Sabtu, Mei 25

Kenali Cinta Ilahi

Tak kenal maka tak cinta. Tapi, bagaimana pula dengan yang tidak kenal cinta? Tiada siapa pada hakikatnya, kenal cinta melainkan Allah s.w.t.. Tiada siapa pada hakikatnya yang bercinta melainkan Allah s.w.t..
Namun, kita yang tidak faham hakikat cinta, pura-pura mencintai. Lebih teruk lagi, kita pura-pura cinta selain dari Allah s.w.t. dan melupakan Allah s.w.t.

Cinta kita tiada nilai. Cinta kita kosong dari cinta. Oleh itu, kita kata, cinta itu buta. Apa yang buta? Kita sendiri buta. Cinta buta kerana kita buta, dalam memahami makna cinta, kerana hala tuju cinta kita bukan kepada SI Pencinta hakiki (Allah s.w.t.).
Mengakulah, kita tidak mampu cinta lebih dari Allah s.w.t. mencintai kita. Kita, kalau cinta sesama manusia sekalipun, kalau kekasih "buat hal", banyak kali "pulak tu", mana tahan. "Last-last", minta putus cinta.
Tapi Allah s.w.t. tidak begitu. Berapa ramai manusia yang tidak balas cinta Allah s.w.t., tapi makan pun Allah s.w.t. masih beri, kesenangan pun Allah s.w.t. masih kurniakan.
Cinta kita:
...Kerana kita memerlukan siapa yang dicintai, untuk lempias nafsu kita.
Cinta kita:
...bermusim
Cinta kita:
...sentiasa meminta dari memberi.
Cinta kita:
...tidak kekal abadi.
Cinta kita:
...tidak sanggup untuk selalu mendengar keluhan dan masalah kekasih kita.
Tetapi...
Cinta Ilahi:
...tanpa berhajat kepada kita, bahkan kitalah berhajat kepada-Nya.
Cinta Ilahi:
...tidak bermusim, bahkan Dialah yang mencintai manusia, dan mencipta cinta dalam diri manusia
Cinta Ilahi:
...sentiasa memberi tanpa meminta, bahkan menyuruh kita untuk meminta dari-Nya
Cinta Ilahi:
...sentiasa sudi mendengar keluhan dan rintihan kita, bahkan sentiasa pula bersama-sama kita dan membantu menyelesaikan masalah kita.
Nah, mana cinta kita jika dibandingkan dengan cinta Ilahi s.w.t.?
Memang tidak terbanding. Tapi, yang peliknya kita sendiri.
Dahlah Allah s.w.t. ciptakan kita...
Dahlah Allah s.w.t. cintakan kita...
Dahlah Allah s.w.t. ciptakan cinta dalam diri kita untuk mencintai-Nya...
Dahlah Allah s.w.t. sentiasa memberi tanpa meminta dari kita...
Dahlah Allah s.w.t. sentiasa mendengar rintihan kita...
Dahlah Allah s.w.t. sentiasa memberi peluang untuk kita membaiki kesilapan kita...
Dahlah Allah s.w.t. Maha Mengampuni kita takkala kita selalu menderhakai-Nya...
Dahlah Allah s.w.t. terus memberi nikmat, walaupun kita selalu buat maksiat terhadap-Nya...
Dahlah Allah s.w.t. sentiasa menyembunyikan keaiban kita dari manusia...
Dahlah Allah s.w.t. menjanjikan syurga untuk ketaatan kita...
Dahlah Allah s.w.t. menjanjikan neraka untuk kederhakaan kita...
Pun begitu...
Kita sering leka, dan terus leka, dari mencintai-Nya, dengan mencintai selain-Nya. Siapa yang tidak memahami cinta, kalau bukan kita. Dahlah tidak faham cinta, namun tidak pula ingin menghargai cinta. Sekurang-kurangnya, kita yang tidak mampu membalas cinta Ilahi s.w.t. kepada kita, dengan cinta kita kepada-Nya sekalipun, cukuplah kita berusaha mencintai-Nya sebagai tanda kita menghargai cinta-Nya kepada kita.
Walaupun tidak mampu balas, apa salahnya kita menghargai cinta-Nya dengan mencintai-Nya sepenuh hati...
Dunia, nafsu, syaitan dan makhluk...tidak menjanjikan cinta, tetapi mengorbankan kita atas dasar cinta...
Sedangkan Allah s.w.t. menjanjikan cinta demi cinta, dari cinta kita, atas dasar cinta, kerana Dia ialah Tuhan CINTA yang sentiasa CINTA, maka fahamilah.
Kalau tidak pandai bercinta, belajarlah cinta dari cinta. Sentiasalah berdoa: "Ya Allah, ajarkanlah aku cinta, supaya aku dapat mencintai-Mu dan jadikanlah cinta hatiku hanya-Mu".
Kemudian, lawan nafsu, dunia dan sebagainya. Berusahalah untuk berubah diri, dengan kembali kepada Allah s.w.t. dan menjadi hamba yang soleh...Wallahu a'lam...

