Isnin, April 18

Risalatul Murid Habib Abdullah al Haddad (1 - 4)


Masalah Thariqat
Dorongan Batin Untuk Menuju Ke Jalan Allah
Ketahuilah bahwa jalan permulaan yang ditempuh ialah munculnya semacam dorongan yang kuat didalam hati yang mengerakkan, menarik dan mengajak untuk kita menuju ke jalan Allah Taala dan menuju ke jalan akhirat serta membelakangkan dunia dan membelakangkan segala yang menjadi kebiasaan kita pada mengejar dunia; seperti mengumpul harta dan kekayaan, bersenang lenang mengikuti kehendak syahwat dan hawa nafsu juga bermegah megah dengan keindahan dan kemewahan termasuk keluarga, kaum kerabat, sahabat handai yang dicintai dan lain lain lagi.
Dorongan ini merupakan “Rahsia Ketuhanan” yang diberikan ke dalam batin hambaNya samada dengan cara menakutkan atau mengembirakan ataupun dengan cara menimbulkan
perasaan rindu kepada ZatNya ataupun juga melalui pertemuan dengan para wali Allah atau ketika mendapat pandangan daripada mereka. Kadang kadang dorongan itu terjadi tanpa ada sesuatu sebab yang tertentu. Bercita cita untuk mendapatkan “dorongan” serupa itu sangat sangat disuruh dan digalakkan. Tetapi bercita cita atau berharap saja untuk meningkat tanpa berusaha dan menetap dipintuNya adalah suatu keputusan yang bodoh. Betapa tidak, bukankah Rasulullah saw pernah bersabda;
“Sesungguhnya Tuhan telah menyediakan berbagai limpahan (kurnia) pada setiap MASA, maka hendaklah kamu mencarinya”
Sesiapa yang telah diberikan penghargaan oleh Allah Taala dengan dapatnya “dorongan” mulia
ini maka hendaklah dia meletakkan dirinya pada tempat yang sesuai. Hendaklah kita
mengetahui bahwa pemberian Allah Taala ini adalah NIKMAT TERTINGGI antara nikmat
nikmatNya yang lain yang tidak dapat ditentukan darjatnya dan tidak dapat diNILAI
kesyukuran atasnya.
Keterangan:
“Masyallah, sedarlah wahai sekelian saudaraku, Ini adalah “Penghargaan dan
Penghormatan” yang datang langsung daripada Allah swt. Maka hendaklah kita mengetahui
akan pemberian Allah Taala ini adalah Nikmat Tertinggi antara nikmat nikmatNya yang lain
dan janganlah kita rosakkan dan cacatkan “Penghargaan, Penghormatan dan Nikmat
Tertinggi” dengan mengabaikannya atau melalaikan”.
“Meletakkan diri kita pada tempat sesuai bermaksud; “Dorongan Kemauan_Rahsia
Ketuhanan” ini seperti Permata yang sangat sangat berharga dimana kita tidak dibenarkan
meletaknya dilumpur atau berdekatan dengan lumpur. Fahamilah maksud ini”.
Maka wajarlah kita membanyakkan kesyukuran terhahap Allah Taala atas nikmat besar yangtelah diberikan kepada kita yang sudah dipilih dan mungkin akan diutamakanNya
(sekiranya kita mengikuti akan peraturan yang telah digariskan oleh Habib Abdullah
bin Alwi AlHaddad), kita antara orang orang yang setaraf dan rakan-rakan seperjuangan
untuk diberikannya nikmat itu.
Betapa banyaknya orang Islam yang telah mencapai usia 80 tahun atau lebih tetapi masih
belum lagi diberikan “dorongan” serupa itu dan hati mereka tidak pernah sekalipun diketuk
oleh “Rahsia Ketuhanan” ini.

