kerana di sana sudah ada 10 syeikh sufi yang penuh karamah untuk menentang musuh secara ghaib di dalam gua!

Cerita-cerita luarbiasa dan karamah-karamah perlu diselidiki kerana kemungkinan berlakunya sikap berlebih-lebihan untuk memberi kepuasan dan keyakinan sehingga berlakunya pemujaan kepada syeikh secara melampau. Akibatnya, ramai umat Islam tidak hidup di alam nyata, mereka terus berkhayal dan menunggu keajaiban berlaku melalui syeikh tadi.

Di sana berlaku juga perpecahan antara satu kumpulan tariqat dengan kumpulan yang lain walaupun mereka dari aliran yang sama. Perpecahan ini ada ketikanya memuncak di mana murid sesama murid bergaduh dan masing-masing mendakwa syeikh mereka yang lebih hebat. Masing-masing meremehkan antara satu sama lain, malah adakalanya perpecahan berlaku disebabkan hal-hal khilafiah sahaja, bukannya dalam perkara dasar.

Hal seperti ini amat mendukacitakan apatah lagi di sana wujudnya pertentangan golongan 'kaum muda' yang terang-terangan mengatakan pengamalan ini adalah sesat dan bid'ah. Akibatnya, masa dihabiskan dengan berhujah dari beramal.

Perbahasan dalam masalah selubung, rabitah, masalah zikir jahar, masalah zikir dalam gelap dan sebagainya tidak memberi sebarang kebaikan kepada murid dan ummah yang begitu lemah sekarang. Namun jika amalan ini diamalkan secara sirr demi kepentingan maslahat adalah amat baik dan sebaik-baiknya pengamalnya adalah terdiri di kalangan mereka yang mempunyai kemantapan ilmu yang dapat menyuluh kebenaran amalan dan syeikh mereka. Apa yang penting, kita dapat mencapai objektif tanpa terikat dengan kaedah yang melambatkan atau yang boleh menghalang untuk mencapai objektif tersebut. Bialah murid beramal dengan tenang dan masyarakat tiada curiga akan pengamalannya.

Demikianlah beberapa tipudaya dalam dunia tasawuf yang tidak menyumbang apa-apa kebaikan. Sebaliknya umat Islam yang sedia ada sekarang ini menjadi semakin lemah, dan mudahlah musuh-musuh Islam melemparkan panah-panah beracun bagi menghancurkan kekuatan umat Islam. Dan akhirnya mereka menghabiskan di situ sehingga tidak mempunyai masa untuk memikirkan dakwah dan perjuangan menegakkan agama ALLAH.

Bab 5 (i) .:: Cerita Luar Biasa & Perbahasan Khilafiah Melemahkan Umat ::.

Sebagaimana bidang-bidang yang lain seperti politik, agama, bidang ilmu tarikat atau tasawuf tidak sunyi dan tidak terkecuali daripada penyelewengan dan kesesatan. Islam yang sedemikian jelas, kerasulan Muhammad SAW yang sedemikian terang masih cuba diselewengkan dan disesatkan oleh musuh-musuh Islam. Jika dibandingkan dengan bidang ilmu yang lain, maka ilmu tasawuf lebih terdedah kepada penyesatan dan penyelewengan. Sejarah membuktikan bahawa tasawuf terutama tarikatnya telah dan sentiasa menjadi saluran dan lindungan yang lebih selamat kepada musuh-musuh Islam untuk menyesatkan dan menyelewengkan kesucian aqidah, kelurusan syariat dan kebenaran agama ALLAH.

Selain fakta sejarah, penyelewengan dan dan penyesatan dalam tarikat tasawuf diakui oleh semua tokoh sufi dan juga ulama rabbani pada setiap masa. Sejak Imam Malik (r.a), sehinggalah kepada zaman Imam al-Qusyairi, zaman Hujwiri dan zaman al-Ghazali sehinggalah zaman terakhir para ulama rabbani dan immahnya telah memperingatkan umat sezamannya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dari terjebak ke dalam perangkap kesesatan dan penyelewengan yang berselindung di sebalik nama tasawuf. Bahkan mereka telah menegaskan bahawa yang mendorongkan mereka menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penting dalam tasawuf ialah untuk menjelaskan konsep tasawuf yang sebenar serta perjalanan para tokohnya yang menjadi ikutan di samping mengingatkan bahaya kesesatan dan penyelewengan yang mempergunakan nama tasawuf.

