Ahad, April 15

BICARA HIKMAH : #2 Carilah Kebahagiaan Dalam Dirimu

2  Carilah Kebahagiaan Dalam Dirimu
Wahai anakku.

ALLAH SWT berfirman :

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27)ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28)  فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan dalam keadaan Ia redha kepadamu dan engkau redha kepada-Nya, masuklah engkau dalam golongan hamba-Ku, masuklah engkau ke dalam Syuga-Ku."  [Al-Fajr: 27-30]

Aku memperingatkan diriku dan dirimu agar sentiasa memelihara iman dan mengawasinya serta menjauhi perkara yang boleh menyebabkan hilang kemanisannya. Iman akan memuncak cahaya makrifatnya apabila kekotoran yang diselaputi oleh hawa nafsu dapat dikikis.

Ketahuilah anakku, nafsu ammarah adalah musuh yang paling besar dalam perjalanan menuju kepada Tuhan. Ia adalah punca hati manusia tidak tenteram di bawah taqdir ALLAH. Nafsu ini akan merungut-rungut, memberontak, berkeluh kesah dengan apa jua taqdir yang menimpanya sama ada ia berbentuk nikmat atau berbentuk musibah.

Ia tidak aman dari merungut sehingga manusia yang mendengar bisikannya akan menjadi manusia yang miskin walaupun di tangannya mempunyai segala perkara yang diidamkan manusia seperti kuasa, kekayaan, keluarga dan sebagainya. Mereka yang berjaya mendidik nafsunya sehingga sampai kepada peringkat mutmainnah (nafsu yang tenang dengan kehendak ALLAH) sahaja akan dapat merasai kebahagiaan. Dadanya lapang, hatinya tenang, walaupun ALLAH mentaqdirkan ia tidak memiliki apa jua sebagaimana bahagianya Nabi Isa 'Alaihis Salam.

Wahai anakku,
Kebahagiaan yang hakiki adalah dalam dirimu. Layarkan dirimu ke lautan kebahagiaan dengan sanggup merempuh badai gelombang dipermulaannya. Kuatkan kapal dan besarkan ia agar tidak terasa gelombang ombak dan tiupan badai. Jika tiupan badai terlalu kuat, hanya sedikit sahaja terasa goncangannya, dan dirimu masih boleh tersenyum dan menikmati hidangan tanpa rasa takut. Nakhoda yang hebat ialah seorang yang mempersiapkan kapal dengan segala kekuatan agar dapat menghadapi segala gelora pelayaran dengan tenang. Ia juga mempunyai ilmu dalam menghadapi dan mengatasi gelombang dan taufan.

Wahai anakku,
Didiklah nafsumu dengan ilmu, ibadah dan mujahadah yang berterusan sehingga ia menjadi nafsu yang tenang dengan tadbir Tuhan, bukannya senang dengan kehendaknya. Ia perlu ditekan dengan bersungguh-sungguh sehingga pecah segala kejahatannya dan terbukalah tadbir penipuan yang melindungi dirimu selama ini dari melihat kebenaran. Akan tersingkaplah rahsia dirimu dari alam keTuhanan, rahsia dunia yang penuh penipuan, rahsia akhirat yang penuh dengan keindahan. Dengan itu, engkau telah mencapai hakikat kebahagiaan sebagaimana hati para kekasih-Nya.

BICARA HIKMAH: #1 Jangan Tersilap Membuat Pilihan

#1 Jangan Tersilap Membuat Pilihan

Wahai anakku,
Rehatkan sebentar segala pemikianmu dan keinginanmu.Marilah kita berbicara pesoalan yang penting dalam kehidupan ini, iaitu apakah maknanya hidup ini? Memang dunia tidak akan behenti dari putarannya, angin akan terus bertiup, laut tetap bergelombang dan ombaknya sentiasa menghempas ke pantai. Namun kita adalah manusia, kita tidak boleh mengikut mereka. mereka adalah makhluk yang tiada menghadapi persoalan besar. Mereka tiada akal, mereka tiada cita rasa, mereka tiada dosa dan pahala.

Wahai anakku,
Apa yang menjadi masalahnya, kita telah dicipta sebagai makhluk yang bernama manusia, manusia yang diberi daya fikir yang tinggi, daya perasaan yang halus, dicipta-Nya anggota tubuh yang cantik. Maka kita perlu jujur dan berbicara dengan diri yang ghaib di alam diri kita, berbicara tentang soal kehidupan. Kita perlukan kejujuran, kesucian dan kemurniaan. Kita boleh menipu manusia dengan berselindung di sebalik senyuman, kerjaya yang baik, pangkat, memiliki harta atau keluarga bahagia, namun persoalannya adakah perkara itu sebenarnya kebahagiaan?