Keterangan:
“Alhamdulillah, kami panjatkan syukur kepadaMu Ya Allaaah yang telah memberi dan
meletakkan “dorongan Kemauan_Rahsia Ketuhanan” ke dalam hati hambaMu yang kotor ini,
yang penuh dengan dosa dan noda, buta mata zahir dan buta mata batin kami yang selama ini
sudah banyak kami remehkan perintah dan laranganMu, mengabaikan dan melalaikan segala
nikmat yang Engkau sentiasa berikan dengan tidak mensyukuriMu dengan sewajarnya.
Astagfirullah . . . Alhamdulillah”
“Ya Allaaah, kami adalah hambaMu yang tidak ada Daya dan Upaya untuk menjaga
pemberianMu yang tak ternilai ini. Kami mohon kepadaMu, Berilah kami Perlindungan,
Bantuan, Pertolongan dan kekuatan supaya dapat menjaga dan membawa “Dorongan
Kemauan_Rahsia KetuhananMu” ini sebaik baik mungkin. Hanya dengan kehendak dan
izinMu jua yang kami harapkan yang akan berlaku dan pasti berlaku. Kami mohon kepadaMu
dengan keberkahan Nabi dan RasulMu, Muhammad saw, dengan keberkahan Ahli BaitNya
dan ZuriatiNya, dengan keberkahan Para Habaib yang kami Cintai, dengan keberkahan Guru
kami dan Guru Guru mereka. Amin, Amin, Amin, Ya Rabbal Alamin.
Bagaimana Cara Memelihara “Dorongan Kemauan_Rahsia
Ketuhanan”
Setiap murid harus rajin berusaha untuk memperkukuh (menguatkan), memelihara dan
mengikuti ajakan dorongan kebatinan ini seperti berikut:
1. Memperkukuhkannya: Dengan memperbanyakkan Mengingati Allah Taala,
Merenung dan Meneliti segala Kekuasaan Allah Taala dan senantiasa berdampingan
dengan Para Wali Allah, Ulama Ulama, Para Guru Guru.
2. Memeliharanya: Menjauhkan diri dari bercampur gaul dengan orang orang yang
terlindung dari pandangan Allah Taala dan juga dengan meletakkan belakang segala
was was dan tipu daya syaitan.
3. Mengikuti: Berlumba lumba kembali / menuju ke jalan Allah, berlaku benar dalam
menghadapi segala PerintahNya, tidak bermalas malas, tidak menangguh-nanggguhkan
dan tidak melambat-lambatkannya. Apabila sampai saja masanya hendaklah
menunaikannya dan apabila merasa seruan bakti hendaklah tidak tunggu tunggu lagi.
Berhati hati dari ucapan besok atau lusa sebab yang demikian adalah dari hasutan
syaitan. Hendaklah terus mengerjakan segala amal baik dengan segera dengan tidak
menunggu-nunggu ataupun mencari keuzuran (mencari alasan alasan) kerana tidak ada
masa lapang, penat, kurang sihat ataupun belum sampai masa untuk beramal dan
sebagainya.
Berkata Abur-Rabi’ rhm: Tunjukkanlah dirimu ke jalan Allah kepada Allah dalam keadaan
tempang dan cacat anggota dan jangan menunggu waktu sihat saja kerana menunggu waktu
sihat adalah kerugian.
Keterangan:
“Maksud; Tunjukkan pada Allah Taala walaupun jasad kita penat, letih dan mempunyai
halangan halangan lain yang datang, kita tetap hadir pada hari yang telah kita khususkan
buat ‘Dia’ dimana kita dapat menimba ilmu untuk membersihkan dan mendekatkan diri
kepadaNya. Kita tetap menjalankan segala perintahnya dan menjaga larangannya.
Menjalankan wirid wirid harian dan lain lain”.
Keterangan:
“Jangan menunggu waktu sihat bermaksud; orang yang sihat tidak ada ujian dan cubaan dan
dengan mudah dapat hadir tanpa memberikan alasan, melaksanakan amal bakti tetapi orang yang penat selepas kerja, letih, yang sakit dan ada saja halangan-halangan supaya dia tidak dapat hadir, melaksanakan amal bakti itu adalah ujian dan cubaan berat baginya. Sekiranya dia dapat mengatasi masalah ini maka Allah Taala akan “SENYUM” keatas dirinya kerana dia mempunyai Haqul Yakin bahwa kehadirannya akan membuat Allah Taala, senyum, Rasulullah saw, senyum, Para Malaikat yang ditugaskan menjaga majlis bakti, senyum, Para penduduk bumi, senyum, Para penduduk langit senyum. Masyallah, Subhanallah, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar”.
Berkata Ibu Atha’ didalam kitabnya Al-Hikam: Melambat lambatkan suatu pekerjaan sehingga
ada peluang menunjukkan kebodohan jiwanya.
Keterangan:
“Maksud; Mencari alasan demi alasan supaya tidak perlu hadir untuk melaksanakan amal
bakti dan menunda-nundakan peluang (untuk mencari alasan alasan) untuk diberi
menunjukkan dia lebih senang mendengar nasihat syaitan daripada seruan Allah Taala dan
RasulNya”.
Taubat