Antara penyelewengan dalam tasawuf ialah sikap sesetengah guru suka menceritakan kelebihan diri dan cerita-cerita pelik kepada murid-muridnya. Apakah matlamatnya? Tidakkah ia berunsur riya' yang halus? Menyatakan firasat untuk membantu menguatkan agama tidak mengapa. Tetapi terlalu bermain dengan firasat, hal-hal kerohanian yang tiada apa faedah pada agama dan hanya untuk menyatakan kehebatan, apakah tujuannya? Lebih-lebih lagi ahli sufi terkenal sebagai orang yang amat halus dan tajam pandangannya terhadap tipudaya nafsu. Apakah faedahnya kepada pendidikan murid melainkan ia membawa kepada khayalan dan kebodohan.

Umat Islam sebenarnya perlu memahami cerita-cerita luarbiasa atau karamah yang berlaku pada para Auliya' bukannya satu mukjizat yang boleh memberi kekuatan kepada Islam. Kita tidak menafikan kebenaran karamah-karamah yang berlaku
pada para Auliya' dan ia adalah perkara yang dibenarkan dalam akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Namun apa yang menjadi kesalahan ialah apabila menjadikan umat Islam bergantung dan memuja cerita-cerita tersebut sebagai satu kepercayaan yang menyebabkan mereka menunggu-nunggu kehebatan para Auliya' ini untuk membantu mereka. Padahal ia sebenarnya hendak menutup kelemahan dan kekecewaan.

Islam bukannya sebagai satu mukjizat yang diberi kemenangan oleh ALLAH dengan kun fayakun. Islam didirikan oleh kehebatan perjuangan berasaskan keimanan dan pengorbanan yang hebat. ALLAH SWT mahu mereka yang diberi kemenangan dari kalangan yang melalui ketetapan ALLAH iaitu melalui potensi manusia. Dari perjuangan inilah ALLAH melihat siapakah mereka yang benar-benar tahan diuji, siapakah yang benar-benar beriman? Mereka yang tahan diuji inilah yang akan memiliki jiwa yang sabar, yakin, tawakal, berani, bijak, benar dalam kecintaan kepada ALLAH dan Rasul dan sebagainya yang melayakkan diri mereka untuk diberi kemenangan

Bab 4 (iv) .:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.


Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan ALLAH dalam dakwahnya. Manakala kedua sahabatnya keluar meninjau dan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Suatu hari tersebarlah berita bahawa Maharaja Antira iaitu pemerintah Patani mengalami penyakit yang berat. Maka sesiapa yang dapat merawatnya akan diberi upah yang besar. Sebelum ini telah ramai bomoh yang mengubati beliau, namun tidak juga sembuh-sembuh. Apabila pegawai raja sampai ke tempat syeikh-syeikh ini, salah seorang daripada mereka menyapa dan memberitahu bahawa terdapat seorang dukun yang sangat sakti yang mampu menyembuhkan maharaja itu. Dukun yang dimaksudkan itu sebenanya ialah Syeikh Shafiyuddin sendiri.

Keesokan harinya, ketiga-tiga orang Syeikh itu dijemput ke istana untuk mengubati raja. Sebelum upacara pengubatan dilakukan, terjadi perjanjian di mana jika raja sembuh hasil pengubatan Syeikh Shafiyuddin, maka raja mestilah menukar agama dari Buddha kepada Islam. Syarat itu dipersetujui raja. Kemudian, Syeikh mula membacakan doa-doa dan ayat-ayat al-Qur'an.

Dengan izin ALLAH, tiga hari selepas itu raja pun sembuh dari penyakitnya. Tapi raja engkar dengan janjinya untuk memeluk Islam. Dengan karamah Syeikh Shafiyuddin, penyakit raja berulang semula. Maka diubati lagi seperti janji yang pertama, dan sembuh kembali. Raja mungkir lagi, tiba-tiba penyakitnya datang kembali. Diubati lagi dan sembuh semula. Akhirnya raja Buddha itu pun memeluk Islam dan diikuti ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga wali ALLAH tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhammad Salleh al-Zawawi, Arsyad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah temasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata:

"Sesungguhnya mereka (ahli Tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India."

Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dengan katanya:

"Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri
majlis (ta'limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 oang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai'ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali ALLAH sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keislaman mereka itu."

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali ALLAH dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLlahu 'anhum)

Wallahu a'lam.