Dahulu persoalan ini sentiasa bermain dalam fikiranku. Aku merasakan bahawa apa sahaja yang dikatakan nikmat dunia ini telah aku perolehi, namun ia tiada penghujung, ia bagaikan bintang yang ada di waktu malam, namun hilang pada siangnya.

Wahai anakku,
Engkau mesti mencari jawaban terhadap persoalan-persoalan ini. Jangan biarkan kamu teraba-aba dalam kehidupanmu, jangan biarkan dirimu tiada arah, tiada tujuan, tiada jawaban. Soalan pertama yang hendak ku tanya pada dirimu ialah, adakah engkau mempercayai Tuhan, adakah engkau percaya kewujudan-Nya, adakah engkau percaya kasih-sayang-Nya, kekuatan-Nya, kebijaksanaan-Nya. Kalau kamu mengatakan "Ya", maka soalan keduaku ialah adakah benar dirimu telah menunaikan hakmu sebagai hamba-Nya, adakah dahimu sujud pada-Nya, adakah suci dan ikhlas dirimu ketika beribadah pada-Nya, adakah kehidupanmu bermatlamat untuk-Nya atau untuk diri dan kepuasanmu semata-mata?"

Jika kamu tiada melakukan hal demikian apakah kamu tidak takut dan malu pada-Nya, adakah kamu menyangka bahawa segala perbuatanmu terlepas dari penglihatan-Nya, pengetahuan-Nya. Adakah kamu menyangka bahawa ia akan menerima kamu sebagai hamba-Nya jika kehidupan asyik menyembah hawa nafsu mu sendiri, bukan Diri-Nya.

Adakah kamu menyangka kamu akan terlepas dari murka-Nya. Kalau kamu mengatakan bahawa kamu tidak percaya akan wujud-Nya, maka setakat ini sahajalah perbicaraan kita, tiada guna membuang masa. Hiduplah kamu sepuas-puasnya dengan kepercayaanmu. Engkau meletakkan dirimu tiada beza dengan haiwan, tumbuhan, gunung dan dengan segala makhluk yang ada.

Hiduplah kamu untuk memuaskan nafsumu walaupun engkau tahu akalmu begitu jauh bezanya dengan haiwan. Kalau kamu yakin matimu bagaikan haiwan yang tiada tanggungjawab dengan kehidupan, teruskanlah kepercayaanmu itu jika kamu yakin ianya benar. Namun aku menasihati kamu, jika kamu benar berakal waras, mempunyai suara hati yang jujur, kamu akan menentang kepercayaan bodoh itu. Jika kamu tilik sedalam-dalamnya diri sendiri, ia akan memberi jawaban bahawa mustahil bagimu untuk menolak kewujudan-Nya.

Wahai anakku,
Aku percaya semua manusia inginkan syurga. Mereka mencari syurga di dunia ini, namun sayang mereka tidak mencarinya dalam perjalanan para Nabi, para Sahabat, para Auliya' dan Solihin. Mereka mencari dengan telunjuk syaitan, mereka melihat kehidupan Barat, kehidupan artis, kehidupan bebas, kehidupan nafsu, kehidupan berpangkat, berharta adalah syurga. Begitu dangkalnya nilaian mereka, begitu sempitnya dunia mereka, mereka sanggup mati, bergaduh, memfitnah, berlaku zalim demi menjayakan kepercayaan mereka.

Percayalah wahai diri anakku, jangan tersilap membuat pilihan, hidup tidak diberi peluang untuk dua kali. Pilihan yang tepat mesti dibuat agar setiap nafas yang keluar tidak dalam kerugian dan kemurkaan-Nya.

Mengenal Diri Dan Rawatannya

Seorang murid perlu mengawal nafsu dan mengenal segala sifatnya kerana nafsu itu sangat mengajak ke arah melakukan kejahatan walaupun ke atas orang yang amat dalam pengetahuan tentang nafsunya sendiri.



Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri mengawal dirinya daripada nafsu serta memohon perlindungan ALLAH SWT daripada kejahatannya. Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata, "Perumpamaan diriku dengan nafsuku ibarat gembala dengan kambing-kambingnya; apabila dikumpul setempat ada sahaja yang bertempiaran."



Sidi Abu Bakar al-Warraq berkata, "Dalam semua hal nafsu mahu menunjuk-nunjuk, dalam kebanyakkan hal nafsu adalah munafiq, dalam sebahagian hal nafsu adalah musyrik."