Langkah pertama yang harus dilalui oleh setiap murid dalam menuju kepada Allah Taala ialah dengan bertaubat kepada Allah Taala dengan sebenar benarnya taubat daripada segala dosa. Jika ada sesuatu hak orang lain dalam simpannya yang telah dizaliminya pada masa lalu, maka haruslah dikembalikan pada pemilik hak jika barangnya masih ada. Jika barangnya sudah tidak
ada haruslah diganti dengan lain ataupun dipohon dari pemiliknya untuk dihalalkan.
Sebab orang (murid) yang masih bergantung zimmatnya (menanggung hak orang) dengan hak
orang lain tidak berkemungkinan dapat menuju ke jalan Allah Taala.
“Habib Abdullah AlHaddad menjelaskan bahwa bertaubat harus dilakukan pada semua murid
murid yang ada keinginan untuk menuju kepada Allah swt dengan taubat yang benar,
mengandungi maksud “dengan penuh keinsafan dan ikhlas atas taubatnya itu”.
Keterangan:
“Sekiranya ada didalam simpanannya atau sudah dihilangkan atau sudah dijualnya tanpa
pengetahuan pemiliknya hendaklah di kembalikan sekiranya masih ada. Sekiranya sudah tidak ada harus diganti. Sekiranya tidak berkemampuan hendaklah memohon maaf pada pemiliknya supaya menghalalkannya sekiranya pemilik itu setuju. Kalau tidak, maka mahu atau tidak harus digantikan, tidak ada jalan lain.
Terjebaknya seseorang melakukan demikian adalah seperti berikut:
1. Suka menjadi Pak Sanggup: Pada permulaannya ada niat yang bersih untuk menolong pada
pemilik samada untuk di simpan atau untuk diperbaiki barang kepunyaan pemilik itu.
2. Niat bersih bertukar: Pada suatu masa datanglah niat si pak sanggup itu bertukar kerana
desakkan kehidupan yang sempit sehingga sanggup menjual atau mengadai barang kepunyaan
pemilik itu tanpa pengetahuan pemilik sebenar. Kerana didalam kiraannya, dia sanggup
mengantikan atau menebus balik barangan itu semula pada masa tertentu.
3. Hati yang kotor: Bila sudah tidak dapat mengembalikan barang kepunyaan pemilik, hatinya
bertukar menjadi kotor hingga sanggup buat tak tahu yang dia ada menerima sesuatu
barangan yang bukan kepunyaannya yang harus dikembalikan walaupun berdepan dengan
pemilik yang sebenar tanpa segan silu dan perasaan takut.
4. Tiada ketakutan dalam hatinya:
Pertama, Allah Maha Mengetahui akan sikap si pak
sanggup itu yang tidak akan dapat mengembalikan barangan kepunyaan pemilik sebenar
tetapi Tuhan mengizinkan juga kerana ada kemungkinan datang pada pak sanggup itu sifat
tahu memilih untuk menjadi seorang yang amanah didalam perjanjiannya.
Kedua, oleh kerana cetek ilmu pengetahuan agama maka si pak sanggup itu tidak dapat menilai mana yang baik,
mana yang buruk dimana ada tertanam didalam hatinya bahwa bila ada rezki akan
dikembalikannya.
Ketiga, si pak sanggup lupa dan tidak tahu bahwa dia tidak mempunyaikeupayaan dan kuasa untuk mengembalikan barangan itu hanya bersandar kepada rezki yangakan datang tanpa berusaha untuk membuat sesuatu tapi hanya duduk dan mengharap aje.
Keempat, maka Tuhan menghinanya kerana tidak mahu berusaha untuk mengembalikan
barang kepunyaan pemilik kerana hatinya tidak ada perasaan takut kepada pemilik baranganitu. Bila sudah ada sifat tidak takut pada pemilik walaupun berdepan dengan pemilik, itumenunjukkan bahwa hakikatnya si pak sanggup tidak takutkan Tuhannya, itupun kalau dia ada Tuhan”.
“Habib Abdullah juga menyebut tentang perjalanan murid menuju kepada Tuhan tidak
berkemungkinan sampai kepada Tuhan selagi ada menanggung hak orang lain. Terpulanglah
kepada Tuhan untuk menghakimi hambanya samada dibenarkannya untuk meneruskan
perjalan hambanya atau tidak. Ini tergantung pada sihamba samada ketidak sanggupan yang
sebenar yang di alami dirinya, keikhlasan hati, bertaubat sebenarnya, mempunyai perasaanmalu dan takut pada pemilik barang, berjanji dengan Tuhan tidak akan mengulangi sikapnya untuk menjadi pak sanggup pada masa akan datang dan menjaga hatinya supaya dibersihkan semula”.
Syarat taubat yang sah ialah menyesali diri atas segala dosa yang lalu dengan sebenar benar penyesalan serta berazam kuat tidak akan buat lagi dosa selama masih hidup termasuk jangan berdetik (cita cita) untuk melakukan dosa kerana perbuatan itu akan merosakkan taubatnya
yang sebenar dan tidak diterima oleh Allah Taala.
Keterangan:
“Kita harus memahami apa itu Taubat dan apa kesan sampingannya. Bagaimana cara untuk
bertaubat yang berkesan pada hati?Apabila taubat itu berkesan maka akan datang
pertolongan dari Tuhan untuk membantu dan mengingatkan kita dari melakukan perbuatan
mungkar pada masa yang mendatang.
Taubat yang sebenarnya adalah suatu perbuatan yang datang dari hati untuk mengucapkan
PENGAKUAN pada Tuhan beserta dengan PENYESALAN atas perbuatan perbuatan yang
lalu. Apa itu PENGAKUAN, iaitu bersumpah kepada Allah Taala. PENYESALAN adalah
PERASAAN KEINSAFAN yang datang dari lubuk hati seorang hamba beserta RASA IKHLAS.

Bagaimana RASA IKHLAS datang? MENYEDARI dirinya tidak ada kuasa dan kemampuan
untuk membuat sesuatu walau sebesar zarrah sekalipun. MENYEDARI dirinya dimiliki Tuhanyang menjadikannya. MENYEDARI dirinya dihidupkan dan akan dimatikan oleh Tuhannya.
MENYEDARI perbuatan dirinya akan dihadapkan pada Tuhan untuk ditimbangkan segala
amalan-amalannya kelak. Dari mana datangnya MENYEDARI? Itu adalah perbuatan Allah
Taala pada hambanya yang hendak diselamatkan dari Api Neraka”.
“Sekiranya kita faham akan keterangan diatas itu ada mengandungi beberapa perkara yang
mudah dan juga berat supaya jangan mempermainkan seperti berikut:
1. PENGAKUAN adalah BERSUMPAH PADA ALLAH TAALA.
2. PENYESALAN adalah PERASAAN KEINSAFAN.
3. RASA IKHLAS adalah MENYEDARI.
Bila ketiga perkara ini dapat difahami dan dilakukan barulah Taubat itu Insyallah berkesan
pada diri kita”.
Setiap murid harus mengakui dirinya bersifat cuai dan lalai dalam menunaikan hak hak Tuhanyang wajib atas dirinya. Apabila rasa kesalan atas kecuaian dan kelalaian, maka hati akan berpatah hati dan menyesal mengenangkan diri yang malang. Maka ketahuilah ketika itu Allah akan bersama sesuai dengan firmanNya dalam sebuah Hadis Qudsi;
“Aku sentiasa berada bersama sama orang yang berpatah hatinya kerana AKU”
Keterangan:
“Sila rujuk keterangan diatas; untuk mengakui akan sifat yang sering cuai, lalai dan malas atas perintah Tuhan yang diwajibkan pada diri, hendaklah dilakukan dengan adab dan
melaksanankan panduan tersebut sebaik-baiknya. Dengan berwudhu dan selesai shalat
berdoalah kepada Tuhan dan mengakulah didepan pintuNya dan mohonlah bantuan dariNya”.
Memelihara Diri Dari Dosa

Setiap murid harus menjauhkan diri dari melakukan dosa dosa kecil apatah lagi dosa besar seperti menjauhi dari mengambil minuman yang beracun. Hendaklah takut untuk melakukan dosa lebih pada takut dan gentar jika terminum dan termakan racun yang mematikan. Sebab dosa dan maksiat akan mematikan hati seperti racun membinasakan badan.
Keterangan:
“Mengapakah kita boleh dan sanggup melakukan dosa kecil atau dosa besar? Tetapi akan
TAKUT bila seseorang memberitahu bahwa makanan ataupun minuman mengandungi racun
dan serta merta maka akan menjauhi dari mengambil makanan ataupun minuman itu.
Mengapa perkara ini tidak berlaku pada diri kita semasa melakukan dosa kecil ataupun dosa besar? Adakah kerana tidak ada khabar akan perbuatan dosa kecil dan besar akan
membinasakan badan dan mendapat siksaan dari Allah Taala? Alasan apa yang hendak
diberikan sedangkan, keterangan dari AlQuran sudah dijelaskan. Nabi dan RasulNya sudah mengingatkan. Para Ulama sudah maklumkan dan Para Guru sudah mengkhabarkannya.
Yang menjadi masalah pada diri adalah kerana tidak mempunyai perasaan TAKUT PADA
ALLAH. Kenapa tidak ada PERASAAN TAKUT PADA ALLAH seperti MENJAUHI
MAKANAN ATAU MINUMAN YANG BERACUN? Ini disebabkan oleh tiada Iman (tidak ada
kepercayaan kepada hukum Allah Taala). Kerana apa tidak ada kepercayaan? Tidak
MENGENAL TUHANNYA? Kenapa tidak mengenali Tuhannya. Kerana tidak ada ILMU.
Kenapa tidak ada ILMU? Tidak mahu belajar. Kenapa tidak mahu belajar? Saya tak dapat
jawab . . . Sebab Iblis pun TAKUT pada ALLAH. Kalau manusia tidak TAKUT PADA ALLAH
nak letak manusia KAT MANA ? ? ?”

Adapun hati bila sudah binasa maka akan binasalah bersamanya diakhirat yang menyebabkan seseorang tidak akan terselamat dari kemurkaan Allah dan siksaanya. Hanya orang yang
hatinya suci bersih saja yang dapat menuju kepada Allah untuk mendapat keredhaan dan
balasan pahalaNya.
Keterangan:
“Habib Abdullah menjelaskan, bila hati sudah binasa akan bersamanya diakhirat daripada terselamat dari kemurkaan Allah dan siksaanya. Manusia bila hatinya sudah binasa dapat dilihat dari percakapan dan perbuatan semasa hidupnya didunia dan dia sendiri yang menunjukkan dirinya sebagai calon manusia yang mendapat kemurkaan Allah dan siksaanya.
Berlindunglah diri kita daripada mendapat jemputan percalonan dari Allah swt yang diberi keistimewaan akan kemurkaan dan siksaanya dan bermohon ampunan untuk mereka dan kita semua, Amin. Hanya hati seseorang yang suci bersih sahaja yang dapat menuju kepadaNya.
Dengan itu haruslah kita menjaga hati kita perpandukan AlQuran, Sunnah Nabi saw, Panduan dan Garisan yang ditunjuk dan diajarkan oleh para habaib, ulama dan guru guru”.

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah - Siri 4

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah - Siri 4


Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh, tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri, ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Isi kandung kitab ini hendaklah dipelajari kepada tuanguru yang arif dan berkelayakan. Ampun maaf diatas segala kelemahan pentransliterasi. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian


Syahdan bermula kaifiat mengEsakan Allah Ta’ala pada af’al iaitu bahwa engkau pandang dengan mata hatimu dan mata kepalamu dengan ‘itiqad yang putus bahwasanya sekalian perbuatan yang berlaku didalam ‘alam sama ada perbuatan yang baik seperti iman dan tho’at atau perbuatan yang jahat seperti kufur dan ma’siat dan samada perbuatan dirinya atau perbuatan lainnya dan samada perbuatan mubasyarah atau perbuatan tawallud. Maka arti perbuatan mubasyarah itu iaitu yang beserta usaha ikhtiar hamba seperti gerak qalam pada tangan orang yang menyurat. Dan arti perbuatan tawallud itu iaitu yang jadi daripada perbuatan mubasyarah seperti jadi huruf yang tersurat oleh orang yang menyurat. Maka apabila tetap pada pandang matahatimu dan mata kepalamu sekelian perbuatan yang berlaku dalam ‘alam ini semuanya perbuatan Allah Ta’ala [pada haqiqatnya] dengan haqqul yaqin baharulah engkau mendapat ma’rifat wahdaniyah af’al. dan fana’ sekelian af’al makhluq. Maka ketika itu lepaslah engkau dari syirik khofi dan ‘ujub dan riya’ dan sum’ah dan lainnya. Dan jadilah engkau daripada ahli tauhid yang sebenarnya lagi muwafaqat ma’rifah engkau dengan Quran dan hadits dan ijma’ ulama` seperti firman Allah Ta’ala

وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Artinya bermula Allah Ta’ala jua menjadikan kamu dan barang perbuatan kamu [surah as-Shaffat:96].

