Isnin, September 10

Risalah Mahabbah: DIA Lebih Mengetahui… Malah Hanya Dia yang Maha Mengetahui Andai anda terasa bahang panas hidupmu, lalu terasa sukar menghadapi kepanasannya, maka ingatlah kedinginan salju juga bisa membunuh –dengan kehendak Allah- dengan sifat membekunya. Andai anda letih dengan keringnya jalan hidupmu, kenanglah hujan juga bisa membanjirkan sebuah daerah lalu memusnahkan segala isinya –dengan ketentuanNya-. Andai anda terhimpit dengan kemiskinan, ingatlah hidup orang-orang kaya juga sering terdedah kepada ramai penghasut dari kalangan teman dan lawan. Hakikat kelapangan itu bukan pada apa yang anda pandang daripada cerita hidup manusia di sana sini, tetapi daripada penghayatan anda bahawasanya Allah s.w.t. lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirimu berbanding dirimu sendiri. Ungkapan paling ringkas untuk menyimpan makna perkataan tersebut adalah, redha dengan Allah s.w.t., dalam setiap ketentuanNya. Redha… Ungkapan yang mengandungi makna yang tidak semudah menyebut lafaznya. Bagaimana seorang ibu menegah bayinya daripada makan makanan yang lazat-lazat itu suatu penyiksaan terhadap bayi tersebut. Itu bukanlah seorang ibu yang mempunyai hakikat keibuan. Bagaimana Allah s.w.t. menegahmu daripada apa yang anda ingini adalah suatu penyiksaan terhadapmu selaku hambaNya (yang beriman), melainkan sang hamba sendiri tidak faham tujuan di sebalik penegahan tersebut? Hanya kebiadabanmu yang memberontak di hadapan ketentuan Allah s.w.t. yang membuat anda terus tersiksa dalam menghadapi takdirNya. Masalah besar adalah pada, kita tidak faham Allah s.w.t.. Masalah lebih besar adalah, dalam anda tidak faham Allah s.w.t., anda tidak berbaik sangka terhadap Allah s.w.t.. Makin buruk sangka itu membawa kepada makin merasai hidup ini terlalu pahit. Makin baik sangka itu jualah yang membawa kepada makin merasai manisnya kehidupan. Laluan hidup ini hanya satu. Dari Allah s.w.t. dan menuju Allah s.w.t.. Destinasi kita adalah asal kita. Kalau kita fokus kepada “kerana apa” kita terus berjalan menuju destinasi, maka kita tidak disibukkan dengan rintangan sana sini di sepanjang perjalanannya. Seberat-berat rintangan jalan menuju Allah s.w.t. adalah kematian yang mempercepatkan kita untuk sampai kembali kepada Allah s.w.t.. Nah, redha dengan ketentuan Allah s.w.t. pun sampai kepada Allah dan yang memberontak terhadap Allah s.w.t. juga kembali kepada Allah s.w.t.. Masalahnya bukan pada sebab yang menyebabkan kamu kembali kepada Allah s.w.t, tetapi bagaimana kamu ketika kembali kepada Allah s.w.t.. Selaku hamba atau selaku pendusta? Kata mulut mencari redha, tetapi diri sendiri tidak mampu redha. Tanpa meredhai, bagaimana diredhai? Hidup ini untuk anda redha terhadap ketentuan Allah s.w.t. dan terus beradab di hadrahNya. Bahagialah orang yang tahu Allah s.w.t. Maha Mengetahui lalu meredhai setiap ketentuanNya. Malanglah orang yang tahu Alah s.w.t. Maha Penyayang namun masih sentiasa membangkang ketentuan Allah s.w.t.. Jangan bicara tentang erti perjuangan, kalau kita sendiri tidak tahu kerana apa kita berjuang. Hidup ini perjuangan. Namun, kalau tidak tahu tujuan kita hadapi hidup, maka, untuk apa kita teruskan hidup? Memahami makna di sebalik sebuah perjuangan walaupun gagal dalam perjuangan itu lebih berharga daripada berjaya mendapat apa yang diperjuangkan tanpa mengetahui makna di sebalik perjuangan kita. Apatah lagi, kejayaan hidup adalah pada kejayaan menghayati maknanya secara hakikinya lalu merealisasikannya sebelum menemui kematian. Makna hidup kita adalah kita