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah





Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang IndahPerkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”Allah…Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kitayang kamu sangka sekadar berdua”.Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..Wallahu a’lam…Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-LathifRaja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy

Peranan Para Ulama’ Sufi dalam Perkembangan Ilmu Pengetahuan






Para ulama’ sufi tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Antara perkembangan utama dalam bidang ilmu pengetahuan adalah perkembangan bidang falsafah termasuklah falsafah ilmu itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, di awal perkembangan bidang falsafah Islam, ianya banyak dicemari oleh pengaruh pemikiran Yunani dan sebagainya yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ini kerana, bidang falsafah dikembangkan oleh beberapa tokoh Islam yang sangat berpegang dengan penggunaan akal secara berlebihan tanpa suluhan kerohanian yang murni.

Maka, muncul seorang tokoh besar sufi yang terkenal iaitulah Hujatul Islam Imam Al-Ghazali r.a., yang bukan setakat mencetuskan perubahan dalam bidang ilmu tasawwuf, tetapi beliau juga mencetuskan sebuah pemurnian bidang falsafah Islam terutamanya menerusi dua karya beliau yang berjudul Maqasid Al-Falasifah dan Tahafut Al-Falasifah.

Begitu juga, setelah itu, ilmu falsafah Islam dikembangkan oleh ramai tokoh sufi besar trutamanya setelah perkembangan ilmu hikmah yang merupakan suatu bentuk ilmu falsafah Islam yang murni berteraskan perpaduan antara kebersihan hati yang mendapat ilham daripada Allah s.w.t. atau ilmu ladunni (self-knowledge) dan kecerdasan akal dengan penguasaan ilmu mantik.

Ilmu Hikmah (perkembangan bagi ilmu mantik dan falsafah Islam) berkembang terutamanya melalui kitab Hikmah Al-Isyraq karangan Imam Suhrawardi r.a. (549-587 H). Kitab ini membahaskan tentang proses mencapai hikmah di sisi para Hukama’. Sebahagian pengkaji mengandaikan bahawasanya, hikmah Al-Isyraq merupakan pengaruh kepada pemikiran yang terkandung dalam kitab Misykat Al-Anwar karangan Imam Al-Ghazali r.a..

Bahkan, perbahasan hikmah dalam bab ketuhanan dan kewujudan turut mempengaruhi sesetengah tokoh sufi terkemudian seperti Sheikhul Akbar Ibn Arabi r.a. (560-638 H) lalu dikembangkan oleh Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari (658-709 H) melalui kitab Hatk Al-Astar, Imam Abdul Karim Al-Jili r.a. (767-832 H), Imam Abdul Wahab As-Sya’rani As-Syafi’e Al-Misri r.a. (898-973 H) menerusi kitab beliau Al-Kibrit Al-Ahmar dan Imam Abdul Ghani An-Nabulsi r.a. (1050-1143 H). Mereka inilah yang memurnikan falsafah Islam dengan panduan ilmu tasawwuf murni. Ilmu mereka berbeza dengan tasawwuf falsafi yang dikenali oleh sesetengah ahli ilmu kerana ahli ilmu yang menganggap atau menilai tasawwuf falsafi adalah golongan yang tidak memahami ilmu yang para ulama’ sufi tersebut kembangkan kerana sekadar berinteraksi dengan zahir perkataan-perkataan mereka, tanpa berkongsi rasa yang menyebabkan mereka berkata dengan perkataan-perkataan sedemikian. Bukan semua perkataan itu terbatas kefahamannya dari sudut zahir.