Dan lagi firman Allah Ta’ala

قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ فَمَالِ هَـٰؤُلاۤءِ ٱلْقَوْمِ لاَ يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثاً

Artinya: Katakan olehmu hai Muhammad segala kebajikan dan kejahatan itu daripada Allah Ta’ala maka betapakah bagi mereka itu kaum tiada hampir faham mereka itu akan perkataan. [surah an-Nisaa: 78]

Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

لاتتحرك ذرة الا باذن الله

Artinya tiada bergerak di dalam ‘alam ini sesuatu dzarrah jua pun melainkan dengan izin Allah Ta’ala.[1]

Dan kata Sidi ‘Umar al-Faridh [2] رضي الله عنه:

ولو خطرت لي في سواك اوادة على خاطري سهوا قضيت بردتي

Artinya:Jikalah terlintas didalam hatiku suatu kehendak akan yang lain daripadaMu atas khatirku jikalau dengan lupa sekalipun nescaya aku hukumkan diriku itu murtad.



……. bersambung disiri akan datang, insyaAllah ….. والله تعالى أعلى و أعلم

[Transliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah 'Amal Ma'rifat MengEsakan Allah oleh Syaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad 'Afif al-Banjari. Terbitan Khazanah al-Fathoniyyah, Kuala Lumpur, Malaysia, 2005M/1426H]


Notakaki:
[1] Menurut ulama hadits, kata-kata ini adalah merupakan kata-kata ulama dan bukannya hadits. Wallahu a’lam.

[2] Sidi Umar ibn Faridh adalah seorang shufi yang dilahirkan di Mesir pada tahun 576/577H. Beliau terkenal sebagai seorang sufi yang melantunkan syair-syair shufi. Syair-syairnya melambangkan hubb ilahi yang mendalam dan konsep wahdatus syuhud. Kata-kata beliau dalam maksudnya tidak boleh difahami dengan makna dzahir semata-mata. Oleh kerana inilah terdapat ulama yang mengkafirkan beliau sebagaimana juga Ibn ‘Arabi. Pun begitu tidak sedikit ulama yang mempertahankan mereka berdua Beliau hidup sezaman dan Ibn ‘Arabi. Wafat pada tahun 632H di Mesir.

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah - Siri 3



Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah - Siri 3

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

Syahdan, maka dengan beberapa sebab yang tersebut itu terlintas pada hati hamba memperbuat risalah ini pada menyatakan ma’rifat ahlullah yang sebenarnya, yang mempunyai asal daripada al-Quran dan hadits dan ijma’ ulama’. Maka setengahnya daripada tertibnya, bermula ma’rifat ulama’ mengikut ma’rifat imam-imam yang empat dan mereka itu mengikut ma’rifat auliya’ dan mereka itu mengikut ma’rifat shahabat Nabi صلى الله عليه وسلم dan mereka itu mengikut ma’rifat Nabi صلى الله عليه وسلم. Maka ma’rifat Nabi kita bersamaan dengan ma’rifat anbiya’ dan mursalin yang dahulu-dahulu dan bersamaan dengan ma’rifat ahli langit hingga keatas. Tetapi hamba dahulukan pada risalah ini menyatakan syariat, thoriqat dan haqiqat dengan perkataan yang simpan kemudian daripada itu baharulah hamba menyatakan ‘amal ma’rifat dengan ikhtishor jua yang hamba dapat mafhum daripada kitab tasawuf. Wassalam.

Adapun syariat artinya kenyataan. Yakni barang yang dinyatakan oleh Allah Ta’ala daripada segala hukum amar (suruhan) dan nahi (larangan) dan lainya. Maka takluk ia pada anggota. Adapun thoriqat artinya jalan. Yakni jalan yang menyempurnakan syariat seperti taubat dan zuhud dan tawakkal dan shabar, dan redho’ dan siddiq, dan mahabbah dan zikrul maut (ingat mati) dan lainnya daripada segala perangai yang terpuji, maka takluk pada hati dan nyata pada anggota. Adapun haqiqat artinya I’tiqad yang sebenarnya yang wajib dipercayakan samada ilahiyat (ketuhanan) atau nubuwwat (kenabian) atau sam’iat (perkara-perkara ghaib yang diimani) iaitu ta’allaq pada perbuatan hati. Adapun ma’rifat artinya pengenalan yang sempurna kepada Allah Ta’ala iaitu takluk pada sirr hati. Maka arti mengenal itu – iaitu mengenal wahdaniah Allah Ta’ala pada af’al-Nya (perbuatan-Nya) dan pada asma’-Nya (nama-Nya) dan pada shifat dan pada dzat dengan I’tiqad yang yaqin sekira-kira tetap pada I’tiqadnya tiada yang memperbuat sekalian kainat melainkan Allah Ta’ala dan tiada yang bernama didalam kaainat hanya Allah Ta’ala. Dan tiada yang bershifat didalam kaainat hanya Allah Ta’ala. Dan tiada yang maujud didalam kaainat hanya Allah Ta’ala. Adapun segala perbuatan mumkin dan asma’nya dan shifatnya dan wujudnya, maka iaitu fana didalam af’al Allah Ta’ala dan asma’-Nya dan shifat-Nya dan wujud-Nya. Hasilnya yang ada pada mumkin ini majazi dan madzhar yakni kenyataan af’al Allah Ta’ala dan asma’nya dan shifatnya dan wujudnya tiada mempunyai wujud haqiqi yang sebenar.

Syahdan bermula kaifiat mengEsakan Allah Ta’ala pada af’al iaitu … bersambung disiri akan datang, insyaAllah ….. والله تعالى أعلى و أعلم


[Transliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah 'amal Ma'rifat MengEsakan Allah oleh Syaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad 'Afif al-Banjari. Terbitan Khazanah al-Fathoniyyah, Kuala Lumpur, Malaysia, 2005M/1426H]

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah (Siri - 2)



Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri - 2)

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى - Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana dikhuatirii tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
Adapun kemudian daripada itu, maka berkata hamba yang dhoif lagi yang amat hina iaitu ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif Banjari غفرله ولوالدين ولمشائخه ولجميع المسلين ربه البارئ manakala hamba bersangatan puas dan jemu melihat dan mendengar di dalam berpuluh-puluh tahun keadaan ghalib manusia di Tanah Jawi kita ini masing-masing menuntut ilmu penghabisan dan ilmu kesempurnaan diri dan ilmu perpegangan ketika sakratul maut yang sehabis-habis tinggi – manakala ditaqrirkan oleh oleh ulama yang haq ahlul sunnah wal jamaah akan jalan ma’rifat ahlul tasawwuf yang sebenar yang berasal daripada al-Quran dan hadits dan ijma’ ulama’ maka tiba-tiba jadi ringan kepada mereka itu setengah mereka itu berkata belum lagi sampai kepada ilmu yang sebenarnya dan masih kulit, belum isinya. Dan setengah mereka itu mendakwa menyembunyikan ilmu yang sebenarnya dan yang diajarkan ulama’ itu emas muda bukannya emas perada [emas tua yang berkilauan warnanya – abu zahrah] hingga berbagai-bagai perkataan mereka itu dan mereka itu pun sentiasa beredar dia keliling segala negeri kita ini mencari-cari ilmu yang sebenarnya hingga bertemu dengan mereka itu dengan dhollun mudhillun artinya orang yang sesat lagi menyesatkan orang pada pada hal ia mengaku mempunyai ilmu yang sebenarnya yang tiada ada pada ulama’. Dan dia merupakan dirinya ulama’ yang haq. Maka menuntutlah mereka itu kepadanya ilmu rahsia yang halus-halus dengan segala syarat mendapat itu ilmu setengahnya dengan syarat kain putih dan tikar putih dan setengahnya dengan ketan [beras pulut – abu zahrah] dan ayam dan wang yang tertentu dan barang sebagainya.

Maka diajarkannya oleh guru-guru palsu itu akan ilmunya yang tiada pula muafaqat pengajar segala guru-guru palsu itu. Setengahnya Allah ada dalam diri kita, dan setengahnya dengan satu dua kalimat seperti (طَقُّوَ الله) yang apabila mendengar bengkarung atau cicak nescaya masuk syurga dan setengahnya apabila hampir sakratul maut datang kepadanya malaikat yang empat dan Nabi Muhammad dan Allah Ta’ala, dan ada nur yang terdiri kelangit yang diperpegangi. Dan setengahnya apabila memakai ilmunya sampai kepada martabat tawassu’ [توسّع] artinya keluasan dan kelapangan, sembahyang jadi tidak sembahyang jadi dan tidak wajin menuntut ilmu agama yang lain daripada امر [amr- suruhan] dan نهي [nahyun - tegahan] dan jikalau mau sembahyang pun tiada wajib qasod, ta’rudh dan ta’yin, hanya musyahadah wujud Allah Ta’ala atau fana’ dalam nur Muhammad hingga beberapa bagai yang amat banyak yang didapat daripada pengajar guru-guru yang palsu yang ia dhollun mudhillun [orang yang sesat lagi menyesatkan]. Dan ia khalifah dajjal bagi menyesatkan orang Islam sekeliannya itu, telah hamba [pengarang kitab - Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq al-Banjari] didalam berpuluh-puluh tahun.

اللهم احفظ وارحم امة محمد صلى الله عليه وسلم من تلك البدع المنكرة المكفرة – آمين
Hai Tuhanku, peliharakan dan kasihankan kiranya olehMu umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada beberapa bid’ah yang mungkar lagi yang mengkapirkan itu.

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah



Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri 1 - Pengenalan )

Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى [keturunan Syaikh Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى] (1288H/1867M – 1358H/1939M) – Mufti Kerajaan Inderagiri

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

Sebelum memulakan transliterasi kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat MengEsakan Allah, maka ada baiknya diperkenalkan dahulu pengarang kitab berkenaan. Tulisan mengenai pengarang kitab berkenaan yakni Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى. Tulisan mengenai beliau kami kutip daripada tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir bin Wan Abdullah رحمه الله تعالى.

Shaikh Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى adalah merupakan keturunan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى. Jalur keturunan sebelah ayahnya adalah: Syaikh Haji Abdurrahman Shiddiq bin Haji Muhammad ‘Afif bin Haji anang Mahmud bin Haji Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad al-Banjari.

Jalur keturunan yang menyentuh Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama dunia Melayu yang sangat terkenal, ialah bahawa ibunya bernama Shafura binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As'ad. Ibu Mufti Haji Muhammad As'ad bernama Syarifah binti Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Bajut. Dari jalur yang lain pula bahawa ibu Muhammad Afif bernama Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat.

Dilahirkan pada tahun 1288H dan wafat pada hari Itsnin 4 Sha’ban 1358H bersamaan 18 September 1939M dalam usia 70 tahun.

Mendapat pendidikan awal dari keluarganya yang terdiri dari ‘alim ulama’ di Banjar. Sampai ke Mekah pada musim haji tahun 1306H, dan tinggal di sana hingga tahun 1312H. Antara shahabatnya sewaktu belajar di Mekah adalah Tuan Husein Kedah al-Banjari, keturunan Banjar yang dilahirkan di Kedah ini, (lahir 1280H/1863M), Haji Abdullah Fahim (lahir 1286H/1869M), Tok Kenali (lahir 1287H/1871M) dan ramai lagi. Antara guru-gurunya sewaktu di Mekah adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Sayyid Bakri Syata’, Syaikh Abdul Qadir bin Abdurrahman al-Fathani dan ramai lagi.

Sekembalinya dari Mekah terus ke Martapura, kemudian pindah ke Bangka dilanjutkan pengembaraan di seluruh Semenanjung menziarahi teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beberapa sultan, di antaranya sultan Johor meminta beliau menjadi mufti, semuanya beliau tolak. Akhirnya Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang kemudian diberi nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Di sanalah beliau membina umat membuka pengajian sistem pondok. Dalam masa kejayaannya membuka perkampungan untuk perkebunan kelapa dan pengajian itulah Syaikh Haji Abdur Rahman Shiddiq dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri.

Dibidang penulisan, karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang telah ditemui oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir] adalah seperti berikut:

Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320H. Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327H. Cetakan selanjutnya oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929M (cetakan ketiga).
Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324H. Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347H/8 Januari 1929M.
Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan pada 20 Syaaban 1324H. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang dipetik daripada Majmu' karangan Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324H.
Risalah Amal Ma'rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 8 Rabiulawal 1332H. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344H oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. [Kitab inilah yang akan ditransliterasi untuk tatapan pengunjung blog al-Fanshuri – InsyaAllah]
Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah 1332H. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam bentuk syair. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9 Syaaban 1344H.
Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam, diselesaikan 1 Safar 1334H. Kandungannya merupakan pelajaran fardhu ain untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929 M.
Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16 Rabiulawal 1338H. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq, Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405M. Diterbitkan daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.
Syajaratul Arsyadiyah, diselesaikan 12 Syawal 1350H. Kandungannya membicarakan asal-usul Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan-keturunannya. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.
Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar 1351H. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil Muntazhar (55 halaman) karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
Mau'izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan 5 Rejab 1355H. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355H.
Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi as-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah diucapkan oleh Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetakan.
Majmu'ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama' wal Muta'allimin wal Mustami'in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1346H/1927M.