Sidi al-Washiti pula berkata, "Nafsu ibarat berhala; syirik kalau memberi muka kepadanya tetapi sekianya dikoreksi dapat menjadi ibadah."



Ulama' sufi berkata, "Sifat nafsu menzahirkan kebaikan menyembunyikan kejelekan, ibarat bara api; warnanya menarik hati, tetapi awas ia membakar. Nafsu kalau dihukum akan merayu mahu bertaubat dan merujuk. Tetapi apabila dibiarkan ia akan menjadi degil, makin melampau dengan kemahuannya."



Firman ALLAH SWT:



وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَىٰ بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ



"Dan apabila Kami kurniakan ni'mat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa - merayu dengan panjang lebar."   [Surah Fussilat: 51]



Perpatah sufi mengatakan, "Nafsu ibarat air jernih yang tidak mengalir; apabila dikacau air itu akan naiklah keladaknya dan terbitlah bau busuknya."



Ketahuilah bahawa nafsu itu sifatnya musuh serta mahu menyaingi ALLAH SWT. ALLAH SWT menyuruh hamba-hamba-Nya memuji dan menghargai Dzat-Nya lalu nafsu pun minta dipuji dan dihargai. ALLAH SWT menuntut hamba-hamba-Nya jangan melanggar perintah dan larangan-Nya lalu nafsu pun menuntut perintah dan larangannya mesti dipenuhi.



ALLAH SWT menyuruh para hamba-Nya beramal setulus hati berhabis-habisan kepada-Nya lalu nafsu pun menuntut perkara yang sama. ALLAH SWT mahu daripada hamba-hamba-Nya agar menjadikan hanya Dia yang dicintai dan hanya Dia yang ditakuti lalu nafsu pun membuat tuntutan serupa daripada kita.



Ada pendapat mengatakan nafsu adalah perasaan yang halus diletak dalam acuan hati, ia menjadi tempat untuk akhlak mahmudah sepertimana mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hidung untuk menghidu.



Ulama' sufi berkata, "Roh adalah sumber kebaikan manakala nafsu sumber kejahatan. Akal sebagai tentera roh, keinginan-keinginan diri pula menjadi tentera nafsu. Sekiranya ALLAH SWT memberi taufiq maka roh akan mendapat kekuatan, sekiranya tewas maka yang kuat adalah nafsu. Hati pula akan tunduk kepada pihak yang menang."



Ketahuilah bahawa setiap perkara itu sama ada:



1-   jelas kebaikannya maka wajib diteruskan.

2-   jelas keburukannya maka wajib dihindarkan.

3-   samar-samar hakikatnya maka wajib ditinggalkan sehingga iLmu atau akal dapat menjelaskan baik dan buruknya.



Ulama' sufi berkata, "Sekiranya kamu menjadi ragu terhadap dua pilihan; mana satukah yang terbaik, maka lihatlah yang paling tidak sesuai dengan nafsumu, itulah yang mesti dipilih kerana itulah yang terbaik."



Seorang murid mesti bermujahadah membuang perangai mazmumah nafsu seperti ego, bakhil, loba, angan-angan, keras kepala, hasad, riya', pura-pura, suka bergaduh, mengumpat, mencetus perkelahian, buruk sangka, tidak tahu malu dan lain-lain mazmumah supaya dapat diganti dengan akhlak mahmudah. Semoga ALLAH SWT memberi taufiq.



~ Imam al-'Arif Billah Sidi Abu Najeeb as-Suhrawardiy ~

EHWAL PEKERJAAN HATI

Istilah al-ahwal (dalam literasi Tasawuf) atau 'hal' bererti pekerjaan hati. Ertinya perasaan hati yang lahir daripada ketulusan zikir.



Sidi Junaid al-Baghdadi berkata. "Hal itu suatu keadaan yang turun ke hati, tetapi tidak kekal."



Antara Tingkatan HaL Adalah:



1.  Al-Muraqabah; ertinya merenung pada yang ghaib dengan setulus keyakinan.

2.  Kemudian al-qurb; ertinya menetapkan jiwa di 'hadapan" ALLAH SWT dengan meng"ghaib"kan diri daripada selain-Nya.

3.  Kemudian al-mahabbah: ertinya cinta apa-apa yang dicintai-Nya, benci apa-apa yang dibenci-Nya.

4.  Kemudian ar-raja'; ertinya yakin dengan janji ALLAH SWT.

5.  Kemudian al-khauf; ertinya memperlihatkan hati akan maha kerasnya ALLAH dan balasan buruk daripada-Nya.

6.  Kemudian al-haya'; erinya malu dengan ALLAH SWT, lantas menjaga hati daripada rasa lega. Sebabnya, apabila hati mula dekat dengan ALLAH SWT datanglah perasaan yang pelbagai ragam; ada yang terasa maha hebat dan maha agungnya ALLAH SWT lalu perasaannya menjadi takut dan malu, ada pula yang terasa maha lemah lembutnya ALLAH SWT dan belas ihsan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya lalu perasaan menjadi cinta dan harap.

7.  Kemudian as-syauq; ertinya rindu pada ALLAH SWT, hati jadi tidak tentu hala apabila terkenangkan Dia.

8.  Kemudian al-uns; ertinya mesra dengan ALLAH SWT dan meminta pertolongan kepada-Nya dalam setiap perkara.

9.  Kemudian at-thuma'ninah; ertinya tenang menghadapi segala taqdir.

10. Kemudian al-musyahadah; ertinya menghayati dengan mata hati yang yakin, tidak hanya dengan mata kasar.



Inilah yang disabdakan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, mafhumnya:



"Sembahlah ALLAH seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat merasakan yang demikian itu maka sesungguhnya (hayatilah) bahawa Dia melihatmu."



Musyahadah adalah hal yang terakhir dalam tingkatan ahwal, sesudah itu pembukaan daripada ALLAH SWT, pemberian-Nya, kurniaan-Nya dalam pelbagai bentuk adalah sesuatu yang tidak terjangkau oleh ibadah lagi.



Firman ALLAH SWT:



وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ



"Dan jika kamu menghitung ni'mat ALLAH nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya.."



[Surah Ibrahim: 34]

MaQam HAMBA Di Hadapan ALLAH

Istilah MAQAM (daLam literasi Tasawuf) bererti pencapaian atau darjat hamba di hadapan ALLAH SWT dalam beribadah kepada-Nya. Firman ALLAH SWT :



وَمَا مِنَّا إِلَّا لَهُ مَقَامٌ مَّعْلُومٌ



" Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu."

[As-Saaffaat: 164]



Tingkatan MaQam yang Dimaksudkan adaLah seperti berikut:



1.  Permulaan maqam adalah 'Kesedaran'; ertinya menginsafi diri daripada kelalaian terhadap ALLAH SWT.



2.  Kemudian 'Taubat'; ertinya kembali kepada ALLAH SWT (setelah menginsafi kelalaian) dengan kekal menyesali dosa serta banyak beristighfar.



3.  Kemudian 'Inabah'; ertinya mengubah diri daripada lalai kepada zikir mengingati ALLAH SWT. Ada pendapat mngatakan taubat ertinya rasa gerun (dengan ancaman ALLAH SWT), inabah ertinya keinginan untuk kembali kepada ALLAH SWT. Pendapat lain mengatakan: taubat pada yang zahir, inabah pada yang batin.



4.  Seterusnya 'Warak'; ertinya meninggalkan yang syubhat (tidak jelas halal haramnya).



5.  Kemudian 'Muhasabatun Nafs'; ertinya memperbaiki diri sama ada meningkat atau menurun, sama ada bertambah kebaikan atau kejahatan.



6.  Kemudian 'Iradah' (kehendak); ertinya terus beramal tanpa rehat.



7.  Kemudian 'Zuhud'; ertinya meninggalkan kenikmatan dunia yang halal, menjauhi dunia dan segala syahwatnya.



8.  Kemudian 'Faqr' (fakir); ertinya tidak memiliki harta benda dunia serta mengosongkan hati daripada apa yang tidak tercapai oleh tangan.



9.  Kemudian 'Jujur'; ertinya: Zahir dan batin sama sahaja.



10. Kemudian 'At-Tasabbur' (menahan sabar); ertinya menguatkan diri menempuh segala rintangan dan menelan kepahitan. Menahan sabar adalah maqam terakhir bagi golongan murid.



11. Selepas mendapat maqam At-Tasabbur, meningkat pula ke maqam 'Sabar'; ertinya tidak mengadu dalam menanggung kepedihan.



12. Kemudian 'Redha'; ertinya: Rasa manis dengan ujian.



13. Kemudian 'Ikhlas'; ertinya dalam beramal tidak nampak lagi makhluk, tujuannya hanya kerana ALLAH SWT.



14. Kemudian 'Tawakkal' kepada ALLAH SWT; ertinya bergantung semata-mata kepada-Nya, sama sekali tidak mengharap selain-Nya.