hamba Allah s.w.t.. Tujuan hidup kita adalah menunaikan kehambaan kita kepadaNya. Mati dan tahu kerana apa kita mati itu lebih baik daripada hidup namun tidak tahu kerana apa kita hidup. Apa lagi sangat berharga orang yang hidup dan tahu kerana apa dia hidup dan bakal mati serta bakal dihidupkan kembali. Inilah penghayatan yang sejati. Senyum, menangis, susah, senang, gembira, duka, benci, suka dan sebagainya, adalah antara sifat-sifat kemanusiaan manusia. Masalahnya bukan pada sifat-sifat tersebut, tetapi kerana apa kita bersifat dengan sifat-sifat tersebut. Andai menghayati perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. dalam diri anda, dengan sifat-sifat tersebut, maka anda bersama Allah s.w.t.. Raslullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- jua pernah tersenyum, namun senyuman Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- kerana Allah s.w.t.. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- juga pernah menangis, tetapi tangisan Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah penghayatan keperluan diri kepada Allah s.w.t.. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- juga pernah bersedih, namun sedih Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dengan penghayatan bahawa ianya menzahirkan kelemahan diri di hadap Allah s.w.t.. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- jua pernah marah, namun marah Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- kerana Allah s.w.t.. Adapun kita, gembira kita pun daripada kelalaian dan bukan kerana Allah s.w.t., maka bagaimana sedih kita boleh lahir daripada penghayatan kebersamaan Allah s.w.t. dan kerana Allah s.w.t.? Kerana itulah kita perlukan nur… Cahaya Allah s.w.t. yang bisa menerangkan hakikat hidup kita. Makna hidup semuanya ada dalam lubuk hati kita, namun kita terhijab daripadanya dengan hawa nafsu kita yang ingin menjalani kehidupan dengan makna yang berbeza. Mulakanlah dengan melawan hawa nafsu yang licik. Ia wujud bukan setakat dalam maksiat, namun juga dalam taat. Malah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- paling takut tipu daya nafsu dalam ketaatan kerana ianya gagal dikesan oleh kebanyakkan orang yang terhijab dengan kesolehan zahir mereka yang banyak taat dan berbuat kebaikan. Sebab itulah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda, “Aku paling takut syirik kecil iaitu riya’”. Riya’ itu dalam ketaatan wahai teman-teman. Allah… Selamatkanlah kami daripada syirik kecil ini yang berpunca daripada ujub (rasa diri baik). Dalam ilmu boleh terbit ujub. Dalam amal boleh terbit ujub. Dalam akhlak mulia pun boleh terbit ujub. Hanya dengan bantuan Allah s.w.t. sahaja kita dapat bebaskan diri daripada ujub ini. Setelah selesai ujub, maka anda akan melihat, ALLAH, di sebalik gerak dan diammu. Dialah yang Maha Wujud secara hakiki dan abadi. Dialah Maha Pembuat secara hakiki dan abadi. DIALAH ALLAH… Bila sudah lihat ALLAH, hanya ALLAH, maka anda akan tahu kerana apa anda hadapi kehidupan ini. Malah, anda akan merasa kerdilnya diri di hadapan rahmat dan keampunanNya. Dengan melihat keagungan redhaNya, anda tidak akan berkira lagi untuk meredhaiNya dalam setiap ketentuanNya. Maka, mulalah melangkah menujuNya bersama-sama dengan mereka yang sedang melangkah menujuNya. Moga Allah s.w.t. membimbing kita dan membawa kita kepada pembimbing yang boleh membawa kita kepadaNYa. Amin… Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Lathif Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari ‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah

Sebahagian Para Ulama’ Masyhur yang Mengambil Tarbiah Sufiyyah

Imam Abu Hanifah r.a.. Imam Al-Haskafi Al-Hanafi berkata: أن أبا علي الدقاق رحمه الله تعالى قال: (أنا أخذتُ هذه الطريقة من أبي القاسم النصر أباذي، وقال أبو القاسم: أنا أخذتها من الشبلي، وهو من السري السقطي، وهو من معروف الكرخي، وهو من داود الطائي، وهو أخذ العلم والطريقة من أبي حنيفة رضي الله عنه، وكلٌ منهم أثنى عليه وأقرّ بفضله.. Maksudnya: “Abu ‘Ali Ad-Daqqaq (guru Imam Al-Qusyairi r.a.) berkata: “Saya mengambil tarikat (sufi) ini daripada Abi Al-Qasim An-Nasr Abazi”. Abu Al-Qasim berkata: “Saya mengambilnya (tarikat sufi) daripada Imam As-Syibli dan beliau (As-Syibli) mengambilnya dari Imam As-Sirri As-Saqati. Beliau (As-Sarri/As-Sirri) mengambilnya daripada Imam Ma’ruf Al-Karkhi dan beliau (Al-Karkhi) mengambilnya (tarikat sufi) daripada Imam Daud At-Tho’ie. Adapun Imam Da’ud At-Tha’ie mengambil ilmu dan tarikat (sufi) daripada Imam Abi Hanifah r.a.. Seluruh ulama’ tersebut memujinya (ilmu tasawwuf) dan mengakui kelebihannya”. [Ad-Durr Al-Mukhtar merujuk kepada Hasyiyah Ibn ‘Abidin: 1/43] Imam Al-Haskafi berkata sebagai catatan terhadap hal tersebut dengan berkata: فيا عجباً لك يا أخي! ألم يكن لك أسوة حسنة في هؤلاء السادات الكبار ؟ أكانوا مُتَّهمين في هذا الإِقرار والافتخار، وهم أئمة هذه الطريقة وأرباب الشريعة والحقيقة ؟ ومَن بعدهم في هذا الأمر فلهم تبع، وكل ما خالف ما اعتمدوه مردود مبتدع Maksudnya: “Betapa anehnya wahai saudaraku! Bukankah contoh terpuji ada pada para ulama’ agung tersebut (yang mengambil tarbiah sufi)? Adakah mereka adalah golongan yang ditohmah pada pengakuan (terhadap keagungan ilmu tasawwuf) dan bermegah (dengan ilmu tasawwuf) sedangkan merekalah para imam tarikat (sufi) dan para pemimpin dalam ilmu syariah dan hakikat? Adapun orang yang setelah mereka (kaum sufi),maka kepada merekalah (para ulama’ sufi dahulu) mereka (kaum sufi sehingga hari ini) ikuti. Adapun orang yang bercanggah dengan pegangan mereka (ulama’ sufi terdahulu), maka dialah yang tertolak dan pelaku bid’ah” [ibid] Para ulama’ seperti Imam Ibn Mubarak, Imam Ahmad dan Imam Sufiyan At-Thauri turut memuji Imam Abu Hanifah sebagaimana disebut oleh Imam Ibn ‘Abidin dalam Hasyiyahnya terhadap kitab tadi. [ibid] Imam Al-Harith bin Al-Asad Al-Muhasibi Imam Az-Zahabi menceritakan tentang kecenderungan Imam Al-Muhasibi terhadap ilmu tasawwuf. Imam Az-Zahabi berkata: صاحب المصنفات في التصوف والأحوال “(Beliau) adalah empunya tulisan dalam ilmu tasawwuf dan ahwal” [Al-‘Ibar 1/328] Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a. Imam Al-Ghazali ra. Sememangnya seorang ulama’ sufi yang masyhur khususnya di marhalah akhir daripada usianya. Beliau mengarang banyak buku dalam ilmu tasawwuf khususnya buku Ihya’ Ulumiddin, Minhaj Al-‘Abidin, Minhaj Al-‘Arifin dan sebagainya. Imam Ibn As-Sholah r.a. Imam As-Suyuti meriwayatkan bahawasanya, Imam Ibn As-Sholah turut dipakaikan khirqah sufiyyah daripada Imam Abu Al-Hasan Al-Mu’ayyad bin Muhammad At-Thusi [Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah 12-13] Sultan Al-Ulama’ Imam Izzuddin bin Abdil Salam r.a. Imam As-Suyuti meriwayatkan bahawasanya Imam Izziddin mengambil pemakaian khirqah sufi daripada Imam As-Sahrwardi [Husn Al-Muhadarah 1/273] Malah, Imam Izzuddin bin Abdil Salam juga mengarang kitab Zubd Khulasah At-Tasawwuf, suatu kitab yang membahaskan ilmu tasawwuf secara mendalam. Imam Ibn Al-Jazari r.a.. Beliau turut memakai khirqah sufi dan mengambilnya daripada ulama’ sufi. Beliau berkata dalam Manaqib Al-Asad Al-Ghalib: وأما لبس الخرقة، واتصالها بأمير المؤمنين علي كرم الله وجهه، فإني لبستها من جماعة، ووصلت إلي منه من طرق رجاء أن أكون في زمرة محبيه، وجملة مواليه يوم القيامة Maksudnya: “Adapun pemakaian khirqah (sufi) maka bersambung (sanad pemakaian khirqah) kepada Imam Amirul-Mu’minin Ali r.a., maka saya sendiri memakainya daripada beberapa ulama’ (sufi). Maka sampai pemakaian ini kepadaku daripada beliau (Saidina Ali r.a.) dengan banyak jalan dengan harapan agar saya menjadi dalam kalangan golongan pencintanya (Saidina Ali r.a.) dan dalam golongan pengikut-pengikutnya hari Kiamat nanti. Beliau berkata lagi: وللشيخ عز الدين المذكور في خرقة التصوف ثلاث طرق: أحمدية، وقادرية، وسهروردية Maksudnya: “Di sisi Sheikh Izzuddin yang disebutkan tadi ada riwayat pemakaian khirqah tasawwuf (pakaian sufi) melalui tiga jalan (tarikat) sufi iaitu: tariqah ahmadiyyah, tariqah qadiriyyah dan tariqah sahruwaridyyah” Beliau kemudian berkata: وأجمع مشايخ التصوف على أن الحسن البصري صحب علي بن أبي طالب ولبس منه والله أعلم، وسألت شيخنا الحافظ إسماعيل بن كثير فقال: لا يبعد أنه أخذ عنه بواسطة، ولقيه له ممكن، فإنه سمع عثمان بن عفان Maksudnya: Telah bersepakat para ulama’ tasawwuf bahawasanya Imam Al-Hasan Al-Bashri r.a. bersahabat dengan Saidina Ali r.a. lalu mengambil pemakaian khirqah daripada Saidina Ali r.a., wallahu a’lam. Maka saya bertanya sendiri guruku Al-Hafiz Isma’il bin Kathir maka beliau berkata: “Tidak mustahil juga kalau beliau (Imam Hasan Al-Bashri) mengambil pemakaian khirqah daripada Saidina Ali dengan seorang perantara. Namun, pertemuannya (Imam Hasan Al-Bashri) dengannya (Saidina Ali r.a.) suatu yang mumkin (boleh berlaku). Ini kerana, Imam Hasan Al-Bashri meriwayatkan hadith daripada Saidina Uthman bin Affan r.a.. [boleh rujuk kitab beliau Manaqib Al-Asad Al-Ghalib tentang manaqib Saidina Ali bin Abi Thalib r.a.] Imam Az-Zahabi r.a. Imam Az-Zahabi turut memakai khirqah (pakaian simbolik bagi kaum sufi yang bersambung silsilah pemakaiannya) sebagaimana perkataan beliau: ألبسني خرق التصوف شيخنا المحدث الزاهد ضياء الدين عيسى بن يحيى الأنصاري بالقاهرة وقال ألبسنيها الشيخ شهاب الدين السهروردي بمكة “Sheikhna Al-Muhaddith Az-Zahid Dhiya’uddin Isa bin Yahya Al-Anshari memakaikanku pakaian khirqah tasawwuf di Kaherah. Lalu, beliau berkata: “Sheikh Syihabuddin As-Sahruwardi memakaikanku khirqah tasawwuf di Makkah…” [As-Siyar 22/377] Imam Az-Zahabi turut menceritakan tentang Imam