Bidang hikmah juga dikembangkan oleh beberapa tokoh sufi lain seperti Imam Najmuddin Al-Qazwini (w: 675 H) melalui kitab beliau berjudul ‘Ain Al-Qawa’id fi Al-Mantiq wa Al-Hikmah,Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya. Lalu, ianya diteruskan oleh Imam As-Syarif Al-Jurjani menerusi kitab beliau Syuruh ‘ala Syarh Al-Bukhari ‘ala Hikmah Al-‘Ain, Hasyiyyah ‘ala Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya.
Dalam bidang astronomi pula, antara tokoh-tokoh sufi yang mengembangkan ilmu tersebut adalah seperti Imam Al-Ghazali r.a., Sheikh Abdul Rahman As-Sufi (w: 376 H) dan Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a.

Dalam bidang ilmu agama juga, para ulama’ sufi banyak memainkan peranan yang penting. Institusi pendidikan utama dalam negara-negara Islam banyak melibatkan para ulama’ sufi seperti Al-Azhar As-Syarif di Mesir, pengajian di Haramain sebelum zaman pengaruh wahabi, Maghribi, pengajian di pondok-pondok dan madrasah di Nusantara dan sebagainya.

Kesimpulannya, bidang ilmu yang menjadi kunci kepada penguasaan terhadap ilmu pengetahuan dikembangkan oleh sebahagian ulama’ sufi iaitulah bidang hikmah (kebijaksanaan). Bahkan, sebahagian para ulama’ sufi menggabungkan penggunaan akal dengan penghayatan perasaan rohani lalu mengetengahkan perbahasan-perbahasan berbentuk kebijaksanaan.

Maka, tradisi berfikir dalam amalan sufi juga banyak dikaitkan dengan hikmah kerana mempunyai gabungan antara kecerdasan akal dan kejernihan hati yang disuluhi ilham dari Ilahi. Maka, kita banyak mendengar dalam kitab-kitab golongan sufi, ada yang dikenali sebagai pelajaran Hikamsebagaimana Hikam Abu Madyan, Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari, Hikam Al-Kurdi dan sebagainya.

Para ulama’ sufi generasi setelah itu berperanan besar dalam mengembangkan bidang hikmah dan mempimpin bidang falsafah dan pemikiran Islam terutamanya dalam menghadapi pelbagai serangan pemikiran masa kini seperti fahaman Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme dan sebagainya.

Jenis-jenis Perjalanan Menuju Allah s.w.t.



Perjalan Menuju Allah
Imam Al-Hakim At-Tirmizi berkata dalam kitabnya Adab Al-Muridin[1]:Maka ahli Iradah itu ada dua jenis:Ada sebahagian mereka yang melalui perjalan menuju pahala Allah s.w.t. maka dengan tujuan tersebut dia beribadah kepada Allah s.w.t.. Lalu, dia mengerjakan kefardhuan-kefardhuan, menjauhi perkara-perkara haram kemudian melakukan ketaatan yang sunat setakat yang mampu, dengan harapan dia selamat daripada api neraka dan sampai kepada pahala sebagaimana Allah s.w.t. janjikan kepadanya daripada amalan-amalannya.Sebahagian daripada mereka melalui suatu jalan menuju Allah s.w.t. untuk menyembah-Nya, maka dia melakukan kefardhuan, menjauhi haram, dan sebagainya. Kemudian, dia kembali melihat batinnya lalu mendapati dalam dadanya ada pelbagai penyakit hati seperti cinta dunia, cinta ketinggian kedudukan, takabbur, tamak tenggelam dalam syahwat, tewas dengan nafsu, hasad, cintakan pujian dan sebagainya yang mana ianya membutakan hati.Maka, hati sebegini tidak ada jalan bagi menuju Allah s.w.t. dengan kekotoran sebegini kerana pada cinta dunia itu sendiri sudah menyalahi Allah s.w.t. kerana mencintai apa yang Allah s.w.t. rendahkan. Begitu juga dalam mencintai ketinggian kedudukan bererti telah melawan Allah s.w.t.. Dalam tenggalam dalam nafsu juga ada fitnah yang besar. Pada cengkaman hawa nafsu juga ada kepincangan dan membelakangkan hak-hak Allah s.w.t.. Orang yang ditawan nafsunya bererti sedang melakukan ketaatan dengan kepincangan dan meninggalkan maksiat juga dengan hambatan. Begitulah ramai manusia menyembah Allah s.w.t. dengan hawa.Maka, hamba ini perlu kepada kejujuran dalam setiap urusan, amalan dan waktunya lalu sibuk dia dengan memperbaiki dirinya.Sesiapa yang mahukan pahala, memadailah dia sekadar melakukan mujahadah dalam amalan dan ikhlas dalam amalannya.Sesiapa yang inginkan Allah s.w.t., maka dia akan melalui perjalanan dengan penuh kesungguhan di mana dia sentiasa berusaha untuk mencari kejujuran dalam batinnya sehinggalah terbuka pintu Allah s.w.t. untuknya, Jika pintu sudah terbuka, lalu Allah s.w.t. memberi kurnia-Nya kepadanya, maka itulah bekalan perjalanannya untuk menguatkan perjalanan lalu dia terus berjalan dengannya. Setiap kali dia terus berjalan, maka ditambahkan lagi segala pemberian sehinggalah dia terus mara ke hadapan. Dia sentiasa dalam keadaan begitu sehinggalah dia sampai kepada Allah s.w.t. dengan hatinya lalu disusun baginya kehampiran tersebut mengikut kadar upayanya. Maka, dialah wali Allah s.w.t. yang berdiri dengan hatinya di hadapan Tuhannya sebagaimana yang telah disusunkan baginya (peringkat tersebut). Sebahagian peringkat hati tersebut adalah, dengan amalan tersebut yang disertai hati yang kuat membawa kepada rasa cukup hanya dengan Allah s.w.t., jiwa yang sudah bersih daripada kepincangan dan kekotoran, dirinya yang sudah berpisah daripada hasutan hawa nafsu yang buruk dan tidak lagi mencintai ketinggian kedudukan dan kekotoran hati.”

[1]Adab Al-Muridin oleh Al-Hakim At-Tirmizi m/s: 33-34, Maktabah Al-Hakim At-Tirmizi, Mesir

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga


Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga




Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيمفهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيمMaksudnya:Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga FirdausBahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.
Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.
Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah s.w.t., pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah s.w.t..
Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.
Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:
لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب
Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar r.a., maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar r.a. berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.” Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.
Tidak mungkin Saidina Abu Bakar r.a. mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.
Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam selepas Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar r.a.. Beliau ialah Saidina Umar r.a.. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallamsebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar r.a..
Pun begitu, apa kata Saidina Umar r.a. tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam? Beliau berkata:
لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .
Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk neraka tersebut).” [Ibid]
Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar r.a.. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat r.a. terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.
Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman r.a. di hadapan Allah s.w.t. terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.
Saidina Uthman r.a. pernah berkata:
لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير
Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman r.a.]
Ini adalah Saidina Uthman r.a., sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallamkepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah s.w.t., yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah s.w.t..
Para sahabat r.a. yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah s.w.t., bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah s.w.t. dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. berbanding syurga dan neraka itu sendiri.
Kita lihat, bagaimana Saidina Ali r.a. sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat r.a. yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah s.w.t. berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:
ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل
Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah s.w.t..” [Hilyah Al-Auliya’]
Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat r.a. tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah s.w.t. lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.
Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah s.w.t. berbanding selain Allah s.w.t., kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat r.a.. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.
Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulullahshollallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal r.a. yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz r.a. ketika tahajjud adalah:
اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف
Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal r.a.]
Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah s.w.t. terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut
يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت
Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.” [Hilyah Al-Auliya’]
Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah s.w.t.. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah s.w.t. dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah s.w.t. tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t., maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.
Wallahu a’lam..