As-Sahrwardi dengan berkata: الشيخ الامام العالم القدوة الزاهد العارف المحدث شيخ الاسلام أوحد الصوفية Maksudnya: “ (Beliau ialah) Sheikh Al-Imam Al-‘Alim Al-Qudwah Az-Zahid Al-‘Arif Al-Muhaddith Sheikhul Islam seorang Sufi yang hebat…” [Siyar pada menterjemahkan manaqib Imam As-Sahrwardi] Imam Al-‘Iraqi r.a. Imam Al-Iraqi r.a. merupakan guru kepada Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a.. Imam Al-‘Iraqi memakai khirqah daripada sebahagian ulama’ sufi, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar r.a. Antaranya, Imam Imam Al-‘Iraqi mengambil pemakaian khirqah daripada Imam Majduddin At-Tabari [Ad-Durar Al-Kaminah 1/204] dan juga daripada Imam Muhammad bin ‘Atho’illah Al-Iskandari As-Syazili [Ad-Durar Al-Kaminah 2/180]. Imam Ahmad bin Muhammad Al-Qostollani Imam Ibn Hajar berkata: ولبس الخرقة من جدته عائشة بنت الشيخ قطب الدين القسطلاني Maksudnya: Beliau memakai khirqah (sufi) daripada neneknda beliau ‘Aisyah binti Sheikh Qutubuddin Al-Qostollani [Ad-Durar Al-Kaminah: 1/101] Imam Ibn Kathir r.a. Imam As-Sofadi meriwayatkan kesufian Imam Ibn Kathir yang mengambil tarikat syaziliyyah [Al-Wafi fi Al-Wafiyyat 21-141] Imam An-Nawawi r.a. Imam Al-Nawawi memang terkenal sebagai seorang ulama’ beraqidah ahlus-sunnah al-asya’irah dan juga seorang sufi. Beliau mengarang buku bernama “Maqosid At-Tasawwuf” dalam menjelaskan pendirian beliau terhadap ilmu tasawwuf dan kesufian. Sheikhul Islam Imam Zakaria Al-Anshori Beliau terkenal bukan sahaja sebagai ulama’ fiqh mazhab As-Syafi’e, malah beliau juga dianggap sebagai ulama’ sufi yang agung. Beliau juga tidak terlepas daripada tradisi memakai khirqah yang diambil daripada para ulama’ sufi. Antara mereka yang memberi pemakaian khirqah sufi kepada Imam Zakaria adalah: Sheikh Abu Al-Abbas Ahmad bin Ali Al-Atakawiy, Sheikh Abu Al-Fath Muhammad bin Abi Ahmad Al-Ghizzi, Sheikh Abu Hafsh Umar bin ‘Ali, Sheikh Ahmad bin Al-Faqih Ali Ad-Dailami (Ibn Az-Zalbani), Sheikh Zainuddin Abdullah bin Ali Al-Khalil dan sebagainya (mereka semua adalah ulama’ mazhab syafi’e). [rujuk Al-Kawakib As-Sayyarah oleh At-Tamimi dan Ad-Dhau’ Al-Lami’e oleh Sheikh Syamsuddin As-Sakhawi 2/250] Imam As-Sakhawi r.a.. Beliau berkata dalam menceritakan beberapa ulama’ agung sangat menitik beratkan pemakaian khirqah dalam Al-Maqasid Al-Hasanah [331] antaranya Imam Ad-Dailami, Imam Az-Zahabi, Imam Al-Hikari, Imam Abu Hayyan, Imam Al-‘Ala’ie, Imam Al-‘Iraqi dan sebagainya. Lalu beliau sendiri menjelaskan bahawasanya dirinya sendiri memakai khirqah sufi daripada sebahagian ulama’ sufi dalam buku tersebut. Imam As-Suyuti r.a. Imam As-Suyuti r.a. juga seorang ulama’ sufi yang agung di samping kemasyhuran beliau dalam bidang fiqh, hadith dan tafsir. Beliau mengarang banyak risalah membela ilmu tasawwuf dan masalah-masalah kesufian. Malah, beliau mengarang kitab khusus membela keagungan tarikat Syaziliyyah yang diberinama “Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah”.

Kunci Penghayatan Hidup Rabbani

Ramai manusia melihat kehidupan dari segenap sudutnya. Ada yang melihat kepayahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat kedukaan. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat menikmatinya. Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan syahwat dan kepentingan. Untuk apa melihat hidup itu pada senang atau susahnya, sedangkan setelah susah hadirnya senang, dan setelah senang hadirnya susah. Begitulah silih berganti. Malah, senang dunia tidak selamanya, begitu jua susahnya. Akhirnya sang insan yang sibuk dengan susah dan senangnya hidup di dunia, mati meninggalkan dunia. Itu semua hanyalah persepsi kebudak-budakan semata-mata yang mengingini khayalannya menjadi mimpi yang nyata. Hidup ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti, bukan membina makna realiti sendiri. Hakikat hidup sudah ditentukan. Makna hidup sudah dijelaskan. Jika terus memilih selain makna dan hakikat hidup yang telah dijelaskan oleh Tuhan, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki. Semakin kita menuju “realiti” ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar hidup ini. Begitulah insan yang sentiasa terkesan samada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan. Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat r.a. yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata. Memang benar. Indah bicara dari menghadapinya. Namun, inilah realitinya. Bagaimana Saidina Bilal r.a. mampu memikul batu berat di bawah terik mentari hanya dengan menyebut ahad…ahad. Kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentu sanggup memikul dukaan kerana Tuhan. Jauh benar penghayatan aqidah kita berbanding penghayatan aqidah mereka yang dididik oleh Saidina Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Nilai aqidah itu pada penghayatannya, bukan pada perbahasannya. Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza, tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka. Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-sholeh) khususnya para sahabat r.a., adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri. Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehidupan. Bagaimana generasi sahabat r.a. khususnya, tidak pernah kenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka? Ramai orang kata, kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam. Ada orang juga kata, kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka. Benar bagai dikata oleh mereka yang berkata-kata. Tetapi bukan sekadar itu wahai saudara-saudara. Kunci utama kekuatan mereka adalah pada penghayatan mereka terhadap aqidah mereka. Kuncinya adalah pada kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari. Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna hidup yang lebih besar. Ianya adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian. Ianya lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga sifat ujub yang tercela. Qudwah mereka adalah Saidina Al-Mustafa wa Habibina Al-Mujtaba Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Mereka melihat bagaimana Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa. Apa penghayatan Baginda Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dalam memperbanyakkan taubat? Nah, kelazatan dan penghayatan itu diwarisi oleh para sahabat r.a. secara halus meresap dalam tarbiah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Kunci utama bagi seseorang mewarisi hal hati (ahwal) dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan. Oleh sebab itulah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menyuruh para sahabat r.a. mencintai Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- lebih daripada diri mereka sendiri dan segala-galanya. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan ahwal (hubungan hati seseorang dengan Allah) daripada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan cinta kepada Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Jalan untuk mencintai Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- iaitulah para sahabat r.a. dan keluarga Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ (yang mewarisi ilmu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para solihin (yang mewarisi amalan Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para murobbi (yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-) dan sebagainya. Ini adalah kecintaan kerana Allah s.w.t. yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Inilah antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman. Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula. Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa takut kepada murka Allah s.w.t.. Kemuncak proses mengecapi penghayatan aqidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah ALLAH s.w.t.. Kecintaan kepada Allah s.w.t. ini bukan suatu proses yang mudah semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya (Astaghfirullah min ad-dakwa). Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah s.w.t. iaitulah mencintai para solihin, para murobbi, para ahlul-bait, para sahabat r.a. dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah s.a.w.. Dengan kecintaan kepada Rasulullah shollaLlahu ‘alaihi wasallammelebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. dengan bantuanNya. Cinta kepada Allah s.w.t., memang benar ianya suatu anugerah. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwanya, memilikinya. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasainya. Ianya pilihan dalam pilihan. Ianya anugerah dalam hadiah. Ianya kurniaan dalam pemberian. Maka, mintalah cinta kepadaNya hanya daripadaNya. Dengan mencintai Allah s.w.t., seseorang akan menghadapkan fokusnya hanya kepada Allah s.w.t.. Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cintaNya. Itulah sebenarnya hakikat apabila sudah mulai mencinta. Apa sahaja diredahi demi redha dan cinta. Pandangan redha yang dicinta adalah idaman setiap sang pencinta. Andai benar kamu mencari redha Allah, mengapa mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya? Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redhaNya? Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redhaNya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuanNya, namun kamu memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka? Bukankah seseorang yang Allah s.w.t. cinta, makin kuat diuji? Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta? Mengapa mengelukh ketika dikurniakan simbol cinta? Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta? Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya? Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Tuhan dan memberontak bila diberi ujian. Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta. Lalu, setiap hidup mereka dilalui dengan penuh redha sebagai sang hamba. Mereka melihat agungnya “nilai” di sebalik ujian berbanding beratnya ujian. Mereka melihat besarnya “tujuan” mereka dalam redha kepadaNya, iaitulah demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka. Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan. Bagaimana terungkap di mulut para pencinta: “sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…”, kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta. Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sangat kagum dengan sikap orang yang beriman yang sentiasa mendapati kebaikan dalam hidup, samada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Malah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sendiri sebagai simbol teragung dalam menterjemahkan makna kelapangan hidup, dalam hidup Baginda - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Teringat kisah di mana linangan air mata mulia Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menitis keluar dari kedua mata Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang mulia, ketika pemergian anaknda Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bernama Ibrahim (r.a.). Lalu para sahabat r.a. bertanya tentang titisan air mata tersebut, adakah ianya tanda sedih atau bagaimana. Lalu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “ini adalah rahmat (kasih sayang)”. Apa makna disebalik itu? Maknanya, hatta menangis itu sendiri dalam penghayatan Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah rahmat daripada Allah s.w.t., bukan suatu kesempitan, apatah lagi segala ketentuan dalam kehidupan Baginda - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- mengecapi rahmat dan kelembutan Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya sehingga air mata itu juga dirasakan nikmat daripada rahmat Allah s.w.t.. Ini hakikat penghayatan iman dan taqwa yang mendalam. Inilah penghayatan aqidah yang murni, yang perlu dirasai oleh setiap orang beriman. Maka, carilah para pembimbing yang dapat membantu kita mewarisi penghayatan ini daripada generasi terdahulu melalui tarbiah dan qudwah. Indahnya hidup dengan melaluinya berbekalkan kelazatan iman dan penghayatan tauhid yang murni. Fokuslah kepada keagungan nilai tujuan, nescaya lapang bagimu setiap jalan menujunya. Wallahu a’lam Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari ‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah


Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.

Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.

Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.

Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)

Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:

“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.

Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..

Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..

Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.

Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.

Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.

Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.

Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.

Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..

 ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.

Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):

“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”

Allah…

Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk  kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-  dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.

Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.

Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:

“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.

Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-

“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih,  sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)

Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri






Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan: “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”.

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."  [Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"  [Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini: "Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:

"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah